Thursday, January 9, 2014

Rakyat Perlu Berdikari

Rakyat  Perlu Berdikari




         Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang terkenal seantero dunia sebagai sebuah negara yang sentiasa mengamalkan toleransi dalam pemerintahannya.Walaupun sebuah negara Islam ,namun sentiasa mengamalkan sikap keterbukaan dalam membenarkan penganut agama lain mempraktikkan ajaran agama lain tanpa sekatan.


     Pilihan Raya UMUM (PRU) ke 13 telah selesai dan majoriti  rakyat telah mengundi Barisan Nasional.Keputusan muktamad telah diumumkan dan semua rakyat perlu menerima keputusan yang telus dan adil.Sejak merdeka,pilihan raya diadakan tanpa sebarang penipuan dan sabotaj.Perkara ini diakui dunia.


       Tahun 2014 penuh cabaran di mana malam tahun baru berlaku kejadian yang tidak diingini.Sekumpulan manusia yang sengaja menimbulkan kekacauan malam tahun baru telah menggugat keamanan negara dengan membuat kacau di ibu kota di mana puluhan ribu sedang berseronok menanti detik tahun baru.


      Bagi mereka,itulah demokrasi.Melakukan apa sahaja walaupun melanggar undang-undang negara dianggap sebagai demokrasi.Mereka melihat  demontrasi dan kekacauan negara lain sebagai ikutan sedangkan keamanan adalah nikmat yang amat berharga bagi sesebuah negara.


      Apabila pilihan raya telah selesai dan keputusan telah diumumkan,semua pemimpin negara sama ada dari pihak kerajaan dan pembangkang perlu berganding bahu dalam membangunkan negara,bukan terus sibuk berpolitiking siang malam menuduh satu antara lain.


     Politiking berterusan hanya membuang masa dan wang negara.Semua pihak perlu bekerjasama dalam membangun dan memajukan lagi negara tercinta.Negara kita perlu terus dimajukan agar semua mendapat manfaat secara keseluruhannya.


     Isu kenaikan harga barang adalah isu panas sepanjang tahun baru ini.Pemimpin pembangkang mahu terus diadakan demontrasi dan perhimpunan sepanjang masa mendesak kerajaan mengambil langkah sewajarnya  menangani isu kenaikan harga barang.

     Itulah cara kerja mereka.Menghasut rakyat melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang.Mereka bukan mahu duduk semeja berbincang dan memberi  idea  agar isu kenaikan harga barang dapat diatasi.


      Pemimpin pembangkang sebenarnya mencari peluang untuk menunjukkan Barisan Nasional gagal mentadbir negara dengan baik .Mereka sebenarnya tahu bahawa kenaikan harga barang bukan salah tadbir Barisan Nasional.Kenaikan harga barang bergantung kepada pelbagai sebab seperti keadaan ekonomi dunia,kekurangan bekalan,sikap pemborong dan peniaga yang tamak dan sebagainya.


      Rakyat yang bijak perlu belajar berdikari iaitu tidak mudah termakan hasutan pemimpin pembangkang yang memang beriya-iya menjatuhkan Barisan Nasional.Apabila  mereka kalah dalam PRU13,mereka mahu menggunakan cara demontrasi dan rusuhan jalanan untuk menjatuhkan kerajaan.Mereka mahu lihat ekonomi negara lumpuh dan bersorak gembira.


    Rusuhan dan demontrasi jalanan menyebabkan ekonomi negara lumpuh jika dilihat situasi beberapa negara dunia seperti Mesir,Syria,Thailand dan sebagainya.Demontrasi berterusan akan menyebabkan pelancong menjauhi negara,begitu juga pelabur akan menjauhkan sesebuah negara kerna iklim politik yang tidak stabil.Negara akan kerugian berbilion dolar dan itulah kehendak pemimpin pembangkang.


    Kerajaan berusaha mempromosi negara sebagai destinasi popular dengan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2014 .Kerajaan mahu meningkatkan jumlah pelancong dan ia akan membantu ekonomi negara dan jumlah pendapatan rakyat juga bertambah dengan kedatangan pelancong.Namun usaha kerajaan akan terbantut jika pemimpin pembangkang terus menghasut rakyat mengadakan rusuhan dan demontrasi berpanjangan.

    Isu kenaikan harga barang perlu ditangani dengan rasional.Rakyat yang bijak tidak boleh terlalu bersikap menyalahkan kerajaan dan belajar berdikari.Cara berdikari adalah dengan menghadapi kenaikan harga barang dengan lebih berhemah dan bijak menguruskan kewangan dengan baik.


Antara langkah yang perlu dilakukan adalah :


Pertama BOIKOT.


     Dalam era globlalisasi ,perniagaan sentiasa ada persaingan.Rakyat perlu menggunakan kuasa boikot terhadap peniaga dan pemborong yang sengaja menaikkan harga barang kerna mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlipatganda.

    Kuasa boikot adalah kuasa yang paling hebat dan tidak memerlukan perhimpunan dan demontrasi yang menyusahkan pelbagai pihak.

    Apabila berlaku kenaikan harga ayam contohnya,rakyat perlu mengalihkan sumber makanan kepada produk lain.Usaha boikot ini akan menjatuhkan harga ayam.Pemborong dan peniaga ayam tidak akan berjaya menaikkan harga sesuka hati.

