Saturday, October 29, 2011

Kejayaan hebat insan miskin, gagal akademik

Kejayaan hebat insan miskin, gagal akademik


Oleh Hamid Karim


PENGASAS dan pemilik syarikat ‘Budak Ketawa’ atau Wahaha Group, Zong Qinghou, hanya manusia biasa. Lahir daripada keluarga miskin dan menjalani hidup sebagai anak orang miskin yang serba kekurangan. Namun, pemilik syarikat pengeluar minuman terbesar di China itu pernah berkata kemiskinan sepatutnya membuka ruang untuk manusia miskin berubah mencari kehidupan lebih baik.



Maksud Zong, jutawan terkaya di China pada 2010 dan pemilik syarikat yang mempunyai 10,000 kakitangan, manusia miskin mesti belajar daripada keperitan hidup untuk memaksa dirinya berfikir supaya dapat beranjak ke dalam kehidupan lebih mewah.



Zong berjaya membuktikan apa yang dikatakannya. Bagi Zong, kemiskinan aset tersembunyi bagai intan terbenam di dalam lumpur.



Kemiskinan sebenarnya mempunyai harga yang teramat tinggi nilainya dalam kehidupan manusia di dunia ini. Kemiskinan menjana manusia supaya berfikir. Anak keluarga miskin ini yang tidak mempunyai pendidikan membuktikan kemiskinan bukan penghalang untuk manusia sepertinya berjaya. Buktinya, dia telah membuka mata dunia apabila pada 2010 dinobatkan manusia paling kaya di China menerusi dagangan produk minumannya, mengatasi jualan Coca-Cola di negara komunis itu.





Dua perkara iaitu kemiskinan dan ketiadaan ilmu akademik yang tinggi diterjemahkan Zong sebagai asas utama kejayaannya menguasai pasaran terbesar produk minuman keluaran syarikatnya. Kejayaan dicapai Zong sehingga memiliki harta melebihi RM10 bilion itu kini lengkap menjadi bukti bahawa semua golongan miskin mesti percaya bahawa kejayaan dalam hidup sememangnya milik semua - asalkan ia diburu dan dicari tanpa henti serta tanpa mengenal penat lelah.





Isu kemiskinan walau di mana berlaku, sama ada di negara miskin atau di negara maju seperti Amerika dan Jepun sebenarnya masalah sejagat. Ia bukan masalah nasib malang yang tidak boleh dielak daripada diwarisi.



Kejayaan Zong keluar daripada belenggu kemiskinan hidup juga dapat dilihat seperti apa yang telah dibuktikan Steve Jobs, pengasas Apple yang meninggal dunia pada usia 56 tahun baru-baru ini. Meninggalkan produk terkini iPhones, iPad dan iPods, Jobs turut meninggalkan sesuatu yang dinamakan kegigihan untuk difikirkan manusia hari ini. Khususnya manusia miskin dan gagal dalam pelajaran di negara kita untuk melakar kejayaan secara luar biasa.



Zong dan Jobs bukan saja meninggalkan nama, tetapi meninggalkan pelbagai produk hasil kreativiti pemikirannya di seluruh dunia. Seperti Zong, Jobs hanya seorang manusia yang gagal dalam pengajian di kolej. Anak pelarian Syria yang berhijrah ke Amerika ini tidak mampu dibela keluarga sendiri, sebelum diserahkan kepada keluarga angkat.



Namun, sejarah kegagalannya dalam pengajian dan drama penderitaan dalam hidup, mampu ditukarkannya menjadi sesuatu yang luar biasa - kejayaan dan kekaguman. Jika bukti betapa kemiskinan, kegagalan dan penderitaan hidup yang dilalui Jobs dan Zong tidak cukup menjadi iktibar bagi manusia yang inginkan kejayaan, lihat pula apa yang dimiliki dan ada pada Bill Gates, pengasas bersama syarikat Microsoft.



Gates tidak sempat menggunakan segulung ijazah daripada Universiti Harvard untuk dibanggakan sebagai orang berilmu kerana gagal dalam pengajiannya. Namun, di sebalik kegagalannya, Gates bersama Paull Allen mengasaskan Microsoft dan pada 2011 memiliki kekayaan kira-kira AS$59 bilion.



