PERKAHWINAN ANTARA ADAT DAN SUNNAH
Mewujudkan sebuah perkahwinan merupakan satu langkah yang sangat murni dan sangat-sangat dituntut oleh agama yang fitrah. Perkahwinan atau ikatan pernikahan adalah sebuah sunnah yang mulia yang telah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul serta generasi awal dan akhir yang mengikuti petunjuk mereka. Perkahwinan adalah sebuah fitrah yang telah sedia ditanamkan ke dalam jiwa-jiwa manusia seluruhnya. Oleh sebab itu, Islam menggalakkan umatnya untuk berkahwin.
Ini tidaklah sebagaimana yang berlaku kepada sebahagian agama seperti Kristian yang menggalakkan kerahiban dan pertapaan para sami dari agama budha dan seumpamanya yang melarang perkahwinan. Malah sebenarnya sebuah perkahwinan merupakan asas pembentukan sesebuah masyarakat yang harmoni. Dengan perkahwinan, jiwa-jiwa menjadi tenang, hati menjadi tenteram, populasi manusia semakin bertambah disebabkan oleh sebuah ikatan percintaan yang halal lagi sistematik. Sekaligus, ikatan perkahwinan dapat mengawal dari berlakunya pelbagai bentuk gejala yang tidak sihat seperti perzinaan, perbuatan homoseksual dan juga pelacuran sebagaimana yang berlaku di era zaman jahiliyyah sebelum datangnya Islam ke tanah Arab dan kini banyak berlaku di negara-negara barat pula.
Dengan izin dari Allah s.w.t, tulisan ini cuba mengupas sebahagian daripada juzuk perkahwinan yang dimaksudkan. Tulisan ini bakal difokuskan kepada aspek perlaksanaan majlis perkahwinan atau disebut sebagai walimatul urus. Melihat fenomena yang banyak berlaku pada akhir-akhir ini di mana majlis-majlis perkahwinan rata-ratanya dimeriahkan dengan pelbagai adat-adat dan upacara-upacara tertentu yang meragukan serta mengarahkan kepada timbulnya beberapa persoalan di sudut agama. Ia sekaligus memerlukan serta menuntut sebuah penilaian dan pencerahan ke atasnya dilakukan berpandukan kefahaman agama yang tepat. Lebih menyedihkan, adat-adat dan pelbagai upacara tersebut telah mula sebati dan popular di kalangan masyarakat umat Islam hari ini sedangkan ianya masih sangat memerlukan penilaian ilmiyah dari Al-Quran, As-Sunnah dan manhaj ahlus sunnah wal-jamaah akan keharusannya.
Apa yang dimaksudkan ini termasuklah pelbagai bentuk makanan yang dihias dengan pelbagai rupa seakan-akan patung, upacara persandingan, aneka muzik, acara tari-menari dan nyanyi-nyanyian, upacara potong kek, adat menyarung cincin, upacara bergambar dan menggantung gambar, dan seumpamanya. Bentuk-bentuk upacara seperti ini selain memerlukan belanja yang besar, adakah ia termasuk ke dalam tuntutan agama atau sebaliknya, atau mungkin pula bertentangan dengan agama Islam itu sendiri?
Maka di sini timbullah sebuah persoalan, iaitu sejauh manakah sebenarnya majlis perkahiwinan yang benar-benar dianjurkan oleh syariat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih? Adakah majlis perkahwinan itu perlu diadakan dengan pelbagai aturcara seperti upacara sarung cincin, persandingan, iringan muzik, dan sesi mengambil gambar (fotografi)? Selanjutnya, adakah bentuk-bentuk aturcara walimah seperti ini benar-benar menepati kehendak syariat dan merupakan suatu yang dibenarkan atau sebaliknya? Sekaligus, adakah tanpa semua upacara tersebut, majlis walimah menjadi hambar dan tidak absah?
Atas sebab itulah, maka tulisan ini pun disusun. Dengan izin Allah tulisan ini cuba menyampaikan dan menggariskan bentuk-bentuk majlis perkahwinan (walimatul urus) yang bertepatan dengan agama kita yang suci lagi murni. Sekaligus melihat sejauh manakah kebanyakan majlis perkahwinan yang difahami oleh masyarakat kita hari ini yang sebenarnya telah banyak ditokok tambah dengan pelbagai bentuk amalan yang mungkar lagi bercanggah dengan syariat. Lebih parah, ia turut memberi kesukaran kepada kebanyakan pasangan yang ingin membina mahligai rumahtangga masing-masing kerana diikat dengan adat dan upacara tersebut.
Dengan memahami yang mana satu adalah sunnah dan mana satu merupakan tokok tambah (bukan dari anjuran agama), dengan izin Allah ia bakal membantu kita semua membezakan di antara keduanya berdasarkan ilmu. Seterusnya kita akan berupaya menjadikan sebuah majlis perkahwinan kita, anak-anak kita, dan keluarga baru kita sebagai sebuah majlis yang berhak mendapat keberkahan dan redha dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan memisahkannya dari apa yang tidak disyari’atkan (serta yang terlarang).
Definisi Walimatul urus
Kata walimah (الوليمة) diambil dari kata asal walmun (الولم) yang bererti perhimpunan, kerana pasangan suami isteri (pada ketika itu) berkumpul sebagaimana yang dikatakan oleh imam az-Zuhri dan selainnya. Bentuk kata kerjanya adalah awlama (أولم) yang bermakna setiap makanan yang dihidangkan untuk menggambarkan kegembiraan (ketika pernikahan). Dan walimatul urus (ووليمة العرس) adalah sebagai tanda pengumuman (majlis) untuk pernikahan yang menghalalkan hubungan suami isteri dan perpindahan status kepemilikan. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam Syarah Bulughul Maram, 3/153-154)
Menurut Imam Ibnu Qudamah dan Syaikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, “Al-Walimah merujuk kepada istilah untuk makanan yang biasa disajikan (dihidangkan) pada upacara (majlis) perkahwinan secara khusus.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 15/486 – Maktabah Syamilah. Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Shahih Fiqhus Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Mazahib al-Arba’ah, 3/182 – Maktabah at-Tauqifiyyah, Cairo)
Manakala sebahagian ulama dari kalangan mazhab Ahmad dan selainnya menyatakan, “Bahawasanya walimah merujuk kepada segala bentuk makanan yang dihidangkan bagi meraikan kegembiraan yang berlangsung.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 15/486)
Dari penjelasan definisi ini dapat kita fahami bahawa yang dimaksudkan dengan walimatul urus itu adalah jamuan makan yang diadakan bagi meraikan pernikahan pasangan pengantin.
Ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Anas r.a, di mana beliau berkata, “Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi s.a.w menjadi seorang pengantin dengannya (Zainab bin Jahsy), beliau mengundang masyarakat, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, Kitab an-Nikah, Bab: al-Walimah, 16/152, no. 4768)
Juga perkataan Nabi s.a.w kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf apabila Nabi mengetahui ‘Abdurrahman baru sahaja bernikah, “Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, Kitab an-Nikah, Bab: Adakan Walimah Walau Dengan Seekor Kambing, 16/154, no. 4769)
Perkataan Anas r.a di mana beliau menyatakan, “Ketika Rasulullah s.a.w menikahi seorang perempuan, beliau meminta aku supaya mengundang beberapa orang (lelaki) untuk makan.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, Kitab an-Nikah, 16/157, no. 4772)
Hukum Mengadakan Walimatul Urus
Imam ash-Shan’ani rahimahullah menjelaskan: “Imam Ahmad berkata, “Walimah itu hukumnya sunnah”. Menurut jumhur, walimah itu disunnahkan. Ibnu Baththal berpendapat, “Aku tidak tahu apabila ada ulama yang mewajibkan, mungkin dia tidak tahu perbezaan ulama tentang hukum tersebut”. Jumhur mengatakan hukumnya sunnah berdasarkan pendapat asy-Syafi’i rahimahullah. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 726, Darus Sunnah)
Manakala sebahagian pendapat mengatakannya sebagai wajib seperti pendapat mazhab Zahiri sebagaimana yang dijelaskan di dalam Subulus Salam, asy-Syafi’i di dalam al-Umm, dan juga pendapat Syaikh al-Albani di dalam Adabuz Zifaf.
Ada pun pendapat yang terpilih adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu Qudamah rahimahullah: “Tiada perbezaan pendapat di antara ahli ilmu, bahawasanya hukum walimah di dalam majlis perkahwinan adalah sunnah dan disyari’atkan (sangat dituntut), bukan wajib.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, jil 7, m/s. 2)
Siapa Yang Mengadakan Walimah
Walimah dilaksanakan dan diselenggarakan oleh suami. Ini adalah sebagaimana perbuatan Nabi s.a.w sendiri dan turut dicontohi oleh para sahabat-sahabatnya yang lain.
Dari Anas r.a, beliau berkata: “Ketika Rasulullah s.a.w menikahi seorang perempuan, beliau mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, at-Tirmidzi, no. 3219)
Juga dari Anas r.a, beliau menjelaskan: ‘Abdurrahaman berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru sahaja bernikah dengan seorang wanita dengan mahar satu nawat emas (emas sebesar biji kurma)”. Rasulullah s.a.w bersabda: “Semoga Allah memberkahimu, adakanlah walimah walau pun hanya dengan menyembelih seekor kambing”.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5169)
Berdasarkan hadith ini, Rasulullah telah memerintahkan ‘Abdurrahman bin ‘Auf supaya mengadakan walimah. Walaupun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing tetapi ia dilakukan bersesuaian dengan kemampuan suami. Ini adalah kerana Nabi s.a.w sendiri pernah melaksanakan walimah untuk Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji yang dicampur dengan keju dan tepung di atas sumbangan para sahabat yang hadir. (Rujuk Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 2048)
Waktu Walimah
Imam al-Mawardi dari mazhab asy-Syafi’i menjelaskan bahawa waktunya adalah setelah selesai akad pernikahan dan setelah kedua pasangan bersama.
