Sunday, April 24, 2011

Marah kejut solat Subuh


Marah kejut solat Subuh

AMPANG: Seorang isteri kini terlantar dalam keadaan koma dan bertarung nyawa di hospital akibat dibelasah serta ditikam suaminya yang naik hantu selepas wanita itu menyuruhnya menunaikan solat Subuh.

Kejadian berlaku di rumah pasangan berusia 30-an terbabit di Pandan Indah Commercial Park, di sini, kira-kira jam 6 pagi semalam dan mangsa yang kehilangan banyak darah akibat cedera di perut kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang.


Sumber polis berkata, kejadian berlaku apabila suami mangsa yang tidur berang selepas dikejutkan isterinya dan disuruh mendirikan solat Subuh.

“Tindakan mangsa menyebabkan suaminya berang sebelum berlaku pertengkaran hampir 10 minit. Suaminya yang hilang pertimbangan membelasah mangsa lebih 30 minit sebelum mengarahkan mangsa jangan menyuruhnya bersolat.


“Biarpun dibelasah dan diugut demikian rupa, mangsa masih meminta supaya suaminya berubah selain menunaikan solat,” katanya.


Menurutnya, keengganan mangsa mematuhi arahannya menyebabkan suaminya bertindak lebih agresif dengan mengambil pisau dan menikam perut wanita itu.

“Mangsa terjatuh sebaik ditikam dan keadaan itu menyebabkan suaminya panik, apatah lagi selepas melihat isterinya berlumuran darah serta meraung kesakitan,” katanya.


Sumber itu berkata, bunyi bising akibat pertengkaran dan serangan suspek ke atas mangsa menarik perhatian jiran mereka, seorang lelaki berusia lewat 20-an yang bergegas ke rumah pasangan itu.

“Sebaik masuk ke rumah berkenaan yang pintunya tidak berkunci, jiran itu melihat mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah manakala suaminya berdiri sambil memegang pisau.


“Terkejut dengan kehadiran jirannya, suspek segera melarikan manakala mangsa dibawa jirannya itu ke hospital dengan bantuan beberapa jiran lain,” katanya.


Difahamkan, sehingga petang semalam keadaan mangsa dilaporkan kritikal manakala suaminya yang menghilangkan diri kini diburu polis.


Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut dilakukan.

Sumber : Harian Metro

KEMALANGAN DIRANCANG?


KEMALANGAN DIRANCANG?




STATISTIK Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan bahawa jumlah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya telah meningkat setiap tahun sejak lima tahun lalu.

Dalam tempoh tersebut, peningkatan paling ketara berlaku pada 2006 iaitu sebanyak 8.5 peratus atau 54,000 kes menjadikannya 635,082 kes berbanding 581,082 kes (2005).

Sementara itu, pada tahun lalu, jumlah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ialah sebanyak 762,529 kes, meningkat 4.2 peratus daripada tahun sebelumnya yang berjumlah 705,623 kes.

Peningkatan terendah pula ialah pada 2008 iaitu hanya 7,941 kes (1.17 peratus) kepada 676,114 kes daripada 668,173 kes (2007).

Perangkaan tersebut secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini amat serius.

Di sebalik kebimbangan tersebut, wujud satu lagi fenomena yang ‘menakutkan’ apabila ada pihak-pihak tertentu telah menjadikannya sebagai satu cabang perniagaan paling menguntungkan.
Kemalangan tidak berbau tetapi ada juga kemalangan yang sengaja dirancang pihak tertentu bertujuan mengaut keuntungan.

Antara pihak yang mendapat keuntungan apabila berlaku kemalangan adalah bengkel membaiki kereta dan juga pengendali trak tunda yang boleh mendapat pendapatan sehingga RM10,000 sebulan.

Laporan Khas Utusan Malaysia mengupas mengenai sesetengah pihak yang sanggup mengupah ‘longkai’ memasang perangkap di jalan seperti paku, minyak dan pasir di kawasan yang mudah berlaku kemalangan.

Perkhidmatan trak tunda telah menjadi perniagaan menguntungkan dan setakat ini, tiada pihak mengawal pergerakannya. Malah tidak seperti teksi, trak tunda tidak memerlukan permit.

Jika setiap kenderaan yang ditunda ke bengkel dibayar komisyen antara 10 hingga 15 peratus daripada kos tuntutan insurans kemalangan, bayangkan keuntungan yang mampu dikaut oleh syarikat trak tunda apabila tahun lalu sahaja jumlah kenderaan yang terbabit dengan kemalangan dicatatkan ialah sebanyak 762,529!

Dengan purata tuntutan insurans antara RM1,000 hingga RM3,000, bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami, syarikat trak tunda mampu memperoleh antara RM100 hingga RM450 hanya untuk sebuah kenderaan. Itu belum lagi termasuk bayaran menunda ke bengkel.

Komisyen tersebut akan dibayar oleh pemilik-pemilik bengkel bagi memastikan mereka mendapat lebih ramai pelanggan.

Perkhidmatan trak tunda sebenarnya telah menjadi perniagaan atau industri yang menguntungkan. Tetapi setakat ini, tiada pihak mengawal pergerakannya. Malah, tidak seperti teksi, trak tunda tidak memerlukan permit.

Sejak lima tahun lalu, jumlah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya seperti direkodkan oleh pihak polis meningkat 24 peratus atau 181,447 kes iaitu daripada 581,082 kes pada tahun 2005 kepada 762,529 tahun lalu.

Kenderaan yang paling banyak terlibat pula ialah kereta diikuti motosikal, pelbagai jenis lori, pacuan empat roda, van dan sebagainya.

Peningkatan statistik kemalangan jalan raya dari setahun ke setahun, secara tidak langsung memberi ruang kepada perkembangan industri ini sekali gus menarik lebih ramai melibatkan diri.

Dengan pendapatan seorang pemandu trak tunda yang mampu mencecah RM10,000 sebulan, mereka sanggup melakukan apa sahaja.

Apa yang pasti, semakin hari, kepantasan pemandu-pemandu trak tunda menghidu kes-kes kemalangan yang berlaku semakin hebat.

‘Kecekapan’ dan habuan lumayan yang menanti ini juga telah menimbulkan pelbagai persoalan sehingga ada dakwaan mengatakan sebilangan daripada kemalangan itu sengaja dirancang.

Dakwaan tersebut mungkin benar menerusi beberapa pendedahan wujudnya ‘perangkap’ di laluan utama jalan raya seperti Kuala Terengganu-Kuantan, Jerangau-Jabor, laluan pantai Kuala Terengganu-Kota Bharu dan Kuala Terengganu-Kota Bharu melalui Bandar Permaisuri sebelum ini.

Malah, Jambatan Pulau Pinang juga pernah menjadi saksi tentang kewujudan pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini melakukan aktiviti khianat.

Antara yang digunakan sebagai perangkap ialah span berpaku, besi tajam, minyak petrol serta pasir yang sengaja ditabur di jalan raya.

Seorang pemilik trak tunda mendedahkan, kerja meletakkan minyak atau objek lain itu dilakukan oleh pihak ketiga yang dipanggil ‘longkai’ atau call man yang mendapat komisyen bagi setiap kemalangan dimaklumkan kepada mereka.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah pula berkata, berdasarkan kajian, kebanyakan kemalangan adalah disebabkan faktor kecuaian manusia.

Sepantas kilat, mereka tiba di lokasi

SELAIN kecuaian, kemalangan yang berlaku juga berkemungkinan disebabkan terdapatnya 'perangkap' seperti paku, minyak atau pasir yang diletakkan di atas jalan oleh pihak tidak bertanggungjawab.


KISAH 1:
FARIZ Fikri, 23, pernah mengalami pengalaman membabitkan sikap biadab dan kasar pemandu trak tunda apabila terbabit dalam kemalangan setelah terlanggar sebuah kereta di hadapannya.

Kemalangan itu menyebabkan keretanya gagal dihidupkan dan pada masa sama, dia menghubungi pak ciknya yang juga seorang anggota polis untuk membantu.

Tidak sampai lima minit, dua buah kereta yang dipercayai runner tiba sambil membawa walkie-talkie.

''Mereka bertanya dengan nada keras kereta saya boleh bergerak atau tidak dan apabila dijawab tidak, serta-merta mereka menolaknya ke bahu jalan.

''Dengan cara mengugut, mereka terus menawarkan khidmat tunda kereta ke bengkel panel insurans dengan caj yang murah tetapi saya tidak bersetuju kerana mahu menunggu pak cik terlebih dahulu," katanya.

Bagaimanapun keadaan kembali terkawal apabila pak ciknya datang dengan kereta polis.

KISAH 2:

PENGALAMAN buruk itu juga pernah dialami seorang gadis, Lili Ahmad, 26, apabila terlibat dalam satu kemalangan baru-baru ini.

Hujan renyai-renyai menyebabkan permukaan jalan raya menjadi licin dan agak sukar untuk memberhentikan kereta serta-merta.

Tiba-tiba kenderaan di hadapannya berhenti mengejut, menyebabkan kereta dipandunya gagal berhenti walaupun telah membrek.

''Selang beberapa minit, datang sebuah trak tunda yang menawarkan perkhidmatan menunda kereta untuk dihantar ke bengkel.

''Pada mulanya saya enggan menerima tawaran itu kerana mahu menunggu abang datang tetapi gagal menghubunginya," kata Lili.

Dalam keadaan trauma dan panik, Lili terpaksa menerima tawaran itu kerana tidak mahu lama berada di tempat kejadian.

Akibatnya, dia bukan sahaja dikenakan caj yang tinggi malah keretanya terpaksa berada di bengkel itu selama sebulan kerana kekurangan pekerja.

KISAH 3:

SEORANG pemandu yang hanya mahu dikenali sebagai Jidin, 27, pernah menghadapi satu kejadian hampir meragut nyawanya ketika pulang ke kampung di Terengganu melalui Lebuh Raya Karak pada cuti persekolahan baru-baru ini.

''Cuaca pada hari itu baik, kereta yang baru diservis juga meyakinkan saya untuk memandu dengan kelajuan 100 kilometer sejam.

''Tiba-tiba kereta saya hilang kawalan sebelum berhenti di tepi jalan. Apabila memeriksanya, saya mendapati terdapat tumpahan minyak yang agak banyak di kawasan tersebut," katanya.

Tidak lama selepas itu, beliau didatangi sebuah kereta dengan dua orang lelaki bertanyakan keadaan keretanya.

''Mujur kejadian itu tidak meragut nyawa saya. Tetapi yang jelas ini menunjukkan memang ada pihak dengan sengaja meletakkan minyak gris ke atas jalan bagi tujuan mengaut keuntungan tanpa memikirkan keselamatan pengguna,'' ujarnya.

Jidin berpendapat trak-trak tunda wajar diharamkan dari memasuki lebuh raya dan penyelenggara lebuh raya itu perlu menyediakan perkhidmatan trak tunda bagi mengelakkan kejadian serupa berulang pada masa hadapan.

Sumber : Utusan

Saturday, April 23, 2011

IISLAM MENGGALAKKAN HADIAH –MENGHADIAHI.



HAMPER PRODUK PAKAIAN BERNILAI RM500 UNTUK PENGUNJUNG BERTUAH PESTA BUKU ANTARABANGSA PADA 1 MEI 2011



ISLAM MENGGALAKKAN HADIAH –MENGHADIAHI.




“Salinglah kamu hadiah-menghadiahi nescaya kamu akan berkasih sayang”
Baginda SAW.

Bismillah
Dengan nama Allah Maha Pemurah lagi amat Maha Pengasih............