Gates juga menyimpan koleksi kisah hidup suram penuh dukacita. Dia tidak dapat menumpukan kepada pendidikan sempurna selepas gagal pengajiannya di universiti. Namun, kegagalan dalam akademik berjaya ditransformasikan menjadi sesuatu yang mengkagumkan.



Dengan produk amat memberi makna kepada manusia sejagat dalam penggunaan teknologi maklumat, Gates berjaya membunuh kepercayaan kebanyakan orang bahawa kegagalan dalam pelajaran itu amat memeritkan. Gates berjaya meletakkan dirinya antara manusia dikagumi berdasarkan kejayaan demi kejayaan syarikatnya menerusi penghasilan pelbagai inovasi terkini.



Mendiang Lim Goh Thong, jutawan negara kita juga mempunyai skrip kehidupan hampir sama. Tidak berpendidikan tinggi dan dibelenggu kemiskinan sejak kecilnya. Bermula sebagai tukang kayu, sebelum beralih kerja sebagai subkontraktor dan siapa sangka projek pertamanya menyiapkan bangunan sekolah dua tingkat merupakan tangga untuk dia terus maju sekali gus melakar sejarah sebagai antara manusia terkaya di negara kita.



Begitu juga Diah Permata Megawati Setiawati Sukarnoputri atau Megawati Sukarno, bekas Presiden Indonesia yang menyimpan kisah gagal dua kali dalam pengajiannya di universiti. Kali pertama pada 1967 apabila beliau gagal selepas beberapa semester memasuki Universiti Padjajaran dalam bidang pertanian. Kegagalan kali keduanya pula ialah ketika belajar psikologi di Universiti Indonesia pada 1970.



Demikian beberapa manusia luar biasa yang lahir ke dunia ini yang tergolong dalam kelompok manusia miskin dan gagal dalam pelajaran. Sebahagiannya lahir tidak ditatang dengan dulang emas, sebaliknya disambut dengan jerit jerkah kehidupan serba kurang dan daif. Namun, di sebalik semua itu, mereka berjaya membuktikan sekurang-kurangnya tiga perkara amat penting difikirkan semua manusia di dunia ini. Pertama, kemiskinan bukan sebuah penjara. Kedua, kegigihan adalah pendakian gunung yang tidak terjumpa puncaknya. Ketiga, minda adalah lautan inovasi yang mesti diselami untuk mencari mutiaranya.



Bertolak daripada cerita beberapa jutawan dan manusia terkenal dunia itu, eloklah jika golongan miskin, khususnya di negara kita mendapat kekuatan menggerakkan minda untuk berfikir. Mereka harus berani mengakui realiti bahawa cerita beberapa manusia ‘gagal’ ini berjaya dalam hidup bukan satu fantasi.



Bukti ditunjukkan Jobs, Zong, Gates, Goh Thong dan Megawati mesti dijadikan alibi untuk menidakkan rasa rendah diri dan kurang yakin dalam usaha memburu kejayaan di dalam hidup.



Golongan miskin dan gagal pelajaran mesti mengakui hakikat bahawa kemiskinan bukan masalah terpinggir yang telah ditentukan Tuhan bagi sesebuah negara, sebaliknya ia adalah isu sejagat, mengandungi hikmah yang mesti difahami. Kemiskinan hanyalah satu perbezaan kelas kehidupan atau strata sosial yang dicipta sendiri oleh manusia atau masyarakat.



Realitinya kemiskinan yang menjadi epik terlalu tua dalam kehidupan manusia - sama lama dengan pelacuran yang dianggap selama ini sebagai profesyen yang dikatakan antara tertua - adalah satu peluang untuk mereka berfikir bagaimana mahu berjaya seperti orang lain.



Golongan miskin dan mereka yang kurang berjaya dalam akademik harus melihat dari sisi positif apa yang dibuktikan Zong, Jobs, Gates, Goh Thong dan Megawati.



Penulis bekas Ketua Biro Harian Metro Johor



Sumber : Harian Metro

1 comment:

  1. saya mintak izin share yer.....sungguh menarik kisah ini....

    ReplyDelete