Ibnu as-Subki berkata: “Yang diriwayatkan dari perbuatan Nabi s.a.w bahawa walimah itu diselenggarakan setelah berhubungan (pasangan bersama), berdasarkan hadith pernikahan di antara Nabi dengan Zainab binti Jahsy iaitu berpandukan perkataan Anas “di pagi harinya” (rujuk hadith di atas), iaitu ketika Nabi menjadi pengantin dengan Zainab, beliau mengundang kaum muslimin, perbuatan Nabi ini dijadikan bab oleh al-Baihaqi sebagai “Bab Waktu Walimah”. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 727, Darus Sunnah)
Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, walimah tidak diadakan ketika perjalanan akad nikah berlangsung atau sebaik akad nikah, tetapi adalah setelah pasangan bersama (bersetubuh). (Rujuk: Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 311, Pustaka Ibnu Katsir)
Begitu juga sebagaimana yang dijelaskan oleh Amru Abdul Mun’im Salim: “Seseorang hendaklah menyelenggarakan walimah setelah ia berkumpul dengan isterinya.” (Amru Abdul Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah Menuju Keluarga Sakinah, m/s. 177, Dar an-Naba’)
Hukum Menghadiri Undangan Walimah
Hukum menghadiri undangan walimah adalah wajib. Ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar r.a, beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila seseorang di antara kamu diundang ke majlis walimah, hendaklah dia menghadirinya.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5173)
Pendapat yang menjelaskan wajibnya menghadiri undangan walimah juga turut dijelaskan oleh Ibnu ‘Abdil Barr, imam asy-Syafi’i, Imam Ahmad, Ibnu Hazm, Imam an-Nawawi, dan pendapat inilah yang telah menjadi kesepakatan para ulama.
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Dan barangsiapa yang meninggalkan undangan, maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan RasulNya.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5177)
Walau pun begitu, undangan ke majlis walimah boleh ditinggalkan sekiranya memiliki uzur. Ini adalah sebagaimana penjelasan berikut:
1. Apabila di dalam walimah tersebut mengandungi perkara-perkara maksiat seperti jamuan khamar (arak), gambar-gambar makhluk bernyawa, dan permainan alat-alat muzik dan nyanyian. Sekiranya ini berlaku, maka seseorang tidak perlu menghadirinya melainkan dengan tujuan untuk mencegah kemungkaran tersebut. Sekiranya dia berjaya mencegahnya, maka itu adalah satu kebajikan, dan sekiranya tidak berjaya, hendaklah dia segera beredar.
Ini adalah sebagaimana hadith ‘Ali r.a, beliau berkata: “Aku membuat makanan, lalu aku mengundang Rasulullah s.a.w, kemudian beliau tiba, lalu beliau pun segera pulang. Aku pun segera bertanya, “Wahai Rasulullah, ibu dan bapaku sebagai tebusan, apakah yang membuatkan engkau pulang?”
Baginda menjawab: “Sesungguhnya di dalam rumah ada kain penutup yang bergambar, dan sesungguhnya para malaikat tidak akan memasuki ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya mengandungi gambar-gambar.” (Hadith Riwayat Ibnu Majah, no. 3359. Dinyatakan sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibnu Majah dan Adabuz Zifaf)
Juga hadith dari ‘Umar al-Khaththab r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah duduk di meja makan yang di sana dihidangkan minuman keras (khamar).” (Hadith Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 152, Media Hidayah)
2. Apabila terdapat pengkhususan undangan di mana orang yang mengundang membeza-bezakan di antara yang kaya dengan yang miskin atau fakir, makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat, dan seumpamanya. Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam ash-Shan’ani di mana diizinkan untuk tidak memenuhi undangan walimah “apabila adanya uzur di antaranya, apabila makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat (tidak jelas kehalalannya), atau diperuntukkan kepada orang-orang kaya sahaja, atau ada orang yang tidak senang dengannya…” (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 729, Darus Sunnah)
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya).” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5177)
Di antara uzur lain yang dibenarkan untuk tidak hadir ke undangan walimah adalah seperti uzur yang dengannya seseorang boleh meninggalkan solat Juma’at, seperti terjadinya hujan yang sangat lebat, jalan yang bermasalah, kerana takutkan musuh, takut hilangnya harta, dan yang lain yang seumpama. (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 314, Pustaka Ibnu Katsir)
Digalakkan Mengundang Orang Bertaqwa (Soleh)
Ini adalah sebagaimana hadith berikut: “Janganlah kamu bersahabat kecuali dengan orang yang beriman, dan janganlah makanan kamu dimakan melainkan oleh orang-orang yang bertaqwa.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4811. Hadith ini hasan menurut penilaian al-Albani)
Daripada Anas r.a, Rasulullah s.a.w berdoa kepada Sa’ad bin ‘Ubaidah yang menghidangkan kismis untuknya: “Semoga orang-orang yang baik memakan makananmu, para malaikat mendoakanmu, dan orang-orang yang puasa berbuka di tempatmu.” (Hadith Riwayat Ahmad. Lihat: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 157, Media Hidayah)
Dan jangan sekali-kali hanya mengundang orang-orang yang kaya lalu melupakan orang-orang yang memerlukan.
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)…” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5177)
Bolehkah Orang Yang Berpuasa Menghadiri Walimah?
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila seseorang di antara kamu diundang, hendaklah dia memenuhi undangan tersebut, jika dia sedang berpuasa hendaklah dia mendoakan, dan jika dia tidak berpuasa, hendaklah dia makan.” (Hadith Riwayat Muslim, no. 1431)
Menurut Imam ash-Shan’ani, hadith ini menunjukkan wajibnya memenuhi undangan walaupun dia sedang berpuasa. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 732, Darus Sunnah)
Dan sebenarnya tidak ada perbezaan akan kewajiban untuk memenuhi undangan walimah sama ada dia sedang berpuasa atau pun tidak. Akan tetapi dibolehkan bagi mereka yang berpuasa untuk menghadirinya sahaja tanpa menyantap hidangan dan dianjurkan mendoakan orang yang mengundangnya. Namun, jika dia mahu, dia boleh untuk memakannya, atau tidak memakannya. Dan jika dia membatalkan puasanya, puasa sunat yang ditinggalkannya tidak wajib diganti.
Dari Jabir r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika salah seorang dari kamu diundang makan, maka hendaklah dia menghadirinya. Jika mahu, dia dibolehkan makan, jika tidak mahu dia boleh untuk meninggalkannya.” (Hadith Riwayat Muslim, no. 1430)
Anjuran Supaya Mendoakan Pasangan Pengantin
Di antara keindahan di dalam Sunnah adalah mendoakan kebaikan, keberkahan, dan memohonkan keampunan buat pasangan pengantin serta mendoakan untuk orang yang mengundang ke majlis makan (walimah). Di antara doa-doa yang disunnahkan kepada kita untuk berdoa dengannya adalah sebagaimana berikut:
Doa untuk pasangan pengantin:
Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w jika memberikan ucapan doa kepada seseorang yang berkahwin, beliau akan berkata:
بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ
“Semoga Allah memberikan keberkahan kepadamu, memberikan keberkahan atasmu, dan menyatukan kamu berdua di dalam kebaikan.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 2130. Hadith ini dinilai sahih oleh at-Tirmidzi dan ath-Thusi sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Albani di dalam Adabuz Zifaz)
Rasulullah s.a.w berkata kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf:
بَارَكَ اللهُ لَكَ
“Semoga Allah memberkahimu…” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5169)
Doa ketika Rasulullah menikahkan ‘Ali dengan Fatimah:
اَلَّهُمَّ بَارِكْ فِيْهِمَا، وَبَارَكَ لَهُمَا فِيْهِمَا فِيْ بِنَائِهِمَا
“Ya Allah, berkahilah mereka berdua dan berkahilah perkahwinan mereka berdua.” (Diriwayatkan oleh ath-Thabrani di dalam al-Kabir. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 160, Media Hidayah)
Doa untuk orang yang mengundang makan:
Rasulullah s.a.w mendoakan untuk Abdullah bin Busr r.a dan keluarganya (ayahnya) di ketika dia selesai dijamu makanan:
اَلَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِي مَا رَزَقْتَهُمْ، وَاغْفِر لَهُمْ، وَارْحَمْهُمْ
“Ya Allah, berkahilah mereka pada rezeki yang telah Engkau berikan kepada mereka dan ampunilah mereka serta rahmatilah mereka.” (Hadith Riwayat Muslim, no. 1615)
Dan dianjurkan bagi mereka yang diundang untuk mengucapkan terima kasih di atas undangan yang diberikan. Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak bersyukur kepada Allah, orang yang tidak berterima kasih kepada manusia.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4811)
Mengucapkan Ucapan Yang Tidak Disyari’atkan
Adalah tidak dibenarkan meninggalkan ucapan-ucapan (doa) yang telah sedia dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w seperti yang disebutkan di atas, lalu diganti dengan ucapan-ucapan yang tidak sewajarnya. Sebagai contoh, pada masa ini begitu ramai yang mempopularkan bentuk-bentuk ucapan seperti:
“Selamat pengantin baru.”
“Semoga bahagia dan mendapat ramai anak.”
Ada pun sebenarnya, ucapan-ucapan seperti ini telah pun disentuh oleh para ulama sejak awal lagi. Di antaranya al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menjelaskan: “Perkataan ini biasa diucapkan oleh orang-orang jahiliyyah sehingga ucapan ini dilarang.” (Fathul Bari, jil. 9, m/s. 222. Rujuk: Abu Hafsh Usamah, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 232, Pustaka Ibnu Katsir)
Ini adalah kerana, Rasulullah s.a.w sendiri telah melarang perbuatan seperti itu sebagaimana yang dijelaskan oleh ‘Uqail bin Abu Thalib. Ini berlaku di ketika ‘Uqail berkahwin dengan seorang wanita dari suku Jasyam. Lalu orang-orang yang mengunjunginya mengucapkan: “Semoga bahagia dan mendapat ramai anak.”