Aku bersyukur kepada Allah Maha Pengasih kerana dengan hidayah-Nya aku dilahirkan Islam.Dengan Rahmat-Nya juga ,aku diberikan ilmu yang sedikit ini untuk menjadi bekalan menempuhi kehidupan....


Islam adalah agama yang menganjurkan kasih sayang.Dalam hadis tersebut Baginda saw memberi petua untuk melahirkan kasih sayang iaitu sering memberi hadiah dan menerima.Baginda menggunakan sighoh mubalaghoh (saling memberikan iaitu memberi dan menerima ) .Dalam bahasa arab sighoh mubalaghoh digunakan untuk mmeberi makna kedua-dua pihak saling melakukan.Contohnya suami memberikan hadiah buat isteri dan isteri juga memberi hadiah buat suami.Itulah sighoh mubalaghoh.


Dalam Quran dan hadis pelbagai petua dan panduan diajar agar manusia sering berkasih-sayang.Pelbagai kejahatan di dunia ini adalah berpunca dari sikap manusia yang tidak menjiwai kasih sayang...



Quran adalah khazanah agong kepada manusia namun ramai manusia hanya tahu membaca.Tidak memahami dan menghayati aklimah Tuhan yang Maha Bijaksana.Manusia yang hanya tahu membaca ibarat burung kakak tua yang bijak mengucapkan “Assalamualaikum” namun tidak memahami apa yang diucapkan.



Memang rugi jika tidak memahami isi Quran kerana ia khazanah amat berharga buat orang Islam......




Pada tahun 2010,saya membelanjakan RM1200 produk pakaian buat pembeli buku saya di Pesta Buku Antarabangsa PWTC KL.Bagi saya ia bukan kerugian kerana memberikan cenderamata buat pembeli buku akan melahirkan perasaan kasih sayang sesama manusia.


Ia akan melahirkan perasaan kasih sayang antara penulis dan pembeli buku,sekaligus memberi nama baik kepada penerbit.Inilah usaha untuk menaikkan nama penerbit Melayu.



Saya tidak peduli ejekan penulis lain dan pegawai yang suka memperlekehkan usaha orang lain.Bagi saya,jika kita peduli dengan nista dan ejekan manusia lain maka kita tidak akan berbuat apa-apa.



Baginda saw tidak pernah gentar cemuhan dan ejekan manusia.Walaupun dituduh gila,ahli sihir dan kurang akal,Baginda saw tetap meneruskan dakwah untuk membawa manusia ke arah kebaikan dan kejayaan dunia akhirat.


Islam amat menitik-berat amalan mulia seperti saling memberi hadiah.Amalan memebri ahdiah perlu dipraktikkan dalam keluarga dan masyarakat.Ibu bapa perlu memberi hadiah buat anak-anak,anak-anak juga perlu memberi hadiah buat ibu bapa.



Begitu juga jiran,ketua pejabat,majikan ,guru,pelajar,suami-isteri dan sebagainya.Semua umat manusia perlu mempraktikkan amalan saling memberi hadiah kerana ia melahirkan kasih sayang sesama manusia.



Saya bersyukur kepada Allah Maha Pemurah.Allah melipatgandakan rezeki sepanjang masa walaupun banyak memberi berbanding menerima.Saya memanfaatkan rezeki kurniaan Allah dengan membuat jariah seperti membina masjid,sekolah dan sebagainya.Rezeki juga dihulurkan kepada orang miskin,anak yatim dan penyapu sampah.Rezeki ini adalah ujian kepada manusia dan Allah swt menguji manusia dengan pelbagai ujian dan salah satu ujian adalah harta dan wang.





Saya tidak mahu mati dan terlupa melakukan kebaikan.Alangkah rugi manusia mati dan meninggalkan wang berjuta dalam bank namun lupa memanfaatkan sedikit harta untuk kebaikan yang akan membantu diri sendiri dalam kubur dan akhirat.



Saya tidak mampu menjadi manusia hebat seperti Saidina Abu bakar Assiddik yang memanfaatkan kesemua hartanya ke jalan Allah.Saya hanya mampu memanfaatkan 10 % pendapatan untuk jariah,sedekah,jariah dan sebagainya.Itu sahaja kemampuan saya.



Ketika kanak-kanak saya hidup dalam kemiskinan dan sering dihina teman-teman anak orang kaya kerana memakai baju,seluar dan kasut koyak dan bertampal.Namun itu semua tidak melemahkan saya.Saya berusaha hingga berjaya masuk Universiti.Ejekan dan hinaan tidak pernah melemahkan saya.Ia menjadi pembakar semangat untuk berjaya.Pabila mengenang zaman kanak-kanak,mata ini merembes.



Saya mendidik anak-anak agar jangan menghina orang miskin.Saya mendidik mereka agar sayangkan orang miskin,cacat dan hina.Saya mendidik anak-anak mengucapkan terima kasih kepada pakcik yang mengambil sampah di depan rumah.saya mahu anak-anak membesar dengan nilai yang baik.



Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naunganNya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredhaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!", orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.." (Hadis riwayat Imam Abu Daud dan Ibnu Majah)



Kita perlu berusaha agar mendapat naungan Allah swt.Akhirat nanti tiada siapa yang akan membantu kita kecuali amalan yang telah kita lakukan di dunia ini...


“ Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara
jeritan yang dahsyat; Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, Dan ibunya serta bapanya,
Dan isterinya serta anak-anaknya;. Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-
perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.”
Surah ‘Abasa 33-37


Dikisahkan seorang wali Allah yang amat peka dengan kisah akhirat membaca ayat tersebut ketika solat dan rebah meninggal dunia.Subhanallah!

Adalah benar segala kebaikan dan kesempurnaan hanya milik Allah Maha Berkuasa lagi Maha Penyabar
manakala diri ini amat lemah dan naif.

Terima kasih kerana membaca..




Admin KT
24 April 2011
Writing with tears but nobody care..............................

