Wednesday, July 4, 2012

HUKUM SOLAT

Hukum tinggalkan solat ketika kesesakan jalan

SOALAN
Apa hukum jika tertinggal solat ketika berada dalam kesesakan lalulintas? Bolehkah saya melakukan solat jama’ dalam keadaan begini?
JAWAPAN - Oleh Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad

Jawapan:Hukumnya adalah berdosa kerana solat tidak boleh diitinggalkan walau dalam apa jua keadaan. Ini kerana Islam telah menyediakan kaedah solat ketika berada dalam kesulitan dan kepayahan seperti terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan sebagainya.

Perkara yang mesti dilakukan oleh saudara menurut Syaikh Solleh Munajjid ialah saudara boleh menjamakkan solat antara zohor dengan asar atau maghrib dengan isyak.

Malah menurut Asy-Syaikh Ibn Uthaimain pula dalam Fatawanya, sekiranya seseorang yang berniat musafir, boleh melakukan solat jamak antara zohor dengan asar di rumahnya sebelum keluar musafir sekiranya bimbang akan terlepas waktu asar. Ini disebabkan kita menaiki kenderaan awam yang bukan milik sendiri yang menyebabkan susah untuk berhenti bagi menunaikan solat. Walaubagaimana pun ianya mestilah dilakukan dengan 4 rakaat bukannya 2 rakaat. Iaitu tidak boleh men’qasar’kan solat tersebut kerana belum mula musafir.

Dalilnya ialah sabda Rasulullah saw :

Hadis daripada Ibn Abbas r.a. katanya : Rasulullah sa.w. menghimpunkan antara solat Zuhur dan 'Asar dan antara Maghrib dan Isya' di Madinah, bukan kerana takut dan bukan pula kerana hujan. Dan di dalam lafaz yang lain: Bukan kerana takut dan bukan kerana safar, Lalu (Ibn Abbas) ditanya: Mengapa baginda s.a.w. berbuat demikian? Jawabnya: Baginda s.a.w menginginkan agar tidak menyusahkan umatnya". (HR Muslim : 1151)


Inilah yang sebenarnya yang perlu dilakukan oleh mana-mana umat Islam yang menghadapi masyaqqah / kesusahan dalam mengerjakan solat fardhu samada ianya sedang bermusafir mahupun bukan bermusafir.

Wa Allahu A’alam.

Hukum sengaja tinggalkan solat
Kata Imam Nawawi: Tinggal solat dengan ingkar kewajipannya maka ia adalah kafir dengan ijmak muslimin dan mengeluarkannya daripada agama Islam kecuali orang yang baru memeluk Islam. Sekiranya meninggalkannya kerana malas di samping tetap beriktiqad akan kewajipannya maka ulamak berpendapat sebagai berikut:
1 – Mazhab Maliki dan Syafi’i: Fasiq dan diminta bertaubat.Sekiranya tidak mahu bertaubat maka dibunuh sebagai had (hudud).
2 – Mazhab Hanafi dan Imam Muzani (ulamak mazhab Syafi’i): Ditakzir dan dipenjara sehingga dia solat semula.
3 – Mazhab Hanbali dan sebahagian ulamak Syafi’i: Meninggalkan solat secara sengaja tanpa sebarang keuzuran jatuh kafir..

Solat salah satu daripada rukun Islam yang lima, yang diwajibkan ke atas setiap muslim dan muslimat yang mukallaf (baligh dan berakal). Kefarduan ini telah disepakati ulama’ (ijma’) dan dikira sebagai perkara asas agama yang diketahui oleh setiap muslim. Sesiapa yang mengingkari kewajibannya menjadi kafir dan murtad, kekal dalam neraka; kerana kefarduannya disandarkan kepada nas yang jelas dan qathi’e (tidak dapat ditokok tambah) daripada Al-Quran, As-Sunnah dan Ijma’.
Sesiapa yang meninggalkan solat kerana malas, bermudah-mudah atau sengaja tanpa menafikan kewajibannya tergolong dikalangan orang yang fasiq dan berdosa besar yang wajib ke atasnya beberapa perkara:-
1. Bertaubat, beristighfar serta menyesal di atas perbuatannya.2. Mengqada’kan solat yang ditinggalkannya.3. Dijatuhkan ke atasnya hukuman had.

Hukuman Had ke atas orang yang meninggalkan solat Ulama’ mazhab berbeza pendapat pada bentuk hukuman yang dikenakan ke atas orang yang meninggalkan solat, setelah mereka bersepakat pada keharamannya dan besarnya dosa peninggalnya berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.

* Mazhab Hanafi: Peninggal solat dihukum fasik dan wajib dipenjarakan dan dirotan dengan kuat sampai keluar darah, sehinggalah dia kembali solat dan bertaubat atau mati di dalam penjara. Dia tidak dibunuh kecuali mengingkari kewajipan solat atau mempersendakannya.

* Jumhur ulama’ daripada mazhab Maliki dan Syafie: Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dihukum bunuh walau pun meninggalkan satu fardhu sahaja. Disuruh agar bertaubat selama tiga hari, jika enggan dijatuhkan hukuman had dengan dipenggal kepalanya. Selepas dibunuh, dimandikan dan disembahyangkan ke atasnya serta ditanam di tanah perkuburan orang Islam kerana dia tidak dikira kafir. Ini juga adalah pendapat yang rajih pada mazhab Hanbali sebagaimana dikatakan oleh Ibn Qudamah dalam Al-Mughni .