    Kerajaan hanya mampu menetapkan harga kawalan dan sepatutnya rakyat menggunakan kuasa boikot untuk mengajar peniaga dan pemborong yang tamakkan keuntungan berlipatganda.Apabila rakyat bersatu hati dalam memboikot produk yang sentiasa meningkat harga ,automatik harga akan turun.Tidak perlu berdemontrasi atau menimbulkan rusuhan seluruh negara.



Kedua PENGURUSAN KEWANGAN.


      Dalam dunia ini,tiada negara yang sentiasa kukuh ekonominya hatta negara maju seperti Amerika dan United Kingdom.Mereka yang telah lama bergelar negara maju juga menghadapi situasi di mana berlaku kejatuhan ekonomi di atas pelbagai sebab dan punca.

     Rakyat yang bijak akan memahami bahawa ekonomi sesebuah negara akan naik dan turun.Rakyat bijak juga sentiasa melakukan pengurusan kewangan dengan bijak dan ia akan membantu pengaliran wang dengan baik dalam apa jua keadaan.

     Kerajaan telah berusaha dengan memberikan bantuan BR1M  ,pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia    
 ( KR1M ),Klinik 1Malaysia  dan pelbagai usaha meringankan beban rakyat.

     Sewajarnya rakyat negara ini berusaha menjadi rakyat yang bijak dengan menguruskan kewangan dengan sistematik dan menepati keadaan ekonomi semasa.

    Jika selama ini  membawa keluarga  makan di restoran seminggu sekali,cuba kurangkan kepada dua minggu sekali.Itulah antara cara pengurusan kewangan yang bijak.

    Perbelanjaan berhemah dan sentiasa meningkatkan tabungan adalah usaha terbaik dalam menjalani kehidupan.Apabila keadaan ekonomi negara kurang memberangsangkan dan berlaku kenaikan harga barang dan apa jua situasi,rakyat tidak akan mudah terhantuk dengan isu kenaikan harga barang.

      Rakyat perlu belajar berdikari agar berjaya berdepan  isu ekonomi negara.Sama ada ekonomi negara semakin makmur atau berdepan kesulitan,kewangan seseorang tidak akan berdepan masalah.Belajarlah menguruskan kewangan dengan bijak.


Ketiga MENINGKATKAN PENDAPATAN.


      Rakyat yang bijak perlu sentiasa meningkatkan pendapatan dengan pelbagai usaha.Setiap yang berlaku seperti kemerosotan nilai Ringgit berbanding dolar Amerika ada hikmahnya.Jumlah pelancong dari negara-negara maju akan bertambah kerna nilai tukaran mata wang yang lebih besar bagi mereka.

     Apabila kemerosotan ekonomi negara berlaku,ia bukanlah penamat kepada kebuntuan dalam meningkatkan sumber pendapatan kerna peluang mencari rezeki semakin bertambah jika usaha dilipatgandakan.

    Suri rumah yang selama ini bergantung kepada pendapatan suami perlu kreatif mencari pendapatan  seeprti membuat kuih,mengambil upah jahitan,membuat kraf tangan dan sebagainya.itulah usaha rakyat yang bijak menambahkan pendapatan.

      Rakyat perlu berusaha mencari pendapatan agar ia sentiasa bertambah,bukan menuding kerajaan dan melakuakn demontrasi apabila ekonomi sesebuah negara itu merudum dan berlaku kejatuhan nilai mata wang.

      Negara kita Malaysia sebuah negara yang banyak peluang mendapatkan wang.Jutaan pekerja asing datang mencari rezeki walaupun Malaysia sebuah negara kecil berbanding Amerika atau Kanada.
    Kedatangan ramai pekerja asing menunjukkan negara kita kaya dengan sumber rezeki dan ia perlu diterima dengan fikiran yang positif.

       Memanfaatkan tanah terbiar dengan menanam pelbagai jenis pokok dan sayuran akan memberikan pendapatan.Begitu juga menjual pelbagai pakaian terpakai kepada ramai golongan memerlukan juga menghasilkan pendapatan.

      Rakyat yang bijak perlu berusaha menghasilkan usaha untuk meningkatkan pendapatan dalam pelbagai cara tanpa  sibuk menyalahkan kerajaan.Jadilah rakyat yang berdikari,bukan sibuk menuding jari.

       Rakyat perlu belajar berdikari dan janganlah mengharapkan kepada bantuan kerajaan semata-mata.Walaupun Malaysia hanya sebuah negara membangun dan bukan berstatus negara maju,namun Malaysia telah memberikan jumlah subsidi yang lebih besar berbanding negara yang maju seperti Singapura atau Amerika.

      Rakyat yang berdikari adalah rakyat yang bijak.Kerajaan telah berusaha memberi  pelbagai bantuan demi meringankan beban rakyat dan sewajarnya rakyat perlu gigih berusaha memajukan diri dan keluarga berbanding sibuk berdemontrasi dan menyalahkan kerajaan.

     Malaysia adalah sebuah negara yang terkenal dengan suasana iklim ekonomi yang sihat dan aman damai,kekalkanlah keamanan dan kestabilan negara tercinta ini demi memajukan lagi negara tercinta.


     Wawasan 2020 perlu digapai dan kejayaan Malaysia adalah kejayaan semua.Setiap lapisan rakyat perlu berganding bahu memajukan negara tercinta dan kestabilan dan keamanan adalah impian semua rakyat  tanpa mengira bangsa,agama,suku kaum,pegangan politik  dan sebagainya.Kekalkan keamanan dan jadilah rakyat yang berdikari   jika  sayangkan tanah air.


Terima kasih.


Hj Saat Hj Sulaiman
Jumaat 10 Januari 2014










      

No comments:

Post a Comment