‘Uqail pun berkata, “Janganlah kamu mengucapkan seperti itu (kerana Rasulullah telah melarangnya).” Mereka pun bertanya, “Jadi, apa yang harus kami ucapkan, wahai Abu Zaid?” ‘Uqail berkata, “Ucapkanlah: Semoga Allah memberkahimu di dalam kesenangan atau pun kesusahan”. Begitulah kita diperintahkan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, ‘Abdurrazzaq, Ahmad. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 162, Media Hidayah)
Disunnahkan Memberi Hadiah dan Membantu Melaksanakan Walimah
Dari Anas r.a, beliau berkata: Setelah Nabi s.a.w menikahi Shafiyah, pada pagi harinya Nabi pun berkata: “Sesiapa yang memiliki sesuatu untuk disumbangkan, hendaklah disumbangkan”. Beliau pun menghamparkan lembaran kulit yang disamak (sebagai bekas). Ada orang yang menyumbang keju, ada yang menyumbang kurma, dan ada yang memberikan minyak samin. Mereka pun membuat hais (campuran kurma tanpa biji, keju, tepung dan minyak). (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 2048)
Berdasarkan hadith ini, Syaikh al-Albani rahimahullah menyatakan: “Orang-orang kaya dan yang memiliki kelebihan (bekalan) dianjurkan untuk memberikan sumbangan di dalam majlis walimah saudaranya.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 139, Media Hidayah)
Demikianlah sesebuah majlis walimah (walimatul urus) yang ditunjukkan oleh sunnah Rasulullah s.a.w dan diamalkan oleh para sahabat dan generasi awal umat Islam lainnya. Ianya begitu mudah dan ringkas.
———-
Sekarang kita akan difokuskan kepada beberapa contoh amalan di dalam masyarakat Melayu ketika majlis-majlis walimah mereka pasa masa kini. Sekaligus kita akan melihat sama ada ianya harus, sunnah, atau sebaliknya yang membawa kepada larangan syari’at mahu pun bid’ah.
Kemungkaran dan Tokok Tambah (Bid’ah) Di Dalam Majlis Walimah
Yang dimaksudkan sebagai kemungkaran di sini adalah apa jua perkara yang dilarang dan diharamkan di dalam agama.
Allah s.w.t berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nuur, 24: 21)
“Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang diwajibkan (oleh Allah).” (Surah Luqman, 31: 17)
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah.” (Surah al-Hasyr, 59: 7)
Manakala tokok tambah (bid’ah) yang dimaksudkan di sini adalah apa jua tokok tambah yang dikhususkan di dalam majlis walimah yang pada asalnya menurut timbangan agama tidak disyari’atkan. Aturcara walimah (majlis perkahwinan) adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh agama melalui Nabi kita Muhammad s.a.w. Di mana di dalam sebuah hadith disebutkan:
“Sebenar-benar perkataan, adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad s.a.w, seburuk-buruk perkara adalah apa yang diada-adakan di dalam agama, setiap perkara baru yang diada-adakan di dalam agama adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 1097)
Begitu juga di dalam beberapa hadith yang lain, kita turut diperingatkan. Dari Irbadh bin Sariyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4607)
Dengan lebih tepat, “Bid’ah adalah sebuah cara baru di dalam agama yang dibuat menyerupai seakan-akan syariat dengan tujuan untuk berlebih-lebihan di dalam beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.” (Imam asy-Syatibi, di dalam al-I’tisyam. Rujuk: Yazid Abdul Qadir Jawas, Syarah ‘Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah, m/s. 78-79, Pustaka Imam asy-Syafi’i. Juga Alawy Abdul Qadir as-Saqqaf, Mukhtashar al-I’tisham, m/s. 32, Media Hidayah)
Maka dengan ini, sesuatu yang asalnya tidak dikhususkan atau tidak disyariatkan oleh agama melalui dalil-dalil yang benar di dalam walimatul urus, maka sekiranya ia berlaku dan dilakukan ini adalah termasuk ke dalam bentuk-bentuk tokok tambah terhadap agama yang jelas bertentangan dan mengajak kepada perbuatan bid’ah. Sekiranya kita menganggap dan berkeyakinan bahawa sesebuah ritual atau sesuuatu amalan yang pada asalnya tidak disyariatkan ke dalam sesebuah majlis walimah, dan sekiranya amalan tersebut tidak diadakan di dalam majlis walimah tersebut, kita mengatakan bahawa walimah tersebut tidak lagi lengkap, tidak lagi sempurna, kelihatan janggal, atau tidak berseri atau seumpamanya, maka sebenarnya kita telah menuju kepada perbuatan bid’ah. Iaitu menuju kepada perbuatan yang sebenarnya tidak pernah ditetapkan oleh syari’at, tetapi kita telah memandai-mandai sendiri menetapkannya. Ini adalah kerana, walimah adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh Allah melalui NabiNya s.a.w. Apatah lagi sekiranya, perkara yang ditambah itu adalah merupakan perbuatan-perbuatan yang mungkar dan membawa kepada larangan yang berat di sisi Allah.
Perbahasan di dalam bahagian ini akan dibawakan dengan seringkas mungkin dan padat.
1. Membuka Aurat
Perbuatan mendedahkan aurat di khalayak ramai (para hadirin) oleh wanita pada masa ini semakin banyak dilakukan di dalam majlis-majlis walimah. Malah ianya sudah menjadi satu trend (gaya) dalam kalangan umat Islam setiap kali pasangan pengantin melangsungkan majlis perkahwinan mereka. Terdapat sebagahagian wanita yang asalnya bertudung, tetapi apabila tiba hari perkahwinannya, dia dengan relanya membuka tudung dan menededahkan bahagian-bahagian aurat tertentu. Termasuk perbuatan mendedahkan aurat adalah dengan memakai pakaian yang ketat sehingga menggambarkan bentuk tubuh badan, mengenakan pakaian dengan kain yang jarang, dan mengenakan kain yang tipis.
Sedangkan Allah s.w.t berfirman: “Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (aurat) kecuali kepada (mahram mereka).” (Surah an-Nuur, 24: 31)
2. Bersolek dan memakai wangi-wangian bagi wanita
Dari Abu Musa al-Asy’ary r.a, dia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “Wanita yang memakai wangi-wangian, dan kemudian dia melintasi suatu kaum supaya mereka mencium bau wanginya, maka wanita tersebut adalah wanita penzina.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4172, at-Tirmidzi, no. 2786)
Alasan dari larangan tersebut dapat dilihat dengan jelas iaitu menggerakkan panggilan syahwat (kaum lelaki). Sebahagian ulama telah mengaitkan perkara lain dengannya, seperti memakai pakaian yang cantik (melawa), perhiasan yang ditampakkan, dan bercampur baur dengan kaum lelaki. (Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, 2/279. Rujuk: Abu Malik Kamal, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, m/s. 151, Pustaka Ibnu Katsir)
Allah s.w.t berfirman: “…Dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyyah yang dahulu.” (Surah al-Ahzab, 33: 33)
3. Mencukur Kening dan Memakai Rambut Palsu
Sabda Rasulullah s.a.w: “Allah melaknat orang yang membuat tatu dan wanita yang minta ditatu, wanita yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu), yang mencukur alis (bulu kening), dan yang minta dicukur, dan wanita yang merenggangkan giginya untuk kecantikan sehingga mengubah ciptaan Allah.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 4886)
4. Memanjangkan Kuku dan Mewarnakannya Dengan Pewarna
Rasulullah s.a.w bersabda: “Termasuk fitrah bagi manusia itu ada lima: Khitan, mencukur bulu kemaluan, merapikan misai, memotong kuku, dan mencabut bulu ketiak.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5889)
Berkenaan permasalahan trend mewarnakan kuku ini, Syaikh al-Albani rahimahullah berkata: “Ini adalah merupakan kebiasaan buruk yang dilakukan oleh wanita-wanita Eropah kepada wanita-wanita Islam, iaitu memanjangkan kuku dan mewarnakannya dengan warna merah atau selainnya dengan kuteks (pewarna/pengecat kuku). Kebiasaan ini juga turut dilakukan oleh sebahagian pemuda. Perbuatan ini selain mengubah ciptaan Allah, ia juga menjadikan pelakunya terlaknat dan perbuatan ini termasuk meniru-niru (tasyabbuh) perbuatan wanita-wanita kafir.
Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadith Riwayat Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga dijelaskan di dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)
5. Mencukur Janggut
Sebahagian kaum lelaki muslim pada masa ini tidak lagi berminat memelihara janggut dan membenci memelihara janggut. Malah, ada pula di antara mereka yang mencukur janggutnya semata-mata untuk nampak bergaya di majlis perkahwinannya. Sedangkan, perbuatan memelihara janggut adalah sebuah sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, dan di dalam banyak hadith-hadithnya berkenaan janggut ia menunjukkan sebuah perintah yang perlu diikuti.
Daripada Ibnu ‘Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Selisihilah kaum majusi, rapikanlah misai, dan peliharalah janggut.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5893)
6. Mengkhususkan Adanya Cincin Perkahwinan
Perbuatan bertukar cincin atau menetapkan adanya cincin perkahwinan, pertunangan, atau pun pernikahan, ianya sama sekali bukan berasal daripada ajaran Islam. Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah: “Tindakan ini (menyarung cincin) selain meniru tradisi orang-orang kafir sehingga menjadi sebuah larangan, ia juga mengandungi pelanggaran terhadap dalil-dalil hadith yang melarang lelaki mengenakan cincin emas.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 191, Media Hidayah)
Asal perbuatan (adat) menyarung cincin perkahwinan ini adalah berasal dari adat kepercayaan kuno kaum Nasrani (kristian). Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani di dalam kitabnya, Adabuz Zifaf.
Syaikh Ibnu Bazz rahimahullah (Mufti Saudi Arabia) menjelaskan: “Kami tidak mengetahui dasar amalan ini (sarung cincin) di dalam syariat.” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/129. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)
7. Adat Bersanding dan Pelamin
Perbuatan mengadakan pelamin dan adat bersanding bukanlah sebuah amalan yang berasal dari ajaran Islam. Malah, ia mungkin ditiru dan berasal dari ajaran Hindu atau pun Kristian. Ini adalah kerana amalan tersebut sangat mirip dengan adat upacara perkahwinan mereka.
