Sunday, August 25, 2013

'Mama...Adam datang tengok mama’

Alor Gajah: "Mama... Adam datang tengok mama,” ayat yang diulang setiap hari oleh seorang anak kecil berusia lima tahun yang melawat pusara ibunya setiap hari sejak lapan bulan lalu, lazimnya selepas jam 6 petang. 

Adam Noramsar Syahrizal sama seperti kanak-kanak lain seusianya, sangat gemar bermain tetapi sebaik senja dia akan pulang ke rumah meninggalkan rakan untuk ke pusara ibunya kira-kira 500 meter dari kediaman neneknya di Taman Sebang Gemilang, Pulau Sebang, bagi melepaskan rindu. Anak yatim piatu ini kehilangan ibunya, Norzalina Ismail, 31, yang meninggal dunia pada awal Januari lalu, akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Empat tahun sebelum itu, Adam Noramsar kehilangan ayahnya, Syahrizal Ibrahim, 29. 

Ketika ditemui di kediamannya semalam, neneknya, Kamariah Haroon, 55, berkata setiap hari Adam Noramsar akan ke pusara ibunya dan sanggup meninggalkan rakan sebayanya walaupun sedang bermain di taman permainan. 

“Sebaik senja, dia akan terus pulang ke rumah dan memberitahu kami, jam sudah 6 petang dan dia ingin ke kubur melawat ibunya. 

“Setiap hari, Adam akan melafazkan ayat dan patah perkataan yang sama dengan tujuan inginkan saya dan anak makcik, Mohd Amirul Helmi, 13, menemaninya ke kubur ibunya yang letaknya hanya kira-kira 500 meter dari rumah.” 

Lafaz tulus meruntun hati “Lafaz tulus dari hatinya itu meruntun hati kami. Dia kehilangan kasih sayang ibu bapa ketika dahagakan kasih sayang mereka. 

“Setiap hari apabila sampai di pusara ibunya, Adam akan berkata mama... Adam datang tengok mama, tengok,” katanya dan selepas berdoa serta mengusap batu nisan ibunya, Adam Noramsar akan mengajak mereka pulang sambil merenung pusara ibunya itu. 

“Apa yang membuat kami lebih terharu, ketika Aidilfitri baru-baru ini, Adam ke kubur ibunya... berpakaian baju Melayu warna merah seperti diimpikan arwah ibunya ketika masih hidup. Arwah ingin melihat Adam segak berbaju Melayu,” katanya. 

Kamariah berkata, bagi membesarkan Adam Noramsar dan Mohd Amirul Helmi, dia hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Gajah, bernilai RM230 selain dibantu dua anak yang bekerja.


Adam Noramsar setia mengunjungi pusara ibunya yang terletak 500 meter dari rumah neneknya di Taman Sebang Gemilang, Alor Gajah.





No comments:

Post a Comment