Soalan :
1. Adakah apa-apa hukum ke atas perempuan dalam mengerjakan haji tiba-tiba datang haid?
2. Sekiranya tiada apa-apa dalam yang lain tetapi tentu rasanya dia tidak boleh tawaf rukun dalam haid walhal sekiranya perempuan itu menunggu habis masa haid boleh jadi ketinggalan kapal.
Jawapan :
Hendaklah diketahui masalah ini adalah satu daripada masalah yang amat susah, ulama’-ulama’ telah menghuraikannya dengan panjang lebar dan tidak dapat disebutkan di sini semua perkataan. Tetapi akan disebutkannya didalam berbagai-bagi mazhab seperti ini:
1. Tawaf rukun dinamakan tawaf ifadah dan tawaf ziarah, ini mesti dibuat tak boleh tidak. Barangsiapa meninggalkannya tidaklah sah hajinya kerana ketiadaan satu daripada rukun-rukun hajinya.Pada ketika perempuan itu dalam haidnya hendaklah ia mengekalkan ihramnya, haram atas suaminya mendekatinya dan wajib atasnya kembali ke Mekah setelah suci daripada haid kerana menunaikan tawaf ifadah inilah menurut mazhab Maliki, mazhab Shafie, mazhab Ahmad Ibnu Hanbal, Ishak, Abu Thur dan Abu Hanifah dengan tafsilnya tersebut didalam kitab " بغية المسترشدين" demikian bunyinya: " ولو ترك ركنا غير الوقوف لم يتحلل إلا بالإتيان به ولو بعد مدة طويلة سواء أمكنه فعله أم لا كحائض لم يمكنها الطواف".
Ertinya: Dan jika sekiranya seorang meninggalkan satu rukun haji lain daripada wukuf di Arafah tidaklah harus ia tahalul melainkan hendaklah ia memperbuat rukun yang ditinggalkannya atau sekalipun telah lama masanya sama ada ia boleh memperbuatnya atau pun tidak seperti perempuan dalam haid yang tidak boleh tawaf. Inilah asal mazhab yang menurut sabda Rasulullah S.A.W kepada Saidatina Aishah: " غير أن تطوفي بالبيت".Ertinya: Selain daripada awak tidak boleh tawaf yang dia Aishah dalam haidnya dan sabda baginda berkenaan Siti Safiah tatkala ia haid " أحبستناهى". Ertinya apakah dia menahan kita iaitu daripada berangkat.Kedua-dua hadis tersebut di atas ini menunjukkan di tegah perempuan dalam haid daripada tawaf di Baitul Allah dan wajib atasnya menunggu sehingga habis haid dan bersuci barulah tawaf ifadah dan sempurnalah hajinya dan bolehlah ia bertahalul daripada ihram.
2. Ulama’ mazhab Shafie yang mutakhirin (yang kemudian) ada menyatakan dalam masalah ini kata As-Syeikh Ibnu Hajar dalam kitabnya "قتاوى ابن حجر" dan dalam حاشية ابن حجر atas ايضاح katanya: Sebarang perempuan yang telah haid sebelum tawaf ifadah dan mudarat., jika ia tidak musafir nescaya haruslah ia musafir dan mengekalkan ihramnya selama ia tidak bertaklid mazhab abu hanifah. Dan apabila ia tidak bertaklid Imam Abu Hanifah maka hendaklah ia mengekalkan ihramnya, tidak halal suaminya mendekatinya sehingga ia sampai ke suatu tempat yang perjalanannya tak berdaya ia balik dari tempat itu ke Mekah kerana menyempurnakan tawaf itu barulah ia tahalul seperti tahalul orang yang kena kepung, bercukur dan menyembelih kambing dengan niat tahalul, pada ketika itu barulah hahal ia diwatikan oleh suaminya iaitu ia belum sempurna hajinya dan wajiblah atasnya berhaji lagi sekali.
3. As-Syeikh Ibnu hajar dan lainnya ada menyebutkan perkataan–perkataan ulama yang boleh bertaklid kepadanya dalam masalah ini kerana terpaksa balik tak dapat duduk di Mekah menunggu habis haid iaitu seperti di bawah ini:
a. Kata Al-Bazari: Jika perempuan menggunakan ubat dan putus darah haid dengan sebab ubat itu dan ia pun mandi bersuci kemudian tawaf dan musafir dan kemudian keluar balik darah haid kemudian daripada musafirnya sahlah hajinya, menurut salah satu daripada qaul Shafie berkenaan seorang perempuan yang kena haid dan putus darahnya berselang-selang hari diiktibarkan hari putus darahnya itu suci, qaul ini dinamakan qaul talfiq yang telah ditarjihkan oleh satu jemaah daripada Ashab Syafie iaitu menurut mazhab Ahmad bin Hanbal.
b. Dan di sisi Imam abu Hanifah perempuan yang tidak putus-putus haid adalah sah tawafnya iaitu menurut mazhab Ahmad dalam salah satu 2 riwayat, tetapi lazim atas perempuan meyembelih seekor unta dan berdosa masuknya ke dalam masjid kerana ia haid. Qaul ini sangat berat yang terutamanya atas orang yang mampu.
c. Perempuan yang berhaji belayar balik sebelum menyempurnakan tawaf rukun tetapi ia telah menyempurnakan tawaf qudum dan sai’e waktu ia sampai ke Mekah orang-orang Basrah ada menyalahi daripada Imam Malik berkenaan perempuan haid jika ia memperbuat begitu nescaya memadai daripada rukum kalau ia terluput atau pun jahil. Kata As-Syeikh Ibnu Hajar: Dan qiyasnya orang yang haid begitu juga kerana keuzurannya lebih zahir daripada keuzuran orang yang lupa atau jahil.
d. As-Syeikh Ibnu Hajar ada menyebutkan setengah oaring Mazhab Hanbali ada menyalin oerkataan jemaah ulama’ menerangkan harus perempuan dalam haid itu musafir balik dan tahalul bagaimana tahalul orang yang kena kepung iaitu tidak sempurna hajinya dan wajib atasnya qada’.
Harus bagi perempuan ini masuk masjid kerana tawaf dengan syarat ia membasuh dan mengikat kemas dan betul dan tidaklah wajib atasnya fidyah, kata As-Syeikh Ibnu Hajar tetapi qaul ini tidak harus kita bertaklid kepadanya kerana mereka bukan daripada orang-orang mujtahidin.
Maka qaul-qaul yang boleh kita bertaklid kepadanya ialah qaul-qaul dalam bahagian (2 dan 3) oleh yang demikian bagi perempuan-perempuan berjaga dalam ihram haji semenjak datangnya ke mekah tawaf qudum dan sa’ie kalau datang haid masa tawaf ifadah dan tidak suci sebelum berangkat belayar balik bolehlah ia bertaklid kepada mazhab Abu Hanifah atau mazhab Maliki menurut kenyataan yang tersebut di atas tadi.
http://www.e-infad.my/
No comments:
Post a Comment