Pada suatu hari, ada seorang Yahudi dari Mesir baru saja tiba di Madinah. Apabila sampai, si Yahudi itu bertanya kepada seorang lelaki, "Dimanakah istana khalifah negeri ini?"
“Lepas Zohor nanti beliau akan berada di tempat istirehatnya di depan masjid, dekat batang kurma itu,” jawab lelaki yang ditanya.
Si Yahudi itu terbayang keindahan istana khalifah. Sudah tentu bangunan kerajaannya merupakan sebuah bangunan yang megah dengan dihiasi kebun kurma yang rendang sebagai tempat berteduh khalifah.
Namun, apa yang dilihat tidak seperti apa yang digambarkannya. Dia menjadi bingung dan pelik kerana tempat yang ditunjuk oleh lelaki itu tidak ada walau satu pun bangunan, hatta apa-apa bangunan megah yang mirip istana. Yang terdapat hanyalah sebatang pohon kurma.
Di bawah pohon kurma itu ada seorang lelaki berjubah kusam yang sedang bersandar dan kelihatan seperti tidur-tidur ayam atau mungkin juga sedang berzikir. Si Yahudi itu tidak punya pilihan selain mendekati lelaki tersebut.
“Maaf, saya ingin bertemu dengan Umar Al-Khattab," dia menyapa.
“Akulah Umar Al-Khattab,” jawab lelaki itu sambil bangun.
Si Yahudi itu terpinga-pinga. “Yang saya maksudkan ialah Umar, khalifah yang memimpin negeri ini,” katanya dengan tegas.
”Ya, akulah Umar, khalifah yang memimpin negeri ini,” Umar menjawab, juga dengan tegas.
Si Yahudi itu terdiam. Apa yang dilihatnya jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan para rahib Yahudi yang hidupnya serba mewah. Apatah lagi rajanya yang sememangnya hidup dengan kemewahan dan kekekayaan.
Dia sungguh tidak sangka bahawa ada seorang pemimpin yang duduk dengan beralaskan sehelai tikar di bawah pohon kurma dan beratapkan langit dan berada ditengah-tengah rakyat yang hidup dalam kemakmuran dan kebahagiaan.
“Di manakah istana tuan?” tanya si Yahudi itu lagi.
Umar menuding kesatu arah. “Rumahku terletak di sudut jalan itu, bangunan nombor tiga dari yang terakhir.”
“Apakah bangunan yang kecil dan kusam itu rumah tuan?” soal si Yahudi itu lagi.
“Ya! Tetapi itu bukan istanaku, kerana istanaku berada di dalam hati yang tenteram dengan ibadah kepada Allah,” balas Umar dengan penuh yakin.
Si Yahudi itu yang pada asalnya seperti terasa dipermain-mainkan menjadi terharu akan zuhudnya kehidupan Umar.
“Tuan, sejak hari ini saya menjadi yakin akan kebenaran agama Tuan. Izinkan saya menjadi Muslim hingga ke akhir hayat.” Dia kemudian menangis kerana begitu terharu akan keindahan Islam yang Umar tunjukkan.
sumber : Facebook
No comments:
Post a Comment