Menghukum dengan cara merotan tindakan terakhir bagi memberi pengajaran
Sepanjang tahun lalu banyak juga laporan akhbar menyentuh mengenai pendekatan keras segelintir guru terhadap anak didik mereka sama ada di sekolah rendah, menengah, agama, termasuklah pondok tahfiz.
Antaranya, murid tahun dua didakwa ditampar sehingga pekak, murid tahun satu ditendang guru matematik, pelajar sekolah agama ditendang guru, dibaling kunci oleh guru. Sebabnya, tidak menyiapkan kerja rumah, tidak menghafal sifir, datang lambat ke sekolah, berbuat bising dalam kelas, tidak menghafal ayat al-Quran, tidak fokus kepada penerangan guru dan bergaduh.
Dari satu segi, pendekatan keras kepada murid bertujuan menjadi pengajaran, menyedarkan murid mengenai kesilapan mereka dan membuatkan mereka berubah sikap kepada lebih baik.
Apabila ditampar atau dihukum berdiri atas kerusi diharapkan mereka akan menjadi rajin menyiapkan kerja rumah. Dengan ditarik telinga kerana bising, diharapkan murid akan diam dan berubah sikap menjadi taat serta memberi tumpuan dalam kelas.
Namun, dari sudut lain, pendekatan sebegini menimbulkan banyak persoalan lain dan kesan sebaliknya. Apakah kesalahan tidak membuat kerja rumah, datang lambat, tertinggal buku wajar dihukum sebegitu? Apatah lagi yang melakukannya adalah budak kecil darjah satu atau tiga?
Pendekatan keras
Apakah dengan pendekatan kasar dapat mengubah sikap kanak-kanak menjadi prihatin, berminat mencari ilmu, membuat kerja rumah kerana cintakan ilmu dan tidak akan cuai menyelesaikan latihan diberikan. Atau sebenarnya membina rasa tidak yakin diri, takutkan dan tidak suka belajar.
Mungkin pendekatan keras berguna dalam keadaan tertentu, tetapi tidak dalam semua perkara. Apatah lagi kepada kanak-kanak kecil di sekolah rendah. Ia tidak selari dengan pendekatan pendidikan umum yang Nabi SAW tunjukkan.
Pendekatan Rasulullah SAW adalah indah, cantik, lembut, bertimbang rasa, memuji, mengajar dengan perlahan, sedikit demi sedikit, tidak mendesak sehingga memaksa seseorang memahami sesuatu sebelum masanya, menanam rasa cintakan ilmu, kurang mengherdik dan banyak memuji.
Pendekatan keras hanya datang sebagai alternatif terakhir kepada kesalahan berat yang melayakkan hukuman sebegitu iaitu apabila keadaan sangat memerlukan.
Sabda Rasulullah SAW: “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun.” (Riwayat Abu Daud)
Sebelum sampai umur tujuh tahun lagi ibu bapa sebenarnya sudah diminta menunjuk ajar, memujuk, mengajak anak mengerjakan solat bersama dan memuji apabila mereka melakukannya dengan baik.
Anak dididik dengan lembut, ajakan membina, diberi galakan dan pujian dari kecil sehingga berumur tujuh tahun, mereka akan berada dalam situasi mengerjakan solat adalah sebahagian daripada cara hidup.
Apabila sudah sebati dalam diri rasa cinta melakukan solat kerana faham kepentingan solat, maka pendekatan keras seperti menengking dan memukul tidak perlu digunakan. Jika selepas berumur 10 tahun, mereka meninggalkan solat dengan sengaja selepas dididik, maka barulah rotan hadir sebagai alat terakhir dalam mendidik. Itupun bukan untuk mencederakan, tetapi memberi pengajaran.
Ia juga menunjukkan menghukum kanak-kanak dengan rotan atau pukulan untuk kesalahan yang dianggap ‘berat’ tidak dilakukan sebelum umur 10 tahun. Bahkan pukulan tidak boleh dibuat di tempat sensitif seperti muka. Justeru, guru menampar anak murid bercanggah dengan sunnah.
Apabila cucu Rasulullah SAW memakan buah kurma yang diserahkan Baginda sebagai hasil zakat, Baginda tidak menggunakan kekerasan, sebaliknya mengambil balik kurma daripada dalam mulut cucunya dan berkata dengan lembut, “Tidakkah kamu tahu bahawa kita tidak boleh memakan barang zakat? (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pendekatan kasih sayang tegur kesilapan
Rasulullah SAW turut menjelaskan kenapa ia dilarang secara ringkas kepada cucunya yang masih kecil itu. Baginda tidak memukul cucunya atas kesalahan, tetapi menunjukkan ‘kasih sayang’ adalah asas untuk membetulkan kesilapan.
Jika sesuatu larangan dikenakan kepada mereka, ia juga perlu diberi rasionalnya supaya larangan bukan semberono tanpa alasan. Rasional larangan wajar diberitahu mengikut tahap kemampuan berfikir.
Jika dengan ahli keluarga kita diminta bercakap dengan lembut, mendekati dan membetulkan mereka dengan pendekatan berhikmah, positif dan kasih sayang, maka begitulah juga dengan orang lain, termasuklah murid yang berada di bawah tanggungjawab kita untuk mendidik mereka.
Ilmu ingin diajar kepada murid-murid seumpama barang berharga yang ditawarkan kepada mereka. Bagaimana mungkin pengguna suka menerima sesuatu jika ditawarkan dengan kasar, penuh kemarahan dan tiada kasih sayang.
Kita perlu menerima hakikat cabaran dilalui kanak-kanak hari ini dengan konsep dunia terbuka, media sosial dan cara hidup berbeza memerlukan guru mencari pendekatan pendidikan yang jauh lebih baik daripada sebelum ini.
Kata-kata Umar al-Khattab, “Ajarilah anak-anak kamu dengan urusan di zaman mereka, kerana mereka akan hidup di suatu zaman yang bukan lagi zaman kamu.”
Berita Harian
No comments:
Post a Comment