Hukum Mengqada’kan SolatSesiapa yang meninggalkan solat kerana terlupa atau sengaja (dan berdosa jika sengaja), wajib mengqada’kannya. Dalilnya, sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud:Jika tidur salah seorang daripada kamu daripada solat, atau melupainya, dia menunaikannya apabila sedar atau teringat.
Juga Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksudnya: Sesiapa yang terlupa satu sembahyang, hendaklah menunaikannya apabila dia teringatnya; tiada kaffarah baginya kecuali yang tersebut (iaitu tidak perlu membayar kaffarah yang lain, memadai dengan menggantikan solat tersebut).
Banyak lagi hadis-hadis lain yang membawa maksud yang sama iaitu wajib mengqada’kan solat yang ditinggalkan. Pada zahir hadis tidak menyebut tentang hukum orang yang sengaja meninggalkan solat, adakah wajib mengqada’kannya atau tidak. Maka di sinilah ulama’ memainkan peranan mereka untuk mengeluarkan hukum daripada nas tersebut. Mengikut kaedah Qias, orang yang meninggalkan solat kerana uzur seperti terlupa atau tertidur, wajib mengqada’kannya berdalilkan nas tersebut; maka kewajipan ini terlebih dahulu kena kepada orang yang meninggalkan solat secara sengaja. Jika tidak, jadilah maksiat itu (meninggal solat dengan sengaja) membawa kepada kesenangan (tidak qada’). Ini bertentangan dengan ruh syariat yang adil.
Janganlah kita terpengaruh dengan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan tidak wajib mengqada’kan solat yang telah ditinggalkan kerana cukup dengan Istighfar dan taubat sahaja. Ini kerana jumhur ulama’ daripada mazhab yang empat Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali mewajibkan qada’ solat secara umumnya
Dikecualikan daripada Qada’ beberapa golongan:1. kanak-kanak yang belum baligh, tidak wajib menggantikan solatnya yang terdahulu selepas baligh.2. orang kafir yang memeluk Islam (muallaf) tidak wajib menggantikan solatnya semasa kufurnya.3. perempuan yang haid4. perempuan yang nifas (keluar darah akibat beranak)5. orang gila, mabuk dan pengsan yang bukan dengan sebab yang disengajakan seperti minum arak dll.
Selain daripada mereka, samada tidur, sakit, murtad yang kembali memeluk Islam, [pengsan, gila dan mabuk yang disengajakan] wajib ke atas mereka qada’.

*Tidur tidak boleh disamakan (qias) dengan pengsan iaitu tidak perlu menggantikan solat kerana perbuatan tidur dilakukan dengan sengaja dan kehendak diri, ia berlainan dengan pengsan yang tidak disengajakan. Dalilnya seseorang itu mampu menidurkan dirinya tapi tidak mampu menjadikan dirinya pengsan dengan sendiri dan apabila seseorang itu pengsan, kadang-kadang tidak akan sedar walaupun dikejut dengan kuat. Apabila seseorang memakan ubat untuk pengsan contohnya, maka apabila sedar dia diwajibkan juga mengqada’kan solat yang tertinggal kerana dia sengaja membuat dirinya pengsan.

Jika seseorang daripada lima golongan di atas hilang uzur mereka dan masih tinggal waktu yang mencukupi walau Takbiratul Ihram, wajib baginya menggantikan solat tersebut begitu juga solat yang sebelumnya jika boleh dijama’kan. Hukum ini menyeluruh kepada yang bermusafir dan bermukim.
Contoh: Jika seorang perempuan suci dari haidnya pada akhir waktu Asar, wajib baginya mengqada’kan solat Asar dan Zohor yang sebelumnya. Begitulah juga perihalnya jika suci pada waktu Isyak, wajib mengqada’kan Maghrib dan Isyak. Jika seseorang perempuan masuk waktu solat dalam keadaan suci, kemudian datang haidnya sebelum sempat dia solat pada waktu itu, dan waktu yang suci itu mencukupi untuk solat; wajib ke atasnya mengqada’kan solat tersebut apabila suci kelak kerana kelalaiannya dan tidak bersegera menunaikan solat selepas masuk waktunya.

*Disunatkan mengqada’ solat secara tertib solat yang ditinggalkan seperti Subuh sebelum Zohor dan begitulah seterusnya. Dan hendaklah seseorang itu mendahulukan solat yang tertinggal daripada solat waktu tersebut kecuali kerana takut luput waktu solat tersebut.

Bagi orang yang tidak tahu berapa kalikah tertinggal solat hendaklah dia melaksanakan qada’ solat tersebut sehingga dia yakin bahawa dia telah menghabiskan solat yang ditinggalkannya .

Hukum menangguhkan solatApabila masuknya waktu solat, wajib seseorang itu melakukan salah satu daripada dua perkara:-
1. terus mendirikan solat, itulah yang paling afdhal atau2. azam untuk menunaikan solat dalam waktunya.
Jika tidak melakukan salah satu daripada perkara yang disebut di atas, sesungguhnya berdosalah dia. Ini dinamakan azam yang khas. Dan wajib bagi seseorang itu selepas baligh menyimpan azam yang umum untuk melakukan segala suruhan Allah dan meniggalkan segala laranganNya .
Haram hukumnya menangguhkan solat sehingga tidak sempat menunaikan solat dengan segala syarat dan rukunnya di dalam waktunya. Sesuatu solat itu dikira sebagai tunai.


sumber :


http://johor.ikram.org.my

No comments:

Post a Comment

Post a Comment