Thursday, January 9, 2014

Kita melahirkan manusia marah-marah

Datok Johan Jaafar

Kemalangan itu kecil sahaja, di tengah kesesakan lalu lintas sebuah kereta melanggar bahagian belakang kereta di hadapan. Pemandu kereta keluar, menjerit, menunjukkan penumbuk. Pemandu yang melanggar juga keluar, sama marah, memaki hamun. Pertengkaran berlarutan. 

Tiada siapa yang masuk campur. Kesesakan semakin teruk. Orang lain tidak kuasa meleraikan. 

Kemalangan kecil kini menjadi penunjuk betapa marahnya orang Kuala Lumpur. Pantang sahaja berlaku kemalangan, boleh membawa pergaduhan. Bukan di jalan sahaja kemarahan itu terasa. Di mana-mana sahaja – di kedai makan, di tempat letak kereta. Orang Lembah Klang menjadi orang marah-marah. Malah di mana-manapun di negara ini orang cepat marah. 


Ungkapan Melayu naik angin dan panas baran amat tepat dikaitkan dengan keadaan itu. Entah mengapa orang kita menjadi begitu cepat marah. Agaknya tekanan hidup. Mungkin juga stres di tempat kerja. Mungkin juga kerana kos hidup yang tinggi. Atau kenaikan barang yang membebankan. Atau sememangnya orang moden begitu, lekas naik angin, lekas panas baran. 

Itulah agaknya harga yang harus dibayar oleh manusia moden, khususnya yang tinggal di kota. Kadar stresnya tinggi. Penyakit yang dikaitkan dengan kehidupan moden – jantung, darah tinggi, kencing manis – juga tinggi. Tambahan pula kurang beriadah dan bersenam, kesannya pastilah kehidupan dalam ketuhar ciptaan sendiri. 

Kadar kemarahan itu lebih terasa di dunia siber. Malaysia adalah di antara pengguna paling tinggi per kapita media sosial di dunia hari ini. Selain Twitter, Facebook, SMS, banyak lagi wahana yang digunakan untuk tujuan itu. Seorang pemerhati dunia siber mengakui bahawa Malaysia salah sebuah negara yang paling ‘ganas’ penggunaan media sosialnya. Saya cuba menggabungkan perkataan intense, brutal dan vicious yang digunakan oleh beliau. 

Saya percaya ada kebenarannya. Media sosial di Malaysia sudah sampai pada tahap yang menakutkan. Ia menjadi ruang membelasah, mengecam, mengutuk dan menghina. Tiada siapa yang terlepas daripada asakannya. Ini dunia koboi yang tidak ada undang-undang dan peraturan. Dunia maya yang mempunyai nyawanya sendiri. 
Atas alasan paling kecil kita melepaskan geram tanpa timbang rasa, tanpa hormat dan tanpa belas kesihan. Kita melepaskan geram pada orang yang kita tidak kenal pun. Kita membenci orang yang belum kita tahu peribadinya. Menggunakan Anon (Anonymous) misalnya kita melepaskan kebencian dan kemarahan tanpa mengambil kira benar dan tidaknya. 

Kita melahirkan Generasi Forward yang menggunakan butang Forward menghantar apa sahaja yang dihantar pada kita. Banyak bahan itu tidak kita setujui pun atau kita tidak percaya. Tetapi naluri kita ialah menekan butang Forward dan orang lain akan berbuat perkara yang sama. Tohmahan, kecaman dan tuduhan itu akan menjadi viral. 

Kita semua mengakui betapa berkesannya media sosial hari ini. Ia boleh mencorakkan maklumat yang kita terima. Kerajaan Barisan Nasional (BN) menyedari hakikat ini sejak tahun 2008 lagi. Ketika itu blog menjadi senjata paling berkesan menyerang kerajaan. Dalam pilihan raya 2013, media sosial mengubah banyak pendirian pengundi dan menyebabkan BN kalah undi popular walaupun menang pilihan raya. Kempen penyokong Pakatan Rakyat begitu berkesan hinggakan penolakan terhadap BN berlaku secara meluas di bandar dan di kalangan orang Cina. Memang benar kata orang, untuk menang pilihan raya pada masa ini, dunia siber harus ditawan terlebih dahulu. 

Kita berdepan dengan dunia maklumat yang luar biasa. Oleh sebab itu maklumat harus ditangani dengan betul. Menyalahgunakan wahana penghantaran maklumat akan membawa kesan buruk pada kita semua. Banyak negara lain sudah lebih lama menggunakan media sosial sudah sedar impaknya. Kita tidak memerlukan undang-undang tetapi disiplin. 

Apa yang kurang ialah disiplin. Kita kadangkala lupa bahawa ada etika dan adab menggunakan peralatan komunikasi yang baharu ini. Ini bukan dunia semberono yang membolehkan kita berbuat apa sahaja. Ini bukan tempat melepas dendam kesumat atau api kebencian pada siapa saja. Ia bukan tempat memusuhi sesiapa. 
Nampaknya semua itu tidak dipedulikan lagi. Kita menggunakan gelanggang itu untuk membenci, memfitnah, memburuk-burukkan orang yang kita tidak suka. Kadang-kala orang itu tak bersalah apapun. Mereka korban persepsi. Anehnya orang percaya pada apa yang mereka baca di alam siber. Kebenaran tidak penting. Dan kebencian itu berulang beribu kali, tanpa memikirkan kesan dan akibatnya. 
Ada pandangan mengatakan bahawa masyarakat kita belum cukup matang mendampingi dunia siber yang penuh cabaran itu. Sepatutnya ia merupakan dunia pengetahuan, maklumat dan ilmu. Pada akhirnya ia menjadi medan benci dan marah. 

Tidak hairanlah jikalau bahang kemarahan itu merebak sampai ke luar. 

BERITA HARIAN 

No comments:

Post a Comment