Menurut Syaikh Abdullah bin ‘Abdurrahman al-Jibrin hafizahullah: “Perbuatan ini (bersanding) adalah tidak dibenarkan. Sebab ini adalah bukti atas tercabutnya rasa malu dan taqlid (mengikuti) kepada kaum yang suka kepada keburukan. Perkaranya adalah jelas. Pengantin wanita sepatutnya merasa malu menampakkan diri di hadapan manusia, lalu bagaimana dengan perbuatan tersebut yang sengaja dilakukan di hadapan orang-orang yang sengaja menyaksikannya?” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/188. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)
Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah berkata: “Di antara perkara mungkar, bahawa rasa malu sebahagian manusia telah tercabut dari mereka. (Adalah) seorang suami datang di tengah kaum wanita dan naik pelamin bersama isterinya di hadapan kaum wanita, iaitu pada awal pertemuannya dengan isterinya untuk bersanding dengannya, bersalaman tangan dengannya, mungkin menciumnya, dan mungkin memberikan hadiah kepadanya berserta coklat dan selainnya yang dapat menggerakkan syahwat dan mengakibatkan fitnah.” (Min Munkaratil Afraah, m/s. 7, 10. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 231, Pustaka Ibnu Katsir)
8. Menabur Gula-gula, Coklat, dan Bunga
Perbuatan ini tidak terdapat di dalam syariat atau pun majlis walimah sebagaimana yang disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w. Ada pun sebenarnya, perbuatan ini termasuk meniru-niru perbuatan kaum kafir yang diambil dari perbuatan kaum kristian yang menabur bunga di acara-acara perkahwinan mereka.
Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadith Riwayat Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga di dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)
Imam Ibnu Katsir menjelaskan di bawah penafsiran Surah al-Baqarah, [2:104]: “Allah Ta’ala melarang hamba-hamba-Nya yang beriman menyerupai (syi’ar) orang-orang kafir, sama ada dalam ucapan mahu pun perbuatan mereka.” (Ibnu Katsir, Shahih Tafsir Ibnu Katsir (Judul asal: al-Mishbaahul Muniir fii Tahdziibi Tafsiiri Ibni Katsir, Selenggaraan Syaikh Syafiurrahman al-Mubarakfuri), jil. 1, m/s. 364, Pustaka Ibnu Katsir)
Sekiranya amalan tersebut disandarkan kepada agama, maka perbuatan tersebut termasuk meletakkan perbuatan yang tiada asalnya di dalam agama, maka ia adalah bid’ah lagi sesat. Ini adalah kerana walimatul urus adalah sebuah aturcara agama sebagaimana yang diperintahkan (ditekankan) berdasarkan sunnah yang jelas.
Dari ‘Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam agama kami ini, maka ianya tertolak.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 2697)
Dari Irbadh bin Sariyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4607)
9. Adat Merenjis Air Mawar
Adat ini juga bukan berasal dari Islam. Mungkin ia diambil dari amalan masyarakat Hindu. Selain merupakan perbuatan yang ditokok tambah (bid’ah) di dalam walimatul urus, malah ianya juga boleh menjurus kepada perbuatan syirik sekiranya dengan perbuatan merenjis tersebut disertakan dengan i’tiqad (keyakinan-keyakinan) tertentu seperti mempercayai pasangan pengantin yang direnjis akan mendapat kebahagiaan dan seumpamanya.
10. Mewajibkan Adanya Duit dan Barang Hantaran
Adat ini ditetapkan oleh kebanyakan masyarakat Melayu secara umumnya iaitu dengan mewajibkan pihak lelaki (atau bakal/calon suami) supaya membayar sejumlah wang yang dinamakan sebagai wang hantaran kepada keluarga pihak perempuan. Kebiasaannya (pada masa ini) sehingga RM10,000 atau lebih dari itu bergantung kepada status pendidikan atau pun permintaan wanita yang hendak dinikahi. Nilai wang hantaran ini akan ditetapkan oleh sama ada bakal isteri atau pihak keluarga bakal isteri. Sekali imbas, perbuatan ini adalah seakan-akan sebuah perbuatan jual beli wanita. Dan wang ini akan diserahkan kepada keluarga si isteri.
Dan kemudiannya, kedua-dua pihak akan saling bertukar barang hantaran tertentu sesama mereka. Di mana mereka mengkhususkan dengan jumlah bilangan tertentu, seperti 5 dulang dari lelaki berbalas 7 dulang barangan tertentu dari pihak perempuan, atau 7 dulang dari pihak lelaki berbalas 9 dulang dari pihak perempuan, atau 9 dulang dari pihak lelaki berbalas 11 dulang dari pihak perempuan, dan seterusnya.
Ada pun sebenarnya perbuatan ini langsung tidak pernah ditetapkan oleh Islam, dan perbuatan ini merupakan perbuatan bid’ah iaitu amalan yang ditokok tambah ke dalam majlis walimah umat Islam. Adalah menjadi suatu yang sunnah di dalam agama supaya memudahkan urusan pernikahan (juga urusan yang lain), tetapi, dengan ditambahnya amalan-amalan seperti ini, ia hanya akan menyusahkan (memberatkan) pasangan yang hendak berkahwin dan ia sekaligus menggalakkan maksiat sekiranya perkahwinan ditangguhkan hanya semata-mata disebabkan perkara yang karut ini.
Dari Irbadh bin Sariyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4607)
Namun, apa yang diwajibkan atau pun disunnahkan di dalam syariat hanyalah memberikan mahar (mas kahwin) oleh lelaki kepada wanita yang dinikahi, sama ada berdasarkan apa yang diminta oleh wanita tersebut atau pun tanpa diminta. Dan mas kahwin ini tidaklah semestinya di dalam bentuk wang ringgit atau barang-barang tertentu. Ianya sama ada tertakluk berdasarkan apa yang diminta oleh wanita, atau pun bebas dengan apa yang hendak diberikan oleh si lelaki jika si wanita tidak menetapkannya. Dan mahar adalah merupakan salah satu rukun dan syarat sahnya nikah.
Allah s.w.t berfirman:
“Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan…” (Surah an-Nisaa’, 4: 4)
“… Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban…” (Surah an-Nisaa’, 4: 24)
Dan mahar yang paling baik adalah mahar yang paling mudah, ringan atau tidak mahal (tidak menyusahkan dan memberatkan si suami). Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Pernikahan yang paling besar keberkahannya adalah yang paling mudah maharnya.” (Hadith Riwayat Ahmad, no. 24595)
Perbuatan meninggikan atau memahalkan penetapan nilai mahar adalah satu perbuatan yang dibenci oleh agama sebagaimana disebutkan di dalam beberapa hadith. Umar al-Khaththab r.a berkata: “Ingatlah, janganlah meninggikan nilai mahar wanita. Jika itu merupakan kemuliaan di dunia atau taqwa di sisi Allah, sudah tentu yang paling utama melakukannya adalah Rasulullah s.a.w.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 2106) (Rujuk: Amru Abdul Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 76, Dar an-Naba’)
Sahih di dalam beberapa riwayat bahawa Rasulullah dan beberapa sahabat berkahwin dengan mengeluarkan mahar yang sangat kecil. Malah di sebahagian keadaan, ada yang memberikan mahar dalam bentuk cincin besi, baju besi, memerdekakan hamba, dengan hafazan Al-Qur’an, dengan mengajarkan surah-surah tertentu dari Al-Qur’an, dengan segenggam kurma, dengan mengislamkan seseorang, dengan sebiji emas sebesar biji kurma, dan selainnya.
11. Bersalaman Dengan Bukan Mahram
Di dalam sebuah hadith dijelaskan bahawa: “Seseorang yang ditusuk kepalanya dengan jarum besi adalah lebih baik daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (al-Albani, Silsilah Hadith ash-Shahihah, no: 225)
Dan para ulama juga menetapkan serta menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w sendiri tidak pernah menyentuh wanita yang tidak halal baginya walau pun di dalam peristiwa bai’ah. Berkenaan perkara ini juga, telah jelas di dalam Al-Qur’an bahawa Allah s.w.t memerintahkan supaya kaum lelaki dan wanita yang beriman supaya tunduk dari memandang kaum berlainan jantina mereka, maka apatah lagi jika perbuatan bersalaman atau bersentuhan, sedangkan perbuatan pandang memandang sahaja pun sudah ditegah.
12. Tahlilan dan Kenduri Bacaan Doa Selamat
Amalan ini adalah merupakan bid’ah yang merupakan tokok tambah di dalam agama yang kini sangat banyak dilakukan oleh masyarakat Melayu. Untuk penjelasan lanjut berkenaan amalan ini, silakan merujuk buku kecil bertajuk “Yasinan dan Tahlilan Menurut Mazhab Syafi’e”, tulisan Abu Farouq Ustaz Rasul Dahri, terbitan Jahabersa.
13. Sesi Nanyian-nyanyian, Muzik dan Kugiran
Nabi s.a.w bersabda: “Akan muncul dari umatku beberapa kaum yang menghalalkan zina, sutera, khamar (minuman keras), dan alat-alat muzik…” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5590)
Di dalam Tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Mas’oud r.a menjelaskan dengan tegas bahawa muzik dan nyanyian adalah termasuk perkara yang tidak berguna. Untuk perbahasan lebih lanjut berkenaan persoalan muzik dan nyanyi-nyanyian ini, dipersilakan merujuk kitab karya Imam Ibnul Qayyim, bertajuk Ighaatsatul Lahfan atau Syaikh al-Albani, bertajuk Tahriim Alath ath-Tharb, dan kitab syaikh al-Albani ini telah ada terjemahannya.
14. Permainan Kuda Kepang
Permainan kuda kepang adalah merupakan amalan yang bermula dari masyarakat kaum Jawa. Ia kini agak popular di beberapa kawasan seperti di di Johor dan Selangor.
