Tuesday, June 11, 2013

Membeli Barang Di Kedai Bukan Orang Islam


Soalan: 

Bolehkah membeli barang di kedai orang kafir, sedangkan yang dibeli ada di kedai orang Islam yang sudah jelas dan nyata akan memberi kekayaan atau keuntungan kepada orang kafir? Biasanya kekayaan mereka yang kafir itu, adalah mereka buat untuk menghina Islam.


Jawapan:

Boleh beli barang daripada kedai orang bukan Islam, tetapi beli barang daripada kedai orang Islam lebih utama, kerana tuan kedai itu orang Islam, sebagaimana bersedekah, atau beri, maka bersedekah kepada kerabat lebih utama daripada bukan kerabat, kerana bersedekah atau beri kepada kerabat kerana dia Islam dan dia kerabat dan beri kepada bukan kerabat kerana dia Islam sahaja, maka berbuat baik dan menolong kerabat sebagai dia Islam dan kerabat adalah lebih besar pahala daripada seorang sebagai Islam sahaja.

Firman Allah Ta'ala dalam surah At-Taubah, ayat 71:

وَالمُؤْمِنُونَ وَالمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ

Tafsirnya: "Orang mukmin laki-laki dan orang mukminah perempuan, setengahnya menolong akan setengah yang lain yakni mereka bertolong-tolong dan berbantu-bantu dengan seorang dengan seorang sama ada laki-laki atau perempuan. 

Firman Allah Ta'ala dalam surah AI-Hijr, ayat 88:

وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِلمُؤْمِنِينَ

Tafsirnya: "Hendaklah kamu berlembut-Iembut dengan orang yang beriman."

Daripada sahabat Abu Musa Radhiallahu 'anhu telah berkata: Telah bersabda Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam:"

اَلْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا

Maksudnya: "Orang mukmin kepada orang mukmin yang lain itu sebagai satu bangunan, maka setengah menolong dan mengeratkan akan setengah yang lain. "

Dan Baginda Rasulullah celah-celahkan di antara jari tangan Baginda sebagai menguatkan tujuan sabda Baginda. Hadis ini diriwayatkan oleh AI-Bukhari dan Muslim.

Daripada sahabat Ibnu Umar Radhiallahu 'anhuma bahawa Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:

اَلْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يُسْلِمُهُ، مَنْ كاَنَ فِى حَاجَةٍ أَخِيْهِ كَانَ اللهُ فِى حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللهُ عَنْهُ بِهَا كُرْبَةً مِنْ كُرِبَ يَوْمِ اْلقِيَامَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ 

Hadis ini diriwayatkan oleh AI-Imam Bukhari dan Muslim.

Maksudnya: "Orang Islam itu saudara kepada orang Islam yang lain, maka janganlah ia zalim akan saudaranya itu, Jangan ia biarkan saudaranya. Barangsiapa menolong pada sesuatu hajat saudaranya, maka Allah akan menolong pada sesuatu hajatnya, barangsiapa melega dan menyelamatkan seorang Islam dari sesuatu kesusahan dan kesedihan, nescaya Allah legakan dia dari suatu kesusahan dan kesedihan pada Hari Kiamat, dan barangsiapa menutup sesuatu 'aib dan kelemahan daripada seseorang Islam, maka Allah Ta 'ala tutupkan akan 'aib dan kelemahannya pada Hari Kiamat. "

Sabda Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam:

َاْلجِيرَانُ ثَلاَثَةٌ فَجَاٌر َلهُ َثلاَثُ حُقُوقٍ،حَقُّ اْلجِوَارِ،وَحَقُّ اْلَقرَابَةِ،وَحَقُّ اْلإِسْلاَمِ، وَجَارٌ َلهُ حَقَّانِ حَقُّ اْلجِوَارِ،وَحَقُّ اْلإِسْلاَمِ، وَجَاٌر َلهُ حَقُّ اْلِجوَارِ وَهُوَ اْلمُشْرِكُ مِنْ اَهْلِ اْلكِتَابِ

Dari Dalîl Al-Fâlihîn oleh AI-Imam Ibnu 'Allan.

Maksudnya: "Jiran itu ada tiga macam, satu jiran ada mempunyai tiga hak iaitu hak jiran, hak kerabat dan hak Islam, satu jiran ada mempunyai dua hak iaitu hak jiran dan hak Islam dan satu lagi jiran ada mempunyai satu hak iaitu jiran orang musyrik daripada ahlul kitab. "

Nyata daripada hadis-hadis yang di atas ini bahawa hak orang Islam ada lebih dari hak orang kafir, dan hendaklah orang Islam dahulu dan diutamakan dari yang lain.

Islam berkehendakkan orang Islam bekerja dan berusaha mencari kehidupan supaya dapat ia membekalkan hajat hidup umat Islam dan berkedai suatu tuntutan Islam daripada umat Islam dan orang Islam hendaklah menolong menjayakan kerja dan usaha orang Islam dan jangan dibiar dan digagalkan dengan tiada dibantu, tiada ditolong dan tiada digalakkan, kerana kerja-kerja seseorang Islam yang mendatangkan kebaikan dan kesenangan dan kemewahan kepada seluruh umat Islam itu dinamakan wajib atau fardhu kifâyah, dan fardhu kifâyah dan wajib kifâyah adalah mesti dan wajib dan tiada boleh tidak, kalau tidak nescaya berdosa semua umat Islam.

Dari itu menurut segi fardhu kifâyah adalah wajib menolong orang Islam itu menjalankan fardhu kifâyah dan orang Islam yang berkedai itu yang menjual hajat dan tuntutan hidup umat Islam adalah ia menjalankan fardhu kifâyah dan wajiblah dibeli daripada kedai orang Islam itu sebagaimana menjadi fardhu kifâyah dan wajib kifâyah ke atas orang Islam pada meng'imârah Kaabah pada tiap-tiap tahun dengan mengerjakan haji dan umrah.





Negara asal : Brunei darussalam
Negeri : Brunei
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Mufti Kerajaan ,Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Penulis/Ulama : Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned & Dr. Hj. Ismail b. Omar Abdul Aziz
Tarikh Diisu : 1984



http://www.infad.usim.edu.my



Digalakkan juga umat Islam mengutamakan syarikat Islam dan barangan keluaran Islam bagi membantu peningkatan ekonomi umat Islam. 

( Majlis Fatwa Arab Saudi )


No comments:

Post a Comment