Monday, April 18, 2011

PENAWAR KEZALIMAN DAN KEJAHATAN....



Sekolah inilah di mana berlaku seorang guru gila memukul murid 7 tahun hingga hilang nyawa seorang anak yatim...............

PENAWAR KEZALIMAN DAN KEJAHATAN....

“Dan berilah peringatan dengan apa yang telah diwahyukan itu kepada orang-orang yang takut akan
dikumpulkan kepada Rabb mereka (pada hari kiamat), sedang mereka tidaklah mempunyai seorang
pelindung dan pemberi syafaat pun selain Allah, agar mereka bertakwa.” (SURAH AL-An’am: 51)

Bismillah

Dengan nama Allah Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Alhamdulillah syukur kepada Allah swt kerana aku menemui April.Sudah 36 kali bertemu dan ini kali ke 37....Mungkin ini kali terakhir,siapa tahu.

Syukur kepada Allah kerana aku mampu membaca dan menulis.Aku manfaatkan nikmat dan anugerah ini untuk menulis nota buat teman-teman yang setia dalam Kisah Teladan.

Facebook ini amat ajaib.Ia menemukan berjuta manusia 6 benua.Jauh dan dekat.Miskin atau kaya.Bodoh atau pandai.Cantik atau hodoh.Bijak atau dungu.Semua manusia gilakan Facebook termasuklah aku....

Kadangkala aku pobia membaca akhbar.Pembunuhan,ragut,kes pukul,rompak,buli,kemalangan,suami mendera isteri,guru memukul pelajar 7 tahun hingga mati,kebakaran,pelajar tumbuk guru,buang bayi dan pelbagai kezaliman dan kejahatan dilakukan manusia.

Mengapakah setiap hari pasti ada sahaja pelbagai jenayah dan kejahatan dilakukan manusia?



Manusia itu sama.Dilahirkan telanjang bulat dan berteriak pabila melihat dunia.Sudah 9 bulan berada dalam rahim seorang ibu .....Akhirnya dengan izin Allah swt,kita dilahirkan dan mendapat peluang melihat dunia...

Manusia itu sama.Dilahirkan bodoh dan dungu.Tidak tahu membezakan buah dan najis.Semuanya dimakan jika berhampiran.

Manusia itu sama.Tidak kenal alif ba ta dan ABC.Namun Allah beri peluang kepada manusia untuk belajar dan akhirnya mereka kenal segala huruf.Mereka tahu apa itu baik dan jahat.Mereka tahu siapa itu syaitan.Mereka kenal siapa itu Allah swt.Mereka tahu akhirat.Mereka yakin syurga dan Neraka.

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu
bersyukur." surah Annahl ayat 78.

Allah berikan otak kepada manusia.Namun ramai manusia mempunyai otak,bukan akal.Manusia mempunyai akal adalah berbeza dengan manusia mempunyai otak.

Manusia itu tahu buang bayi itu jahat.Zina itu jahat.Meragut itu jahat.Memukul itu jahat.Mengumpat itu jahat.menghina itu jahat.Membuang sampah merata-rata itu bodoh.Buat bising dalam perpustakaan itu bodoh.Berjudi itu berdosa.Makan riba itu berdosa.Berniaga jeans Levis dari Siam itu haram.Namun mengapakah manusia itu tahu segalanya dan melakukannya???

Kasih sayang.Kasih sayang adalah penawar segalanya.Apabila jiwa manusia mempunyai kasih sayang,mereka akan menjauhi kejahatan dan kezaliman.

Apabila seseorang mahu mengumpat,ia memikirkan perasaan manusia diumpat.Ia fikirkan betapa sakitnya hati manusia diumpat.ia juga fikirkan betapa jatuhnya maruah manusia diumpat..Justeru kasih sayang dalam jiwa menjauhkan manusia menjauhkannya.


Apabila manusia mahu meragut,ia fikirkan perasaan manusia itu bersusah siang malam bekerja mencari wang.Ia fikirkan betapa pelbagai barang penting dalam beg tangan seseorang.Ia fikirkan betapa susahnya manusia kehilangan Mykad,kad ATM,wang dan sebagainya.

Apabila manusia mahu memukul,ia fikirkan betapa sakitnya seseorang dipukul.Ia juga fikirkan kesan dan tanda serta bekas kesan pukulan.Ia juga fikirkan betapa jika ia sendiri dipukul,bagaimanakah sakitnya.

Aku menangis.Aku menangis sepanjang hari bila akhbar melaporkan kanak-kanak 7 tahun yang juga anak yatim dipukul guru gila di Perlis.Hanya kerana mencuri RM7,ia dipukul tanpa belas simpati.Ia merayu agar jangan dibelasah lagi namun guru gila itu terus membelasah tanpa simpati....Memang memalukan guru yang berstatus guru agama namun tiada kasih sayang dalam jiwa...

Pelbagai kezaliman dan kejahatan manusia.Begitu juga manusia yang mempunyai kuasa.Mereka dipilih rakyat menjaga kebajikan rakyat namun mereka abaikan.Mereka tahu jambatan uzur dan buruk namun tidak menggantikan baru.Mereka tunggu jambatan roboh barulah nak mengganti.Itulah YB yang tidak peka.

Mereka tahu selekoh berbahaya.Mereka tunggu manusia kemalangan mati dan kemalangan berlaku setiap minggu barulah mahu mengubahnya.Itulah manusia ada kuasa tetapi tidak menunaikan amanah.

Manusia tahu betapa zina itu dosa besar dan jahat.Mereka tahu malu bila mengandung.Mereka tahu buang bayi dosa besar dan menyalahi undang-undang namun mereka buat juga!

Manusia yang melakukan kejahatan dan kezaliman tahu apa yg mereka lakukan adalah jahat dan zalim.Mereka tahu itu dosa.Mereka tahu mereka akan ke Neraka,namun buat juga!