Ada pun sebenarnya, sebahagian amalan yang dilakukan di dalam permainan kuda kepang ini adalah perbuatan yang boleh membawa kepada syirik. Ini adalah disebabkan di dalamnya mengandungi perbuatan berhubungan atau berunding (mengadakan perjanjian) dengan jin dan syaitan, selain pemujaan menggunakan ayam jantan dan asap kemenyan.
Imam Abil ‘Izz al-Hanafi rahimahullah berkata: “Cara manusia dalam mengambil kesenangan dari golongan jin adalah dengan meminta dipenuhi keperluan-keperluannya, dipenuhi kemahuannya, atau menerima berita-berita ghaib dari mereka, serta yang seumpamanya. Sedangkan cara jin mengambil kesempatan dari manusia adalah dengan pengagungan manusia terhadapnya, dengan permintaan tolong, dan permohonan keselamatan, serta ketundukan manusia kepadanya.” (Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 98, Pustaka at-Tibyan)
Allah s.w.t berfirman: “Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki dari kalangan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” (Surah al-Jin, 72: 6)
Selain itu, permainan kuda kepang ini di dalamnya juga disertai dengan pelbagai bunyi-bunyian tertentu yang menjurus kepada muzik terlarang.
15. Bomoh Tolak Hujan
Terdapat beberapa kelompok dari kalangan masyarakat Melayu yang begitu gemar mengambil atau mengupah bomoh-bomoh tertentu supaya menjampi bagi tujuan menahan hujan dari turun. Selain itu, khidmat bomoh juga turut digunakan bagi mengesan (meramal dengan ilmu ghaib) sama ada pada tarikh atau hari-hari tertentu yang tidak akan turun hujan. Ini dilakukan dengan harapan supaya tempat diadakan majlis walimah sentiasa cerah (tidak hujan), sekaligus menjadikan majlis berjalan lancar.
Sedangkan Allah s.w.t berfirman: “Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri…” (Surah al-An’am, 6: 59)
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadith Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)
Imam ath-Thahawi rahimahullah berkata di dalam Kitab aqidahnya: “Kita tidak mempercayai (ucapan) dukun mahu pun tukang ramal (bomoh), demikian juga setiap mereka yang mengakui sesuatu yang menyelisihi al-Kitab dan as-Sunnah serta ijma’ kaum muslimin.” (Imam ath-Thahawi, Aqidah ath-Thahawiyah. Rujuk: Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 90, Pustaka at-Tibyan)
Berkenaan turunnya hujan, banyak hadith-hadith Rasulullah s.a.w menyarankan kita supaya bersyukur di atas sebab turunnya hujan. Ini adalah sebagaimana di dalam doa yang dicontohkan oleh Nabi s.a.w: “Ya Allah, turunkanlah hujan yang bermanfaat (untuk manusia, tanaman, dan binatang).” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 1032)
Dan penjelasan Rasulullah sendiri sebagaimana berikut: “Kita diberi hujan adalah kerana kurnia dan rahmat Allah.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 1038)
Dan sekiranya kita memiliki rasa bimbang dan takut hujan tersebut memberikan gangguan atau sebarang kerosakan kepada kita, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah mengajarkan kepada kita bagaimanakah doa yang harus kita praktikkan.
Dari Anas r.a, beliau menjelaskan doa tersebut sebagaimana berikut:
اَللَّهُمّ حَوَاليَنْاَ وَلاَعَليَنْاَ، اَللَّهُمَّ عَلىَ اْلآكاَمِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُوْنِ اْلأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami (di luar kawasan kami), bukan untuk merosakkan kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke dataran tinggi, beberapa anak bukit, perut lembah dan beberapa tanah yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 1013)
Allah s.w.t berfirman: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, 2: 186)
Malah, berkenaan dengan hukum berjumpa dengan bomoh, pawang, atau pun dukun yang dikatakan mampu menolak hujan dan memiliki kelebihan ilmu ghaib tertentu ini, Rasulullah s.a.w telah menjelaskan kepada kita melalui sabdanya: “Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.” (Hadith Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)
16. Mengambil, Melukis, dan Menggantung Gambar
Daripada Said bin Abu al-Hasan, “Ketika aku bersama Ibnu ‘Abbas, seorang lelaki datang dan berkata, “Wahai Ibnu Abbas, pendapatan (periuk nasi) aku adalah dari hasil kerja tanganku dan kerjaku adalah membuat gambar-gambar ini”. Ibnu ‘Abbas berkata, “Aku sekadar memberi tahu apa yang aku dengar dari Rasulullah. Aku mendengar beliau bersabda, “Sesiapa membuat gambar dia akan di-azab oleh Allah sehingga dia mampu menghidupkannya dan sesungguhnya dia tidak akan berupaya untuk menghidupkannya”. Mendengarkan hal ini, lelaki itu menarik nafas panjang (mengeluh) dan mukanya menjadi pucat. Ibnu ‘Abbas berkata padanya, “Jika kamu masih tetap mahu untuk membuat gambar-gambar, aku nasihatkan agar kamu membuat gambar-gambar pokok (tumbuh-tumbuhan) dan sebarang gambar yang bukan berupa dari makhluk bernyawa”.” (Hadith Riwayat Muslim, no. 2110)
Daripada Ibnu ‘Abbas, “Abu Talha, seorang sahabat Rasulullah dan seorang sahabat yang pernah bersama dalam peperangan badar memberitahu kepadaku bahawa Rasulullah berkata, “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar.” Yang dia maksudkan adalah gambar yang menyerupai makhluk bernyawa.” (Hadith Riwayat al-Bukhari)
Secara ringkasnya:
Dilarang melukis, menggantung, dan membuat gambar berupa makhluk bernyawa seperti manusia atau haiwan, atau apa sahaja yang menunjukkan ia sebagai makhluk bernyawa.
Dibolehkan melukis atau membuat gambar selain makhluk bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, air terjun, bangunan dan kenderaan.
Pengambilan gambar hanya diizinkan untuk perkara yang benar-benar mendesak lagi memerlukan seperti untuk tujuan passport.
Tidak dibenarkan untuk mengambil gambar bagi tujuan kenang-kenangan sebagaimana yang difatwakan oleh Syaikh Ibnu Bazz.
17. Upacara Memotong Kek Perkahwinan
Perbuatan ini juga bukan berasal dari syariat Islam, bahkan berasal dari budaya orang kafir dari masyarakat Kristian. Malah ia juga menyerupai atau mengambil syi’ar kaum Majusi (penyembah api) sekiranya kek tersebut disertai dengan nyalaan lilin.
18. Berbelanja Besar Untuk Set Pakaian
Di dalam Islam, kita dituntut untuk bersederhana di dalam segala perkara yang kita laksanakan. Kita juga tidak digalakkan untuk membazir dan berlebih-lebihan.
Suatu yang kini semakin menjadi trend di dalam masyarakat Melayu saat ini adalah menetapkan bahawa pasangan pengantin di ketika majlis perkahwinan mereka mestilah memakai pakaian yang sedondon seperti memakai pakaian yang sama warnanya dengan pasangan, memakai pakaian yang mesti dilengkapi dengan tanjak, keris, dan bunga-bungaan. Jika keadaan tersebut berlaku sebaliknya, di mana pasangan pengantin tidak mengenakan set pakaian seperti itu, maka mereka pun akan dilihat sebagai janggal dan diejek sebagai tidak mengenal atau tidak menghormati adat.
Ada pun sebenarnya penetapan seperti ini adalah termasuk ke dalam perbuatan berlebih-lebihan dan boleh menjurus kepada larangan agama. Cukuplah sekadar berpakaian dengan pakaian yang melambangkan akhlak, imej, dan nilai-nilai Islam yang murni. Dan Islam itu bukanlah suatu agama yang memberat-beratkan umatnya.
Allah s.w.t berfirman:
“Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah al-A’raaf, 7: 26)
“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raaf, 7: 31)
Demikianlah beberapa contoh perkara-perkara mungkar dan tokok tambah yang pada masa ini begitu popular dilakukan (dipraktikkan) di dalam masyarakat umat Islam Melayu di kebanyakkan majlis-majlis perkahwinan mereka. Ada beberapa lagi amalan/perkara yang sebenarnya dapat kita kategorikan sebagai perbuatan yang mungkar, bid’ah dan melanggar syari’at Islam yang kebiasaannya berlaku (dilakukan) ke dalam walimatul urus cuma tidak disentuh di sini seperti adat majlis bacaan berzanji, majlis bacaan doa selamat, majlis yasin, adat menepung tawar, dan perlakuan ikhtilat (percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram). Dengan itu, hendaklah kita berhati-hati dengan perkara-perkara seperti ini dan sentiasa berusaha dengan sedaya upaya menjauhinya. Walau bagaimana pun perkara-perkara mungkar seperti disebutkan berlaku dan dipopularkan sekali pun, ia tetap tidak dibenarkan menandingi apa yang telah disyariatkan dan dicontohkan oleh Nabi kita, Muhammad s.a.w. Dan sesungguhnya agama ini telah pun sempurna tanpa perlu ditokok tambah dengan pelbagai bentuk kehendak citarasa serta nafsu manusia.
Allah s.w.t berfirman: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagimu.” (Surah al-Ma’idah, 5: 3)
Dan suatu yang paling penting di dalam beragama ini, bukanlah kata-kata dan perbuatan manusia yang menjadi ukuran, tetapi yang perlu kita tekankan adalah sejauh mana kita teguh di dalam sebuah pendirian di atas sebuah kebenaran yang ditegakkan di atas dalil-dalil dari perkataan Allah s.w.t dan petunjuk Rasulullah s.a.w.
Allah s.w.t berfirman:
“Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (al-Qur’an) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah kalimat-kalimat-Nya dan Dia lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Surah al-An’am, 6: 115-116)
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingat Allah.” (Surah al-Ahzaab, 33: 21)
Bersama-samalah kita mencari redha dari Allah sebagaimana cara yang telah Dia tunjukkan melalui KitabNya dan RasulNya. Mulakanlah alam rumahtangga kita di atas keredhaanNya dan hindarilah dari kemurkaan-Nya. Wallahu a’lam…
http://fiqh-sunnah.blogspot.com/
Sunday, June 12, 2011
DOA SENJATA ORANG BERIMAN
DOA SENJATA ORANG BERIMAN
BERDOA merupakan salah satu daripada elemen yang penting dalam kehidupan seorang muslim. Ia merupakan pengakuan hamba terhadap kekuasaan Allah yang mutlak terhadap segala yang berlaku, manakala dari segi yang lain pula ia adalah bentuk pengabdian seorang hamba kerana hadirnya perasaan berhajat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Berdasarkan ini, doa mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah dan Allah menyukai orang yang berdoa kepadaNya. Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah daripada doa.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)
Dalam hadis yang lain pula, daripada Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Mohonlah kebaikan/kelebihan daripada Allah kerana sesungguhnya Allah suka diminta kebaikan/kelebihan dan sebaik-baik ibadah adalah menunggu kelapangan (terlepas daripada kesusahan).”
(Hadis riwayat Tirmidzi)
Doa adalah penggerak dalaman yang memberikan kekuatan, keyakinan, harapan dan keberkatan dalam apa jua amal perbuatan. Maka tidak hairan di dalam Islam setiap langkah sesuatu perbuatan, ada doa-doanya tertentu yang digalakkan supaya diamalkan sama ada sebelum memulakan sesuatu perbuatan ataupun selepas melakukannya.
Semua ini tidak lain, bagi menggalakkan orang-orang Islam agar sentiasa berdoa dan bagi menggambarkan bahawa berdoa itu adalah salah satu daripada keperluan yang penting di dalam mencari keberkatan, keredaan dan perlindungan Allah sepenuhnya pada mencapai segala apa yang dilakukan.
Sebab itu orang yang enggan berdoa bukan sahaja dia telah menutup bagi dirinya berbagai-bagai pintu kebaikan, malah dia juga akan mendapat kemurkaan daripada Allah. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya :
“Sesungguhnya orang yang tidak meminta (berdoa) kepada Allah, Dia (Allah) marah kepadanya.”
Kelebihan atau fadhilat doa itu amat besar dan banyak sekali. Melalui doa, keampunan dan rahmat diperolehi, dan melalui doa juga musibah dan kesusahan terhindar. Pendeknya, jika Allah menghendaki dan merestui doa hambanya, tiada ada satu daya kuasa pun yang dapat menghalangnya dan Allah tidak akan mensia-siakan keikhlasan orang yang berdoa.
Allah Ta‘ala berfirman di dalam surah Al- Baqarah ayat 186 yang tafsirnya :
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik dan betul.”
Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta‘ala berkata:
“Jika ada orang bertanya, apa manfaat doa itu padahal qada (ketentuan Allah) tidak dapat dihindarkan. Ketahuilah bahawa qada juga boleh menghindarkan suatu bala dengan berdoa. Maka doa adalah menjadi sebab bagi tertolaknya suatu bala bencana dan adanya rahmat Allah sebagaimana juga halnya bahawa perisai adalah menjadi sebab bagi terhindarnya seseorang daripada senjata dan air menjadi sebab bagi tumbuhnya tumbuh-tumbuhan di muka bumi.”
Perkara ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah di dalam surah Ar-Ra‘d ayat 39 yang tafsirnya :
“Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Dia juga menetapkan apa jua yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) pada sisiNya ada ibu segala suratan.”
Manakala daripada Salman Radhiallahu ‘anhu berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
“Tidak tertolak qada itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)
Dalam menghuraikan hadis di atas, pengarang kitab Bahr Al-Madzi membawakan masalah qadha mubram dan qadha mu‘allaq tentang makna kedua-dua jenis qadha itu dan hubungannya dengan doa: “(Kata ulama) Qadha Mubram itu ialah suatu yang ditentukan Allah di dalam ilmunya tiada boleh diubah dan tiada boleh ditukar akan dia dan Qadha Mu‘allaq itu seperti suatu perkara yang berta‘liq sekiranya engkau berdoa nescaya diperkenankan apa-apa doamu dan jika sekiranya engkau berbuat kebaktian dan silaturrahim nescaya dipanjangkan umurmu dan sekiranya tiada diperbuat kebaktian dan tiada berdoa, maka tiadalah diperkenankan dan ditambah umur menurut dan bertentang dengan barang yang di dalam ilmuNya. Maka qadha mu‘allaq itulah yang ditolak oleh doa.” (Lihat Bahr Al-Madzi 13-14/196)
Adapun kelebihan orang yang berdoa itu sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi yang maksudnya :
“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepadaNya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)
Di dalam ayat dan hadis tersebut, jelas diterangkan bahawa apabila seorang hamba berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan mengabulkan doanya dan tidak akan membiarkan doanya itu kosong sahaja.
Tetapi perlu diingat bahawa untuk mendapat doa yang dimakbulkan, adab-adab atau peraturan berdoa mestilah dipelihara oleh setiap orang yang berdoa. Jika seseorang memohon sesuatu kepada seorang raja, dia akan menjaga adab-adab dan peraturan-peraturannya dari berbagai-bagai segi, maka berdoa dan memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala tentulah lebih patut lagi dia menjaga adab dan tatacara berdoa agar doa yang dipanjatkan akan dimakbulkan.
Di antara tuntutan-tuntutan dan etika di dalam berdoa itu ialah:
1. Memelihara sumber rezeki seperti makanan, minuman dan pakaian daripada sumber yang haram sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik (suci bersih daripada segala kekurangan), Dia (Allah) tidak menerima kecuali yang baik (halal), dan Allah memerintahkan kepada orang-orang beriman dengan apa yang Dia perintahkan kepada para rasul.” Maka Dia (Allah) berfirman: “Wahai para rasul makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal salih; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (Al-Mu‘minun: 51) Dan Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (halal) yang telah Kami berikan kepada kamu” (Al-Baqarah: 172). Kemudian Rasulullah menyebutkan berkenaan seorang lelaki yang melakukan perjalanan yang jauh, yang kusut rambutnya lagi berdebu, dia menadahkan tangannya ke langit sambil (berkata): “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku (berdoa), (padahal) makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan diberi makan dengan yang haram,bagaimana doanya itu hendak dimakbulkan?”
(Hadis riwayat Muslim)
2. Berwudhu dan memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji-muji nama Allah serta memberi selawat dan salam kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Daripada Abu Musa Radhiallahu ‘anhu berkata yang maksudnya :
“Aku datang masuk ke rumah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang Baginda di atas katil yang ditenun dengan tali dan di atasnya hamparan. Tenunan tali pada katil itu membekas pada punggung dan kedua lambung Baginda, lalu aku memberitahu kepada Baginda akan berita kami dan berita Abu Amir (yang terbunuh di dalam peperangan Awthas) yang berkata (kepadaku): “Katakanlah kepada Nabi, mintakanlah keampunan untukku” Lalu Baginda minta diambilkan air maka Baginda pun berwudhu. Kemudian Baginda mengangkat kedua tangannya lalu berdoa: “Ya Allah! Ampunilah Ubaid Abu Amir.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Doa adalah zikir (mengingati) kepada Allah. Berdasarkan ini diriwayatkan daripada Muhajir Bin Qunfudz Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya :
“Sesungguhnya dia (Muhajir bin Qunfudz) datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang Nabi membuang air kecil. Maka dia memberi salam kepada Baginda, maka tidak dijawab oleh Baginda sehinggalah Baginda berwudhu kemudian memberikan alasan kepadanya dengan bersabda: “Sesungguhnya aku benci menyebut nama Allah Azza wa Jalla kecuali aku di dalam keadaan bersih (daripada hadas kecil).”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Adapun menyebut dan memuji-muji Allah terutama dengan nama-nama Al-Asma’ Al-Husna dan memberi selawat dan salam kepada Nabi, dijelaskan di dalam surah Al-A‘raf ayat 180 yang tafsirnya :
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu.”
Daripada Anas Radhiallahu ‘anhu berkata:
“Setiap doa itu terhalang sehinggalah diucapkan selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.”
(Hadis riwayat Ad-Dailami)
3. Berdoa dengan jalan bertawassul dengan amal saleh. Allah berfirman di dalam surah Al-Ma’idah ayat 35 yang tafsirnya :
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya).”
Manakala diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda maksudnya :
“Tiga orang keluar berjalan-jalan lalu mereka kehujanan, maka mereka masuk ke dalam sebuah gua yang terdapat di sebuah gunung. Lalu (apabila hendak keluar) mereka terhalang oleh satu batu besar. Nabi bersabda: “Lantas berkata sebahagian mereka (salah seorang) kepada yang lain: “Berdoalah kamu kepada Allah dengan amal salih yang paling baik yang telah kamu lakukan. Maka berdoa salah seorang daripada mereka: “Ya Allah! Sesungguhya aku mempunyai ibu bapa yang sangat tua. Dulu aku selalu keluar mengembala, kemudian aku datang untuk memerah susu, aku membawa air susu selanjutnya untuk aku berikan kepada ibu bapaku lalu keduanya minum, kemudian barulah aku beri minum anakku, keluargaku dan isteriku. Maka pada satu malam aku terhalang (memberi minum keduanya) kerana aku datang (membawa susu) sedang keduanya sedang tidur. Nabi menyabdakan kata orang itu: “Aku (benci) tidak suka untuk membangunkan keduanya walaupun anak-anak menggeliat-geliat kelaparan di kakiku. Maka begitulah keadaan kebiasaanku dan kebiasaan mereka berdua sehingga terbit fajar. Ya Allah! Jika Engkau mengetahui bahawa aku telah melakukan sedemikian itu kerana semata-semata untuk mendapatkan keredaanMu, maka bebaskanlah kami daripada kesusahan ini yang dari situ kami boleh melihat langit”. Nabi bersabda: “Lalu dibebaskanlah mereka (dengan bergerak satu pertiga batu besar itu). Berdoa seorang lagi yang lain: “Ya Allah! Jika Engkau mengetahui bahawa aku dulu pernah mencintai seorang perempuan iaitu salah seorang anak perempuan bapa saudaraku sebagaimana cinta yang mendalam seorang lelaki kepada seorang perempuan. Perempuan itu mengatakan: “Engkau tidak akan memperoleh sedemikian itu daripadanya sehingga engkau memberinya seratus dinar” Lalu aku berusaha sehingga aku berhasil mengumpulkannya (wang sebanyak itu), maka ketika aku duduk di antara kedua kakinya, dia (wanita itu) berkata: “Bertakwalah engkau kepada Allah dan janganlah engkau merosakkan mahkota kegadisan kecuali dengan haknya”. Lalu aku berdiri dan meninggalkannya, maka jika engkau mengetahui bahawa aku melakukan sedemikian itu kerana semata-mata mengharapkan keredaanMu, maka bebaskanlah kami daripada kesusahan ini”. Nabi bersabda: “Maka Allah membebaskan mereka (dengan bergerak batu itu) dua pertiga”. Berdoa pula seorang yang lain: “Ya Allah! Jika Engkau mengetahui bahawa aku mengupah seorang pekerja dengan beberapa cupak gandum lalu aku memberinya dan dia menolak untuk mengambil (upahnya). Lalu aku senghaja mengambil dari beberapa cupak gandum itu lalu aku tanam sehingga aku belikan daripada hasilnya seekor lembu dan pengembalanya, kemudian dia datang seraya berkata: “Wahai Hamba Allah! Berikan (kepadaku) hak saya”. Maka aku berkata: “Pergilah engkau kepada lembu itu dan pengembalanya, sesungguhnya itu adalah milikmu”. Pekerja itu berkata: “Adakah engkau menghinaku?” Aku menjawab: “Aku tidak menghinamu tetapi memang lembu itu benar-benar milikmu.” Ya Allah! Jika Engkau mengetahui bahawa aku melakukan hal sedemikian itu kerana semata-mata mendapatkan keredaanMu maka bebaskanlah kami”. Maka dibebaskanlah (musibah) itu daripada mereka.”
(Hadis riwayat Bukhari)
4. Berdoa menghadap ke kiblat dan mengangkat dua tangan sekira-kira nampak putih ketiak dan menyapu kedua tapak tangan ke muka setelah selesai. Daripada ‘Abbad bin Tamim Al-Mazini bahawa ia mendegar bapa saudaranya berkata maksudnya :
“Pada satu hari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pergi keluar memohon dikurniakan hujan. Maka Baginda membelakangi orang sambil berdoa mengadap kiblat dan membalikkan selendangnya, kemudian baginda bersembahyang dua rakaat.”
(Hadis riwayat Muslim)
Daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu ada kemuliaan dan sesungguhnya semulia-mulia majlis ialah majlis yang dihadapkan ke kiblat.”
(Hadis riwayat Ath-Thabarani dan Al-Hakim)
Diriwayatkan pula daripada Anas Radhiallahu ‘anhu berkata maksudnya :
“Aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengangkat tangannya sewaktu berdoa sehingga ternampak putih kedua ketiaknya.”
(Hadis riwayat Muslim)
Daripada Umar bin Al-Khatthab Radhiallahu ‘anhu berkata maksudnya :
“Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila Baginda mengangkat kedua tangannya sewaktu berdoa, Baginda tidak akan menurunkan keduanya sehinggalah Baginda menyapukan keduanya ke mukanya.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)
5. Bersungguh-sungguh dalam berdoa dan merasa penuh yakin akan diperkenankan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu maksudnya :
“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin diperkenankan dan ketahuilah Allah tidak akan mengabulkan doa dari hati yang lalai serta tidak sungguh-sungguh.”
6. Berdoa disertai dengan kerendahan hati, khusyuk dengan jiwa yang tulus ikhlas,merendahkan suara di antara berbisik dan nyaring dan diiringi dengan perasaan takut azab Allah dan penuh harapan dengan limpah kurniaNya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman di dalam surah Al-A‘raf ayat 55 tafsirnya :
“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan.”
Perkara ini ditekankan juga oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam sabdanya yang diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy‘ari Radhiallahu ‘anhu maksudnya :
“Wahai Manusia! Berlembutlah kamu terhadap diri kamu sesungguhnya kamu tidak berdoa kepada yang tuli dan tidak juga yang ghaib, sesungguhnya Dia bersama kamu. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Dekat yang berkat namaNya dan tinggi kebesaranNya.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Di dalam surah Al-Anbiya’ ayat 90, Allah berfirman maksudnya :
“Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.”
7. Tidak berdoa dengan sesuatu yang tidak selayaknya seperti perkara yang tidak munasabah dan mustahil. Maka oleh kerana itu adalah lebih utama berdoa dengan doa-doa yang ma’tsur yang datang daripada Al-Quran dan Sunnah dan para sahabat. Di samping doa-doa tersebut jauh daripada permohonan yang tidak selayaknya, doa-doa tersebut bersifat umum, menyeluruh dan padat. Daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata maksudnya :
“Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyukai doa yang menyeluruh maknanya dan dia tinggalkan selain daripada itu.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Oleh kerana itu doa yang paling banyak Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam baca sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu berkata maksudnya :
“Adalah doa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang terbanyak sekali (Baginda baca ialah): “Ya Allah! Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharakanlah kami daripada azab api neraka.”
(Hadis riwayat Bukhari)
8. Berterusan berdoa dan mengulang-ngulang doa sebanyak tiga kali dan tidak berputus asa serta tergesa-gesa menganggap doa tidak diperkabulkan. Diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta‘ala menyukai orang-orang yang mengulang-ngulang di dalam berdoa.”
(Hadis riwayat Baihaqi)
Daripada Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu berkata yang maksudnya :
“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyenangi supaya seseorang itu berdoa tiga-tiga kali dan beristighfar tiga-tiga kali.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Manakala daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Dikabulkan (doa) salah seorang daripada kamu selama dia tidak tergesa-gesa iaitu dengan berkata: “Aku sudah berdoa (tetapi) tidak dikabulkan.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Tersebut di dalam kitab Al-Futuhat Ar-Rabbaniyyah ‘ala Al-Adzkar An-Nawawiyah, Makki menyebutkan bahawa jarak masa doa Nabi Zakaria ‘Alaihissalam memohon dikurniakan zuriat dengan berita gembira adalah 40 tahun. Begitu juga sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu ‘Athiyyah daripada Ibnu Jarir, Muhammad bin Ali dan Adh-Dhahhak bahawa doa Nabi Musa ‘Alaihissalam kepada Firaun tidak diperkenankan melainkan setelah 40 tahun berlalu.
Sesungguhnya kadang-kadang doa belum diperkenankan kerana doa itu menjadi pahala yang disimpan di akhirat nanti dan adakalanya menjadi sebab dipalingkan seseorang itu daripada sesuatu keburukan dengan sebab doanya itu. Oleh itu adalah lebih baik terus menerus berdoa daripada merungut-rungut doa tidak dikabulkan. Daripada Abu Sa‘id Al-Khudri berkata sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Tiada seorang muslim berdoa dengan satu doa, bukan doa yang mengandungi dosa dan bukan doa yang memutuskan silaturrahim, melainkan Allah akan mengurniakan dengan doanya itu salah satu daripada tiga perkara: sama ada dipercepatkan (disegerakan) baginya doanya itu, atau disimpan baginya pahala doanya itu di akhirat (sebagai balasan), atau dihindarkan daripadanya sesuatu keburukan seumpamanya. Mereka berkata: “Kalau begitu baiklah kami memperbanyakkan doa”. Bersabda Nabi: “Allah lebih banyak menerima doa hamba-hambanya.”
(Hadis riwayat Ahmad)
9. Memilih dan mengutamakan waktu-waktu dan tempat-tempat atau ketika dimana doa mudah dan cepat dikabulkan. Di antaranya ialah:
* Di satu pertiga akhir waktu malam dan selepas menunaikan sembahyang fardu. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Tuhan kami Tabaraka wa Ta‘ala turun tiap-tiap malam ke langit dunia ketika tinggal satu pertiga akhir waktu malam berfirman: “Barangsiapa yang berdoa kepadaKu maka Aku akan mengabulkannya baginya, barangsiapa meminta kepadaKu maka Aku akan memberinya, barangsiapa memohon keampunanKu maka Aku mengampuninya.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Diriwayatkan daripada Abu Umamah Radhiallahu ‘anhu berkata, telah ditanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
“Doa apakah yang lebih didengar (dikabulkan)?” Nabi bersabda: “(Doa tatkala) satu pertiga terakhir malam dan sesudah sembahyang fardu.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)
* Malam Lailatulqadar. Firman Allah di dalam surah Al-Qadr ayat 3-5 yang tafsirnya :
“Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar.”
