Tuesday, September 27, 2011
Di manakah kemanusiaan?
Akhbar melaporkan :
Siasatan polis berhubung kes penemuan mayat seorang remaja perempuan dengan kesan terbakar hampir 80 peratus di Bukit Belacan, Ampang pada 5 September lalu, mendapati mangsa menolak ajakan suspek untuk melakukan hubungan seks.
Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd, Zinin berkata, berikutan itu, suspek cuba memperkosa mangsa berusia 19 tahun yang juga pelajar di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam.
Malah katanya, berdasarkan siasatan juga, suspek kemudian mengambil tindakan drastik membunuh mangsa yang berasal dari Ukay Perdana, Ampang itu.
“Laporan bedah siasat diperolehi tetapi kita tidak akan mendedahkannya sehingga seluruh siasatan selesai dilakukan.
“Polis juga mendapatkan perintah sambung reman sehingga 27 September ini sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini.
Pada 5 September lalu, media melaporkan, mangsa, Nurul Awatif Syakir, 19, seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Tijarah dilaporkan hilang oleh keluarganya setelah tidak pulang selepas keluar rumah pukul 8.30 malam sehari sebelum itu.
Pengecaman mayat mangsa dilakukan keluarganya melalui cebisan baju kurung berwarna hijau serta sepasang anting-anting.
Pada 12 September, polis mengumumkan penahanan suspek berusia 19 tahun yang merupakan pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan di pusat pengajiannya yang terletak di Seri Iskandar, Perak, bagi membantu siasatan kes tersebut.
Selain itu, polis turut mengambil sebuah telefon bimbit milik mangsa dan sebuah kereta Perodua Kancil milik keluarga suspek yang didapati mempunyai keterangan-keterangan fizikal seperti rambut bagi mengenal pasti hubung kait dengan kes tersebut.
Seorang pelajar institut pengajian tinggi (IPTA) di Seri Iskandar, Perak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini atas tuduhan membunuh seorang pelajar wanita dari maahad tahfiz di Selayang, awal bulan ini.
Muhammad Khairi Nor Aziz, 19, yang hadir ke mahkamah dengan berkopiah menganggukkan kepalanya sebagai tanda faham ke atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah terhadapnya.
Tertuduh didakwa membunuh Nurul Awathif Mohd. Shakir, 19, di rumahnya di No. B-119 Pangsapuri Sri Wira, Jalan Ukay Perdana 2, Taman Ukay Perdana, Ampang antara pukul 9 malam, 4 September 2011 dan pukul 2.15 pagi, 5 September 2011.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati. Tiada pengakuan direkodkan.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 8 November depan untuk pihak pendakwaan mengemukakan laporan bedah siasat dan laporan kimia. ...
sumber : Akhbar Kosmo/Utusan/Berita Harian
No comments:
Post a Comment