Kasih sayang adalah ajaib.Manusia jahat bertukar menjadi baik.Kasih sayang adalah sifat yang mengubah jiwa dan peribadi manusia.Lihatlah seorang jejaka yang kusut masai menjadi seorang yang kacak dan bersih,berpakaian smart dan ayat power pabila menemui gadis idaman.Itulah hebatnya kasih sayang.


Kasih sayang itu ajaib.Manusia yang bengis menjadi lemah lembut.Hanya kerana ditimpa penyakit serius dan doktor mengatakan bahawa tempoh hidup hanya berbaki 1 tahun mengikut ilmu perubatan,manusia itu berubah kerana tahu ajalnya semakin hampir.Jiwa yg bengis kini sudah insaf dan menjiwai apa itu kasih sayang....

Apabila manusia mempunyai kasih sayang,manusia itu tidak akan melakukan segala kejahatan dan maksiat.Manusia itu akan menjauhkan segala sifat bodoh dan sia-sia.Kasih sayang adalah penawar mujarab .

Aku sentiasa membaca nama Allah “Ya Rahman” dan “Ya Rahim” agar jiwaku sentiasa dihinggapi kasih sayang.Ke mana-mana inilah nama Tuhan yang berkumandang dalam jiwaku.Bila nama Tuhan berkumandang dalam jiwa , aku tidak akan mengumpat,menghina,memperlekehkan,meragut,menghina,memukul,merompak atau apa sahaja kejahatan....

Inilah Islam.Islam mengajar manusia mempunyai kasih sayang.Baginda saw ketka sujud dalam solat,cucunya naik ke atas bahu dan Baginda saw memanjangkan sujud hinggalah cucunya puas dan turun.Begitulah kasih sayang manusia mulia ini....

Saidina Omar al-Khattab memancung kepala musuh dalam peperangan walaupun musuh itu telah mengucap syahadah.Baginda saw amat marah tindakan Omar tersebut.Baginda saw marah kerana Omar tidak menjiwai kasih sayang....Itulah kali terakhir Omar melakukan kesalahan ...

Kasih sayang itu subjektif namun ia mujarab dalam mengubati jiwa manusia.Apabila kita menanam jiwa dengan kasih sayang,kita bukan sahaja tidak bernai melakukan kejahatan malah insaf kita adalah manusia yang amat lemah.Dengan gigitan nyamuk kecil,kita boleh masuk ICU dan mati.............




Aku sentiasa berdoa selepas solat “ Ya Allah Maha Pengasih,lembutkan hatiku,tanamkan kasih sayang dalam jiwaku.jauhkan hati yang keras dan mati”.Aku berdoa kerana hanya Allah swt mampu menanam kasih sayang dalam diriku....

Aku taku menjadi manusia tiada kasih sayang.Jika aku hilang kasih sayang dalam jiwa
nescaya pelbagai kejahatan dan kebodohan aku lakukan....

Segala kesempurnaan dan kebaikan hanyalah milik Allah Maha Perkasa lagi Bijaksana sedangkan aku manusia naif dan lemah..................

Terima kasih kerana membaca.....


Admin Kisah Teladan & Co..............

19 April 2011

PERJALANANKU........................



KENANGAN KETIKA KANAK-KANAK



Perjalananku....

Aku kenal nama ibuku
Aku kenal nama ayahku
Namun aku telah ditakdirkan...
Tidak berpeluang merasai kasih sayang mereka............


Aku tidak mampu melawan takdir
Apa lagi membenci ketentuan....
Aku belajar apa itu pasrah
Aku belajar apa itu reda.....


Aku tidak mampu mengubah suratan Allah swt Maha Perancang..........
Kerna aku adalah insan lemah
Berasal dr setitis mani yg hina....


Apakan daya...
Aku hidup tanpa mereka
Sejak berusia 1 tahun
Malah tidak sempat merasai susu ibu sekenyangnya....



Namun aku bersyukur
Kerna aku berpeluang merasai kasih sayang
Manusia bergelar Atok dan Nenek
Mereka tidak pernah memukulku
Tidak pernah memarahiku
Apa lagi menderaku
kerna faham hati dan perasaan SEORANG anak yatim.....



Aku bersyukur
Walaupun anak yatim piatu
Aku merasai kasih sayang mereka
Walau tidak sehebat ayah dan ibu...


Aku pernah dihina
Kerna tidak memiliki ibu bapa
Aku memeluk Atok dan Nenek
Meluahkan kepada mereka...
aku merembes
merekalah tempat mengadu.....


Ya Allah
Panjangkan usia mereka
Yang kini telah tua
Dan uzur....


Ya Allah
Aku mahu melihat wajah mereka
Kerna merekalah aku mampu hidup di bumi ini.....


Ya Allah..
Aku tidak mampu memberikan mereka kemewahan banglo berjuta
Apa lagi wang berjuta
Aku hanya mmapu memberikan makan dan minum buat mereka...



Merekalah ibu bapaku
Merekalah penawar dukaku
Merekalah semangatku...


Apabila wang dititipkan membina masjid dan sekolah
Aku sedekahkan pahala buat ibu bapa dan Datok nenek
Kerana mereka amat berjasa bagiku...........
itulah balasan buat mereka


Ya Allah Maha Pengasih....
Aku amat mencintai mereka...........
sehingga akhir hayatku..............

Admin Kisah teladan & Co
19 April 2011

Saturday, March 26, 2011

Islam separuh masak...........

Islam separuh masak...........

"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara
keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan.Sesungguhnya syaitan itu musuh
yang nyata bagimu."
surah al-Baqarah 208

Bismillah...
dengan nama Allah Maha Pemurah lagi Maha pengasih..
Alhamdulillah syukur kepada Allah Maha Pemberi rezeki.Sejak aku lahir hinggalah kini rezeki melimpah-limpah.Tidak pernah kelaparan walupun pernah hidup kemiskinan zaman kanak-kanak...

Mengenang zaman kanak-kanak memang sendu dan sebak.Memakai seluar dan baju ke sekolah koyak bertampal sana sini.Bahkan kasut juga koyak.Begitulah pahitnya zaman kanak-kanak.

Namun kemiskinan tidak pernah menyebabkan aku menyesal dalam kehidupan kerana aku sedar masih ramai manusia yang lebih papa kedana .Aku masih ingat teman sekolahku,Azmi lebih miskin.Jika aku ke sekolah dengan 20sen,dia hanya 10 sen...Kini Azmi entah ke mana....

Hidup dalam kemiskinan memang memeritkan.Justeru bila Allah kurniakan rezeki melimpah,aku x lupa bayar zakat kerana zakat akan melimpah utk orang miskin...Juga sedekah dan hadiah buat org miskin....Alhmdulillah pengalaman mengharungi kemiskinan mengajar aku agar mengingati nasib manusia miskin...

Aku bukanlah kaya sangat....Namun aku manfaatkan sedikit harta buat manusia memerlukan.Aku tahu harta bertimbun takkan ikut masuk kubur...

Dah habis mukaddimah daaa....

Ayat di atas adalah perintah wajib dari Allah swt.Apabila perintah wajib diabaikan,maka berdosalah manusia itu.
Allah swt memerintahkan masuk Islam secara keseluruhan.Bukan Islam separuh masak...Kalau telor separuh masak memang sedap dimakan bersama lada hitam sarapan pagi....Dapat pula telor ayam kampung,memang best!.

Apakah yang dimaksudkan dengan masuk Islam keseluruhan?

Cuba kita lihat kehidupan kita.Kita tidur,bangun,belajar,berniaga,bekerja,melayan anak,hak jiran,hak orang kampung,hak suami,hak isteri,hak ibu bapa,hak pergaulan,menjadi pemimpin,etika pelanggan,hak tanah,hak rumput,belajar ilmu agama dan pelbagai bidang dan lapangan kehidupan.

Adakah kesemua lunas kehidupan kita menurut Islam?

Kita lihat apa yang dilakukan manusia..
1.Membuang sampah merata-rata.
2.Mengumpat siang dan malam.
3.Mengejar kuasa politik dan mengabaikan rakyat.
4.Membuat bising hingga mengganggu jiran.
5.Membuka telefon bimbit dalam masjid dan panggung wayang.
6.Membiarkan tanah tanpa usaha menghasilkan sayuran dan buahan.
7.Melangggar lampu isyarat merah atau memotong kenderaan di garisan berkembar.
8.Melayan pegawai rendah seakan mereka pengemis.
9.Sombong dengan harta,pangkat dan kedudukan.
10.Rajin solat terawih malam Ramadhan namun solat 5 waktu diabaikan.
11.Menarah bukit dan gunung tanpa kawalan kerna mencari keuntungan.
12.Suka memaki hamun suami/isteri.
13.Guru yang tidak mengendahkan kritikan pelajar/ibu bapa.
14.Bercakap bohong ketika berniaga.
15.Suka mencari salah orang lain.
16.Bangun pagi dengan menguap dan lupa berdoa.
17.Suami isteri Melakukan seks tanpa berdoa.
18.Menghina kereta buruk di jalanan.
19.Suka memaki dan membenci pemimpin yang baik.
20.Menunjukkan contoh buruk kepada anak-anak seeprti suka berbohong,mungkir janji dsb.
21.Memfitnah tanpa bukti.
22.Menganggap dosa kecil sebagai remeh.
23.Memaksa anak gadis berkahwin dengan bukan pilihan hatinya.
24.Melayan isteri seperti hamba abdi.Membasuh pinggan dan membasuh pakaian pun tidak mahu dilakukan.
25.Hidup dalam kejahilan dan tidak pernah merasa diri jahil.
26.Menjauhi masjid.Ke masjid bila hari Jumaat sahaja.
27.Tidak menambahkan ilmu agama.
28.Terlibat dalam riba.
29.Mellihat kejahilan orang lain dan mentertawakan mereka.
30.Menghormati ulama’ jahat dan membenci ulama sebenar.
31.Tidak pernah menyelidiki harta dan wang diperoleh sama ada halal atau haram.
32.Terlibat dalam urusan meragukan .
33.Mempercayai kuasa tangkal,paku,syiling lama dan sebagainya.
34.Sanggup berhabis ribuan ringgit untuk mencantikkan wajah dan body,namun lupa kecantikan hati dan jiwa.
35.Melayan Facebook ketika kerja dan ia bukan urusan kerja.
36.Punch card jam 7 pagi dan keluar minum hingga 10 pagi,barulah masuk kerja.
37.Menunggu tua untuk rajin beribadat.
38.Menipu claim urusan kerja.Out-station perbelanjaan RM500,claim RM1000.
39.Ibu bapa mengeluarkan perkataan bodoh,tolol,buta,dsb kepada anak-anak.
40.Menggunakan santau dan bomoh untuk menzalimi orang lain.
41.Tidak peka dengan makanan dan minuman sama ada bersih,kotor,hala atau haram.
42.Melakukan pekerjaan haram seperti GRO,menjual VCD cetak rompak,berniaga pakaian tiruan dsb.
43.Menzalimi manusia yang tidak bersalah.
44.Membeli pangkat Datok dengan wang.
45.Menjadi YB yang tidak mengendahkan rakyat.
46.Memberi makan ahli keluarga hasil rezeki haram.
47.Mengutamakan sunat dan mengabaikan wajib.
48.Membuang masa berjam2 di kedai kopi atau kopitiam.
49.Rajin membaca majalah hiburan,namun malas membaca buku ilmiah dan majalah berinformasi.
50.Menjadi penganggur walaupun kerja kosong bersepah-sepah.

Itulah contoh manusia hari ini.Adakah mereka masuk Islam secara keseluruhan?

Apabila bernama Islam,maka ianya cukup.Adakah begitu?Tidak....Nama sahaja tidak cukup untuk menjadi orang Islam yang benar-benar masuk Islam secara keseluruhan.

Manusia yang peka bukan buat-buat peka adalah manusia yang berusaha mengamalkan Islam dalam kehidupan sama ada dalam pekerjaan,ibadat,hak manusia,hak rakyat dan sebagainya.Islam tidak pernah mengajar umatnya menjadi umat islam separuh masak.

Dalam ayat di atas juga Allah memerintahkan manusia masuk Islam secara keseluruhan,kemudian mengingatkan manusia agar menjauhi syaitan.Perintah menjauhi syaitan adalah perintah wajib.Jika menurut syaitan,maka berdosalah manusia........
“janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan.Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu."

Setelah perintah masuk Islam keseluruhan datang pula perintah menjauhi syaitan.Ia menunjukkan bahawa syaitan akan menghasut manusia menjadi Islam separuh masak.Syaitan tahu manusia Islam separuh masak akan masuk ke Neraka bersamanya.

Fikirkan diri sendiri,adakah aku Islam keseluruhan atau Islam separuh masak?Anda yang boleh menilai diri masing-masing kerana saya bukanlah Malaikat atau manusia luar biasa boleh menilai manusia lain.

Islam itu syumul dan sempurna dan meliputi semua aspek kehidupan.Islam bukan hanya untuk solat dan puasa sahaja namun meliputi segalanya dalam aspek politik,ekonomi,keibubapaan,pendidikan,kebudayaan,geologi,kejuruteraan,sains,teknologi,kedoktoran,suami-isteri,hubungan manusia dan segalanya.Jika hanya amalkan Islam dalam solat dan puasa,namun mengabaikan aspek lain,maka jadilah Islam separuh masak...

Ramai manusia Islam separuh masak.Rajin solat dan puasa namun suka mengumpat dan memfitnah.Rajin bersedekah namun dalam hati riak dan ujub.Rajin mencari rezeki namun mencampurkan halal dan haram.Suka berniaga namun suka menaikkan harga untuk kaya cepat.Rajin ke masjid namun hanya solat Jumaat.

Quran mengajar berjuta-juta panduan kepada manusia agar manusia menjadi Islam keseluruhan.Namun ramai tidak menghayati Quran,maka jadilah Islam separuh masak.Syaitan pula rajin menjadi penasihat.Maka tidak hairnalah ramai umat Islam jadi Islam separuh masak.


Umat Islam seramai 1.8 bilion namun kecut dengan Israel yang hanya 14 juta di dunia ini.Ia menunjukkan betapa terlalu ramai orang Islam separuh masak..

Menjadi Islam syumul (seluruhnya )adalah kewajipan fardhu ain kepada semua orang Islam.TiADA YANG BERKECUALI.JIka mahu menjadi Islam separuh masak,terserahlah...

Kebaikan dan kehebatan hanyalah milik Allah Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.Aku?Hanyalah manusia lemah dan naïf.......Banyak kelemahan dan kekurangan.

Admin
Kisah Teladan & Co
27 Mac 2011

Monday, March 21, 2011

Apakah Kita Semakin Tamak? Kurang Prihatin?


Apakah Kita Semakin Tamak? Kurang Prihatin?

Oleh Nurul Halawati Azhari

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Benarkah ada di antara kita kini mula tidak ambil peduli apabila musibah menimpa orang lain? Adakah masyarakat kita yang penuh dengan sifat sopan-santun dan berbudi bahasa sudah bertukar menjadi 'tamak haloba'.

Beberapa kejadian yang berlaku awal tahun ini telah memaparkan realiti sebenar sikap segelintir masyarakat kita.

Februari lepas, seluruh negara membaca luahan rasa kecewa seorang pemandu lori treler Ahmad Rozlin Ahmad Murad, dengan sikap orang ramai berebut memungut kampit berisi beras yang bertaburan di atas jalan raya selepas lori treler tersebut terlibat dalam kemalangan, tanpa mempedulikan mayat rakannya yang tersepit di kenderaan itu.

Sebulan sebelum itu, keluar juga berita dalam media mengenai kenderaan pacuan 4-roda yang membawa lebih RM$70,000 (dalam bentuk syiling) terlibat kemalangan di KM 244 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Pedas.

Duit syiling itu bertaburan di atas jalan raya. Sesetengah mereka dari kenderaan yang lalu di situ seolah-olah 'berpesta' memungut wang yang bertaburan dan tidak menghiraukan rayuan pemandu kenderaan pacuan 4-roda itu agar tidak 'diambil' syiling tersebut.

Namun individu terlibat tidak mempedulikan langsung rayuan tersebut meskipun terdapat polis dan petugas lebuh raya yang berada di tempat kejadian. Walaupun pemandu serta seorang rakannya itu hanya cedera ringan, namun tidak ada siapa yang ambil kisah untuk membantu mereka.

Satu kemalangan melibatkan van di KM 424.9 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Bukit Tagar juga berlaku pada bulan yang sama.

Tetapi apa yang terjadi?

Beberapa pemandu kenderaan turut berhenti tetapi bukan untuk membantu mangsa kemalangan sebaliknya berebut-rebut memungut barangan yang tercampak dari van berkenaan. Mana tidaknya, van yang terlibat dalam kemalangan itu membawa beribu-ribu botol minuman 'yogurt' (dadih) jenama terkenal.

REAKSI

Kejadian berkenaan menarik pelbagai reaksi sama ada daripada orang ramai mahupun golongan ulama serta cendikiawan.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harrussani Zakaria seperti yang dinyatakan dalam laporan sebuah akhbar menegaskan, duit tersebut haram diambil serta digunakan kerana ia mempunyai pemilik dan wajib dikembalikan semula.

