Friday, July 20, 2012

Didik anak rebut keberkatan Ramadan

Nik Salida Suhaila



Ibu bapa kena beri kefahaman mengenai puasa

Ramadan yang akan tiba beberapa hari lagi amat ditunggu-tunggu seluruh umat Islam. Walaupun cara menghayati purnama mulia ini berbeza, yang pasti umat Islam akan berpuasa sepanjang siang hari dan menggandakan ibadah yang sesetengahnya hanya dilakukan pada Ramadan saja. Ada yang rindukan sahurnya, buka puasa, malah ada teringat malamnya yang kudus. Tarawih dan solat malam sudah tentu akan diisi semaksimum mungkin dan diselangi tadarus. Ramai juga mengambil peluang mengerjakan umrah dan bersedekah.
Semua ingin menghambakan diri, menjadi hamba-Nya yang tulus. Kemeriahan Ramadan bukan diukur dengan besarnya atau gamatnya pesta, tetapi sejauh mana umat Islam mampu mengubah diri ke arah lebih baik, khususnya dengan amalan berpuasa.

Dilakukan orang yang beriman

Amalan berpuasa hanya dapat dilakukan oleh mereka yang beriman, yang dapat menahan daripada makan dan minum di saat dahaga serta lapar meskipun ada hidangan lazat terhidang depan mata. Itulah keimanan kepada Allah.

Iman juga menghalang seseorang daripada melakukan maksiat dan berbicara perkara sia-sia, perbuatan yang membatalkan puasa.
Sabda Rasulullah SAW: “Bukanlah berpuasa itu menahan diri daripada makan dan minum saja, akan tetapi berpuasa juga menahan diri daripada berkata dengan perkataan kotor dan kesat.”

Justeru, tiada siapa yang mampu menolak hakikat orang berpuasa ialah orang yang benar-benar luar biasa.

Permulaannya rahmat, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas dari neraka jahanam. Inilah yang dikejar mereka yang inginkan penghabisan usia baik. Yang bersalah memohon maaf, sombong menghulur senyum, jahat mula bertaubat, takbur bersujud memohon keampunan.

Selain menahan diri daripada lapar dan dahaga, berpuasa juga menjaga diri daripada melakukan perbuatan maksiat.

Perkara halal dilakukan pada bulan lain menjadi haram pada bulan puasa seperti makan di siang hari dan melakukan persetubuhan antara suami isteri. Kerana itulah yang berpuasa dengan sebenar-benarnya adalah orang luar biasa.

Orang yang meninggalkan puasa tanpa izin syarie tidak akan dapat menggantikan hari itu dengan mana-mana hari di dunia meskipun ia berpuasa seumur hidupnya.

Didik anak patuh hukum

Ketika ini jugalah ibu wajar mengambil peluang keberkatan Ramadan untuk meluangkan masa berganda bersama anak dan mendidik mereka mematuhi hukum agama. Selain puasa, rukun Islam lainnya wajar diingatkan semula dan diamalkan bersama mereka supaya hati mereka dekat dengan Pencipta.

Anak bukan saja perlu difahamkan dengan apa yang terakam dalam kitab suci, tetapi juga amalan ditunjukkan ibu bapa, pendakwah paling hampir dengan mereka.

Justeru, setiap suami harus mengambil kesempatan dari saat ini untuk menyiapkan diri membimbing anak dan isteri menghadapi Ramadan kali ini supaya lebih baik daripada sebelumnya.

http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment