Ahmad sedang membaca salah satu surat yang diterimanya. |
Cuma di pintu untuk masuk ke bangunan menempatkan kantor MB dan Exco memerlukan KLPT iaini 'kad leset pintu terbuka'. Bila kita leset (dekatkan kad) ini di tombol kunci pintu akan terbuka, krekkkk. Saya tidak pasti bila sistem KLPT ini dipraktikan di Kota Darulnaim. Dengan adanya kad ini nampak modenlah sikit. Semoga urusan pentadbiran di Kota Darulnaim ini juga semoden kad berkenaan. Tetapi awas kalau kita tidak ada kad ini (saya tak ada), kita kena tunggu ada orang hendak masuk atau keluar baru boleh masuk dengan menumpang mereka.
Bersama TMB Kelantan Mohd Amar. |
Sampai di tingkat satu langkah saya sedikit terjongket. Terasa agak canggung sedikit dan kekok untuk terus melangkah menuju ke pejabat MB. Semacam ruang itu ruang rumah orang yang tidak biasa dan tidak pernah saya masuki. Wal hal sudah kerap saya ke situ.
Entah kenapa semacam benda baru pula ada di situ. Saya memerhati ke segenap jerung dan peralatan yang ada. Di sudut kiri berdepan lif ada satu bangku pengawal dengan seorang pengawal lengkap berpakaian seragam. Umurnya sudah dimakan 'sempadan' pencen.
Entah saya terperasan persis ruang itu bersinar banar pula. Mungkin perasan saya kerana Kelantan mendapat MB baru maka suasana sekitar juga baru. Saya memerhati ke sekeliling, pandangan jatuh ke beberapa keping gambar yang diabadi kemas dalam bingkai (frame) yang agak eksklusif. Gambar itu dipasang setentang di ruang seluas kira-kira 10 kaki luas itu. Gambar potret itu ialah wajah bekas MB Kelantan dari yang pertama sampai yang ke lapan.
Selepas saya mengamat-amati satu persatuan potret bekas MB itu terperasan oleh saya bahawa bukan semua MB dianugerahkan Dato' Bergelar. Daripada lapan MB itu hanya empat orang saja mempunyai Dato' Bergelar sementara yang lain tidak.
Mereka ialah MB Kelantan yang pertama, Nik Mahmod Nik Ismail (1921 - 1947) yang digelar Dato' Bentara, MB yang kedua, Nik Ahmad Kamil Nik Mahmod (1948 - 1955) yang digelar Dato' Seri Setia, MB ketiga, Tengku Mohd Hamzah Tengku Zainal Abidin (1955 - 1959) digelar Tengku Seri Maharaja. Manakala MB Kelantan ke empat, Ishak Lotfi Omar, (1959 - 1964, 1973 - 1974) kelima, Mohd Asri Muda, (1964 - 1973) dan keenam Mohamad Nasir, (1974- 1977) ke tujuh Mohamed Yaakob (1977 - 1990) tidak mendapat nama gelaran itu.
Potret Tokguru dalam frame. |
Lama saya memerhati dan membaca nama-nama serta angka tahun tempoh mereka mentadbir yang dicatat pada gambar itu. Sehinggalah mata saya terpaku kemas ke frameTokguru Nik Abdul Aziz yang berada di ruang paling hujung. Di atas frame itu dicatat tahun 1990 -. Sebelum ini ramai yang sedang menanti bilakah ruang kosong itu akan terisi. Kini kekosongan ruang itu sudah terjawab, mulai 6 Mei 2013 lalu Tokguru Nik Aziz bukan menteri besar Kelantan lagi. Tempoh perkhidmatannya sebagai MB ialah 1990 - 2013. Selama 23 tahun, adalah tempoh paling lama dan satu rekod.
Saya terkedu dan mengeluh tanpa disedari bila menyedari hakikat itu. Fikiran menerawang bahawa orang yang berada di atas kerusi di bilik sebelah bukan lagi Tokguruku. Kerusi dan pejabat itu kini sudah dimiliki oleh orang lain. Walaupun penggantinya adalah orang kepercayaanya, hakikat MB adalah tetap orang lain bukan Tokguru lagi. Orang yang akan melayani saya dan bertanya itu dan ini bila sesekali menyinggahi pejabatnya, sudah tidak menjadi MB lagi. Kenapa beliau berhenti?
Masih terkemen di dalam ingatan, pada suatu hari saya mengunjungi Tokguru. Tatkala itu beliau baru saja selesai mengadakan mesyuarat Exco, hari Rabu. Kebetulan ketika saya masuk ke ruang bilik kecil tempat beliau makan dan solat, beliau sedang membuka nasi bungkus. Begitu nampak saya Tokguru suruh duduk.
"Bila sampai?" tegurnya. Itulah pertanyaan awal bila setiap kali bertemu dengannya. Kemudian sambung..."nak makan nasi sikit, baru sudah mesyuarat Exco. Nak bagi dua nasi ini tak boleh ini nasi kerajaan," katanya tersenyum mesra. Saya mengerti gurauan dan mengerti mesejnya. Menurut Tokguru menjadi amalan pentadbirannya selepas mesyuarat Exco, mereka akan diberi nasi sebungkus seorang untuk dimakan di bilik. Makan berjemaah tidak diamalkan kerana ia boleh melengahkan masa dan belanja agak mahal. Jadi untuk meringkaskan dan menjimatkan wang negeri dengan dibeli nasi sebungkus seorang.
Ini kontras sekali dengan apa diamalkan oleh menteri kabinet di mana setiap kali mesyuarat mingguan Rabu, menteri dan seluruh stafnya akan makan nasi berhidang di pejabat. Adakanya makanan bertimbun tidak habis dan terpaksa dibahagikan kepada staf untuk dibawa pulang.
"Ana kena makan dulu, perut dah masuk angin. Nak bagi ke enta tidak boleh.. ini dibeli dengan duit kerajaan," kata Tokguru lagi sambil tersenyum senyum. Senyuman itu masih melekat di hati dan ternampak dek mata sampai ke saat ini. Gurauannya cukup lunak dan membahagiakan. Sebab itu bagi saya menemui Tokguru samalah berada di bawah pokok rendang selepas melalui perjalanan di padang pasir yang panas 'ceng-ceng'. Saya melihat dia makan dan menuangkan air dalam cawan. Sambil makan dia bertanya beberapa perkara selalunya mengenai isu-isu politik orang Kuala Lumpur. Bersama Tokguru waktu dia makan kita sudah merasa kenyang dan puas. Inilah keberkatannya.
Sekejap kemudian, belum habis separuh Tokguru berhenti makan. Katanya; "eh rasa kenyang pula dah..." Saya mengerti dan faham dengan gelagat Tokguru itu. "Enta tolong perhabiskan...," katanya sambil menolak bungkusan nasi ke arah saya. Itulah yang saya nanti-nanti dan tuggu-tunggukan. Tidak payah minta dan mengedeng.. Tokguru faham dan dia tidak akan menelan nasi tanpa orang yang ada bersamanya juga ikut sama menelan. Cara Tokguru ini amat-amat saya faham dan akhlak ini menyebabkan saya mengkreditkan beliau sebagai mulia bagi sisi saya.
Mengenang kemesraan dan kehalusan budi Tokguru ini menjadi saya sebak dan air mata tergenang dengan sendirinya bila mengenangkan peristiwa dua atau tiga hari sebelum pilihan raya semasa saya mengunjunginya di Subuh hari di hotel penginapannya di Shah Alam. Sewaktu sampai pegawainya sedang menyiapkan makan pagi untuk Tokguru berupa nasi berlauk dan laksam.
Tokguru makan laksam. Beliau memang gemar laksam. Saya pula makan nasi berlauk ikan aya. Selalu bila bersama Tokguru sedang makan, menyebabkan cara makan saya akan 'njur'. Tokguru pagi itu begitu selera sekali. Sekejap sahaja habis laksam sepinggan. Sesuatu yang merujakan saya apabila beliau meminta nasi saya. Katanya; bubuh sikit, nampak sedap nasi enta. Saya angkat pinggan dan minta dia mengautnya ke dalam pinggan bekas laksam. Tetapi dia suruh saya menguis sendiri ke dalam pinggannya.
Beliau terus makan, dan sekejap pinggannya licin sekali lagi. Apa yang hendak saya sebutkan dengan peristiwa ini. Betapa halus dan seninya cara Tokguru mengajar dan mendidik. Begitu juga cara beliau menghubungkan ukhwah Islamiyah. Siapa yang tidak bangga dan akan mengenangnya sampai mati bila seorang Tokguru sanggup memakan nasi dari pinggan kita. Oh Tokguru...
Terus merasa kekok
Ahmad memberi pose istimewa bersama saya. |
Seperti biasa, setiap kali saya menjenguk masuk ke pejabat MB, saya akan menyopankan diri sebaik mungkin. Memberi salam dan bersalam setiap kerani yang ada atau sesiapa yang berada di situ. Ada juga kerani atau petugas di Pejabat Am MB itu senyum ada juga yang serius bekerja seperti Malik Zabaniah.
Menjelang tengah hari itu ramai orang di pejabat MB. Semua hendak bertemu dan mengucap selamat, saya kira. Mungkin macam saya juga. Melihat keadaan itu sudah tidak mungkin saya ada peluang untuk berjumpa dengan MB. Saya tidak mahu menyusah apa lagi menggangu. Lagipun kehadiran saya tidak begitu penting sangat.
Saya pulak jenis tidak dapat menunggu lama. Menunggu bagi saya membuang masa dan satu keadaan cukup membosankan. Baru saya berhajat untuk balik, tiba-tiba Setiausaha Akhbar sdr Fadzli Shaari terpandang dan terus berjalan mendekati saya. Fadzli menggunakan cara PRnya dan menguruskan saya. "Orang ramai abang Ti, tak pa abang Ti masuk sini dulu, ambo uruskan..." kata Fadzli sambil membuka pintu untuk masuk ke sebuah bilik. Bilik ini pernah saya gelar sebagai lorong tikus.
Pun begitu saya sudah membuat appoinment menerusi Setiausaha Sulitnya, sdr Rosdi. Malangnya Rosdi tidak ada dia telah berlepas ke Tanah Suci. Saya tidak tahu beliau serahkan temujanji saya itu kepada siapa, Ataupun Rosdi tidak merekodnya. Sebelum ke pejabat MB saya menghubungi seorang pegawai yang menjadi assistant kepada Rosdi. Malang, tiga kali call dan satu SMS tidak dibalas sampai kini. Mungkin nombor yang diberi itu tidak betul atau pegawai jenis burung wak-wak.
Sebenarnya teman yang bersama saya telah menghubungi rakannya yang berkerja di pejabat MB. Temannya itu memberi tahu datang saja sebab MB masih di pejabat. Sebab itu saya memberanikan diri, 'terak' untuk jumpa dengan MB. Nasib baik Fadzli melayan dengan baik. Terima kasih adinda Fadzli.
Baru Fadzli membuka pintu untuk mempersilakan saya masuk ke bilik MB, terjolor Mohd Amar. Apa lagi, Mohd Amar memang ramah dan suka bergurau. "Oh MSO ada... apa khabar?" tanyanya. Sambil berjabat tangan dan mengucap tahniah kepadanya saya bergambar dengan TMB baru ini. Sambil memfokuskan kepada kamera, Mohd Amar terus bersenda; "ni ambil gambar masuk dalam blog. Jangan rembas ikut dan gat, nanti rabit hidung..," begitulah cara Mohd Amar bergurau. Kalau tidak bergurau semacam tidak sah berjumpa dengannya. Walaupun Mohd Amar suka pangkah orang tetapi dia boleh terima apa yang saya kata (pangkah) ke atasnya. Saya cukup faham dengan anak tokoh PAS Nik Abdullah Arshad ini. Saya sebenarnya lebih mesra dengan ayahnya dari beliau sendiri.
Waktu saya masuk ke bilik Ustaz Ahmad dia dimeja sedang membaca sesuatu. Selepas memberi salam saya dan kawan mendekati mejanya. Jelas sekali beliau kesibukan dan beliau hanya menanti atau memberi peluang untuk saya saja. "Lorak sikit ni... nak ke Balai Islam, ada program di sana.." katanya seolah sedang menanti untuk dengar apa-apa yang hendak kami katakan.
"Tahu dah... saja ana singgah nak ucap tahniah kepada Ustaz. Kebetulan balik... ambil peluang. Tak mengapa nanti kita set lain kali..." kata saya memberi kelegaan kepadanya.
"Molek... terima kasih banyak. Ana sangat-sangat memerlukan bantuan dari semua pihak. Terima kasihlah." Katanya dalam serba salah kerana tidak dapat melayan saya lama. Rasanya tidak sampai 15 minit saya dan kawan minta diri dan beliau terus ke Balai Islam, katanya dalam rangka bertemu mesra dengan kakitangan Majlis Agama Islam.
Sebelum keluar saya sempat merenung ke segenap jerung bilik MB itu. Saya seakan mencari-cari di mana Tokguru Nik Aziz. Saya baru tersedar dari lamunan itu bila mana Ustaz Ahmad berkata; ikut sini pun boleh tubik juga. Arkh....
Bilik MB Kelantan itu masih seperti dulu. Tidak berubah. Position meja dan kerusi, serta tabir kayu (skrin) tidak pun berubah atau diubah. Hanya kalau berubah sikit ialah sofa untuk ruang tamu telah ditukar kepada set baru. Lain-lain masih dikekalkan seolah-olah Ustaz Ahmad mahu mengekalkan keadaan seperti sedia kala seperti mana Tokguru jadi MB 23 tahun lalu. Atau mahu sengaja dikekalkan agar aura Tokguru terus segar di bilik itu.
Cuma tengah hari itu yang terlupa saya kesan apakah bau attar Tokguru masih juga ada di ruang bilik yang penuh bersejarah itu. Saya akan menghidunya di lain kali. InsyaAllah. [wm.kl.9:32 pm 28/05/13]
http://msomelayu.blogspot.com
No comments:
Post a Comment