Manakala Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut berpendapat orang ramai hendaklah membantu mangsa kemalangan tersebut dan memulangkan kembali wang syiling dan bukannya mengambil kesempatan daripada insiden itu.

Malah beliau menganggap perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara Islam seperti Malaysia.

Wajarkah insiden-insiden yang mencerminkan 'tamak haloba' rakyat Malaysia berlaku sedangkan kita memang dididik dengan sikap Masyarakat Penyayang dan Berbudi Bahasa?

BUKAN MASALAH KITA

Apa sudah jadi dengan masyarakat kita hari ini?

Tinggal sembilan tahun sahaja lagi untuk kita sampai ke tahun 2020 dan mencapai Wawasan 2020. Malah kita juga sedang berusaha menjayakan Gagasan 1Malaysia.

Sayangnya, adakah masyarakat sudah bersedia mendekati matlamat tersebut?

Ahli Psikologi Sosial dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr Intan Hashimah Mohd Hashim berkata beliau melihat hal ini dari dua aspek.

Pertama, faktor orang ramai tidak membantu seseorang yang telah mengalami kemalangan. Kedua, kenapa pula orang sanggup mencuri/mengambil barangan yang bertaburan kesan daripada kemalangan tersebut?

Menurut Dr Intan Hashimah, sikap ini tidak semestinya ada kaitan dengan nilai sopan-santun dalam masyarakat tetapi lebih kepada apa yang dipanggil oleh ahli psikologi sosial sebagai kesan pemerhati atau dalam bahasa Inggerisnya, "by-stander effect".

Banyak kajian dalam psikologi sosial menunjukkan bahawa kecenderungan untuk orang sekeliling membantu seseorang dalam suasana kecemasan (seperti kemalangan jalan raya) akan berkurangan sekiranya terdapat ramai pihak lain yang sedang memerhatikan kejadian yang sama.

"Kemungkinan dengan adanya lebih ramai orang di sekeliling akan mendorong seseorang merasakan tanggungjawab untuk menolong tidak hanya kepada dirinya seorang. Malahan ramai yang merasakan orang lain lebih sesuai dan sepatutnya membantu seseorang dalam kecemasan dan bukan dirinya sendiri. Dengan itu mereka memilih untuk tidak membantu", kata pakar psikologi sosial itu.

Dr Intan Hashimah berpendapat fenomena ini berlaku dalam banyak masyarakat termasuk di barat. Sikap membantu dalam kecemasan akan lebih tinggi jika yang memerhatikan kejadian itu hanya seorang dua berbanding lebih ramai orang.

Mengenai aspek kedua, Dr Intan Hashimah berpendapat ia masih lagi berkaitan dengan rasa tanggungjawab.

"Dalam situasi kedua, mereka yang mencuri daripada mangsa kemalangan biasanya lebih daripada seorang dan mereka tidak mengenali mangsa kemalangan.

"Tambahan pula ada ramai lagi yang turut mencuri/mengambil barangan yang bertaburan, ini mengurangkan rasa malu atau bersalah dalam diri orang yang mencuri. Mereka juga tidak takut tertangkap kerana tiada polis atau pihak autoriti di situ yang akan mengambil tindakan terhadap mereka.

KENAPA TIDAK PUNYA PERASAAN?

Mungkin ada beberapa faktor yang menyumbang kepada berlakunya sikap tidak peduli sebegini.

Bagi Dr Intan Hashimah, beliau tidak melihatnya sebagai faktor perubahan moral dalam masyarakat sebaliknya ia lebih kepada faktor situasi yang mendorong seseorang untuk berkelakuan sedemikian.

"Dalam situasi ini, masyarakat memerlukan 'role model'. Jika ada seseorang yang membantu mangsa kemalangan dan ada pula seseorang yang menghalang (tidak semestinya mangsa kemalangan itu sendiri) orang lain daripada mencuri, mungkin mereka yang ada dan sedang memerhatikan di tempat kejadian akan turut membantu dan tidak akan mencuri.

"Apa yang kita perlu ada ialah contoh dalam masyarakat yang menunjukkan nilai-nilai positif dan itu membolehkan orang lain turut melakukan perkara yang sama. Saya percaya masih ramai orang Malaysia yang baik-baik tetapi mereka tidak tahu apakah yang sesuai untuk dilakukan dalam suasana tertentu, terutama semasa kecemasaan," ulas pensyarah itu.

Bagaimanapun, sebagai ahli psikologi sosial, beliau tidak melihat rakyat Malaysia sudah kurang dengan nilai kasih sayang, bersopan-santun dan berbudi bahasa.

Masyarakat Malaysia memang bersopan-santun tetapi masalahnya mereka lebih biasa bersopan-santun dengan orang yang dikenali dan tidak kepada orang asing yang tidak dikenali.

"Kita perlu belajar menyalurkan rasa prihatin kepada segenap masyarakat, bersikap prihatin dan sopan kepada orang sekeliling walaupun orang itu tidak kita kenali," sarannya.

Jika kanak-kanak dan pelajar boleh dididik di peringkat awal, mendidik masyarakat yang dewasa mungkin agak berbeza. Intan Hashimah berpendapat, setiap individu mesti menanamkan sikap prihatin dan bertimbang rasa sedalam-dalamnya dalam diri masing-masing.

Sekiranya sikap ini dimiliki, kita akan sentiasa perihatin dan bertimbang rasa dalam semua konteks dan ditujukan kepada semua orang sekeliling, tanpa mengira sama ada kita mengenali atau tidak mengenali orang itu.

"Jika ini berlaku, pastinya kita tidak akan teragak-agak membantu mangsa kemalangan dan tidak akan sanggup mencuri atau mengambil barangan daripada mereka, walaupun kita tidak akan tertangkap."

Kita tidak mahu, kelak apabila masalah begini berlaku, masyarakat Malaysia hanya menjadi pemerhati sambil memeluk tubuh menantikan pihak lain untuk membantu.

-- BERNAMA