Manakala diriwayatkan daripada Sayyidatina Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata yang maksudnya:
“Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu (katamu) jika aku mengetahui malam Lailatulqadar daripada mana-mana malam, apa yang hendak aku baca pada malam itu?” Nabi bersabda: “Engkau bacalah Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mulia, suka mengampuni maka ampunilah aku.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)
* Hari Arafah. Diriwayatkan daripada ‘Amr bin Syuaib daripada bapanya daripada neneknya sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Sebaik-sebaik doa ialah doa pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan yang aku dan para nabi sebelumku ucapkan ialah tiada tuhan melainkan Allah yang tunggal yang tiada sekutu bagiNya. BagiNya kekuasaan dan bagiNya puji-pujian dan Dia Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)
* Bulan Ramadhan. Ini adalah kerana bulan Ramadan ialah bulan yang agung, bulan yang mulia lagi berkat serta dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu Bulan Ramadan bulan yang diberkati, Allah memfardukan kepada kamu berpuasa di dalamnya. Dalam bulan Ramadan dibuka pintu-pintu syurga dan dikunci pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Tambahan lagi orang yang berpuasa itu tidak ditolak sebagaimana yang yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:
“Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka, imam (pemerintah) yang adil dan doa orang yang dizalimi.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)
* Hari dan malam Jumaat. Daripada Abu Lubabah bin Abdul Mundzir berkata, telah bersabda Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
“Sesungguhnya hari Jumaat itu adalah penghulu segala hari dan hari yang paling agung di sisi Allah dan ia (hari Jumaat) adalah lebih agung di sisi Allah dari Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitri. Pada hari Jumaat itu terdapat lima peristiwa penting. (Iaitu) Allah mencipta Nabi Adam, Allah menurunkan Nabi Adam ke bumi, Allah mewafatkan Nabi Adam, pada hari itu ada satu waktu, bila seorang hamba memohon kepada Allah pasti Allah mengurniakannya selama mana dia tidak meminta yang haram dan pada hari itu juga terjadinya Hari Kiamat. Tiada satu malaikat Muqarrib, tidak juga langit, bumi, angin, gunung, dan lautan kecuali mereka itu merasa takut akan hari Jumaat.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Diriwayatkan pula daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Apabila malam Jumaat, jika engkau berdaya bangun pada satu pertiga malam yang akhir, maka sesungguhnya padanya ada satu waktu yang dipersaksikan (oleh Allah dan para malaikat) dan doa pada waktu itu mustajab.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)
* Di antara azan dan iqamah. Daripada Anas bin Malik berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Doa di antara azan dan iqamah tidak akan ditolak. Berkata para sahabat: “Maka apa yang patut kami katakan wahai Rasulullah (ketika itu)?” Nabi bersabda: “Pohonlah kepada Allah keafiatan di dunia dan di akhirat.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)
* Ketika berhadapan dengan musuh di dalam peperangan. Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘d As-Sa‘idi bahawasanya dia berkata yang maksudnya :
“Dua masa dibukakan keduannya pintu-pintu langit dan sedikit sekali doa orang yang berdoa ditolak; ketika panggilan untuk mendirikan sembahyang dan berhadapan dengan musuh dalam peperangan.”
(Hadis riwayat Malik)
* Ketika sujud di dalam sembahyang. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Sehampir-hampir seorang hamba kepada Tuhannya adalah (ketika) dia sujud, maka kamu perbanyakkanlah doa.”
(Hadis riwayat Muslim An-Nasa’i, Abu Daud dan Ahmad)
* Ketika mendengar kokokan ayam. Ini adalah berdasarkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Apabila kamu mendengar kokokan ayam maka mohonlah kepada Allah daripada kelebihanNya, sesungguhnya ayam itu telah melihat malaikat dan apabila kamu mendengar pekikan suara keldai maka mohonlah perlindungan dengan Allah daripada syaitan, sesungguhnya keldai itu telah melihat syaitan.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Adapun sebab digalakkan berdoa pada waktu itu, adalah bagi mengharapkan pengaminan malaikat kepada doa yang dibacakan dan permohonan keampunan mereka kepada orang yang berdoa dan persaksian mereka terhadap keikhlasan orang yang berdoa. (Lihat Fath Al-Bari 6/508 dan Syarh Shahih Muslim 9/41)
Oleh kerana itu juga ketika mengucapkan amin pada surah Al-Fatihah di dalam sembahyang adalah saat dimakbulkan doa kerana para malaikat turut juga mengaminkan pada ketika itu berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Apabila imam mengucapkan amin maka hendaklah kamu mengucapkan amin, sesungguhnya sesiapa yang bertepatan aminnya dengan amin malaikat nescaya diampuni baginya apa yang terdahulu daripada dosanya.”
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)
* Ketika waktu hujan. Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘d berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Dua ketika (di mana doa) tidak ditolak atau sedikit sekali yang ditolak: (iaitu) berdoa ketika azan dan ketika pertempuran sedang berkecamuk (dan dalam satu riwayat mengatakan) dan ketika hujan.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
* Ketika meminum air zam zam. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Air Zamzam itu menurut kehendak tujuan meminumnya. Jika engkau meminumnya untuk memohonkan kesembuhan dengannya nescaya Allah akan menyembuhkanmu dan jika engkau meminumnya untuk memohon perlindungan nescaya Allah akan melindungimu dan jika engkau meminumnya bagi melepaskan rasa dahagamu nescaya Allah akan melepaskannya dan jika engkau meminumnya bagi kekenyanganmu nescaya Allah akan mengenyangkanmu, ia (air Zamzam) itu adalah lekukan daripada pukulan malaikat Jibril dan minuman Nabi Ismail.”
(Hadis riwayat Ad-Daraquthni dan Al-Hakim)
* Ketika membaca Al-Quran terutama apabila khatam. Diriwayatkan daripada ‘Imran bin Hushain berkata, aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Barangsiapa yang membaca Al-Quran maka bermohonlah (berdoa) kepada Allah dengan Al-Quran, sesungguhnya akan datang suatu kaum yang membaca Al-Quran meminta (upah dan sedekah) kepada manusia dengan membacanya.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)
Diriwayatkan pula daripada Mujahid Radhiallahu ‘anhu berkata yang maksudnya :
“Telah diutus seseorang kepadaku dan dia berkata: “Sesungguhnya kami menjemputmu kerana kami hendak mengkhatam Al-Quran dan sesungguhnya telah sampai kepada kami bahawa doa diperkabulkan ketika mengkhatam Al-Quran. Berkata Mujahid: “Maka mereka berdoa dengan beberapa doa (ketika khatam Al-Quran).”
(Riwayat Ad-Darimi)
* Di tempat-tempat yang mulia kerana keberkatannya dan kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah seperti di Masjidilharam, Masjid An-Nabawi dan Masjid Al-Aqsa. Para ulama berpendapat bahawa berdoa di tempat-tempat ini adalah mustajab kerana melihat kepada keberkatan dan kemuliaannya di samping rahmat Allah yang luas di tempat-tempat tersebut. Diriwayatkan daripada Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Satu kali sembahyang di Masjidilharam adalah menyamai dengan seratus ribu kali sembahyang, dan satu kali sembahyang di masjidku (Masjid An-Nabawi) menyamai dengan seribu kali sembahyang, dan satu kali sembahyang di Baitulmaqdis menyamai dengan lima ratus kali sembahyang.”
(Hadis riwayat Ath-Thabarani)
Tuntutan dan etika di dalam berdoa, bukan hanya menghendaki kita berdoa untuk diri sendiri, akan tetapi ia juga menghendaki kita mendoakan untuk orang lain terutama kepada ibu bapa, zuriat keturunan, ahli keluarga, saudara mara, muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Doa yang seumpama ini banyak tersebut di dalam Al-Qur’an. Di antaranya ialah doa Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam di dalam surah Ibrahim ayat 41 yang tafsirnya :
“Wahai Tuhan kami! Berilah keampunan bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”
Ibu bapa adalah orang yang terutama sekali untuk didoakan oleh anak-anak sebagai membalas jasa keduanya memelihara dan mendidik di waktu kecil. Anjuran ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah Al-Isra’ ayat 24 yang tafsirnya :
“Dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua (ibu bapaku) sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Sesungguhnya doa anak-anak kepada kedua ibu bapa adalah besar manfaatnya, lebih-lebih lagi apabila keduanya telah meninggal dunia. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Apabila seseorang meninggal dunia, terputus amalnya daripadanya melainkan daripada tiga (sumber); daripada sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak salih yang mendoakannya.”
(Hadis riwayat Muslim)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla mengangkat darjat seseorang hamba yang salih di dalam syurga, maka dia berkata: “Wahai Tuhanku! Dari mana saya memperoleh darjat ini?” Allah menjawab: “(Ianya) daripada doa permohonan keampunan yang dilakukan oleh anakmu.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Sebagaimana anak-anak dianjurkan berdoa untuk kedua ibu bapa, begitu juga ibu bapa adalah dianjurkan supaya mendoakan anak-anak mereka sebagaimana Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam berdoa untuk anaknya yang tersebut di dalam surah Ash-Shaffat ayat 100 yang tafsirnya :
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong daripada orang-orang yang salih.”
Mendoakan orang lain lebih-lebih lagi orang yang tiada hadir dan tanpa pengetahuannya adalah lebih cepat dan mudah dikabulkan sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash berkata, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Doa yang paling cepat diterima ialah doa seseorang bagi seseorang yang lain yang tidak hadir.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Manakala daripada Ummu Ad-Darda’ berkata, sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Doa seorang muslim bagi saudaranya yang tidak hadir adalah mustajab. Di sisi kepalanya ada malaikat yang diwakilkan setiap kali dia berdoa bagi saudaranya itu. Malaikat yang diwakilkan itu pula berkata: “Amin, dan bagimu seumpama (yang didoakan).”
(Hadis riwayat Muslim)
Imam Nawawi Rahimahullah Ta‘ala berkata bahawa doa yang semacam ini mustajab kerana keikhlasan orang yang mendoakan itu. Setengah ulama salaf apabila mereka hendak berdoa untuk diri mereka sendiri, mereka akan mendoakan juga saudara mereka yang muslim dengan doa yang seumpamanya kerana cara doa seperti ini adalah mustajab, di samping mereka juga akan mendapat seumpama apa yang mereka doakan bagi saudara mereka yang muslim itu. (lihat Syarh Shahih Muslim 9/44)
Oleh kerana itu juga, adalah disunatkan meminta agar didoakan oleh orang-orang yang mempunyai kelebihan seperti orang-orang salih sekalipun dia (orang yang meminta didoakan itu) mempunyai kedudukan yang lebih baik daripada orang tersebut (orang yang diminta supaya mendoakan), berdasarkan riwayat daripada Ibnu Umar daripada Umar bin Al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya :
“Sesungguhnya dia (Umar) meminta izin kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk melakukan umrah. Lalu Nabi bersabda: “Wahai saudaraku! Sertakan kami di dalam doamu dan jangan engkau melupakan (untuk mendoakan) kami.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)
Dari itu janganlah berdoa untuk diri sendiri sahaja, berdoalah untuk orang lain juga hatta kepada orang yang bukan berugama Islam sekalipun, tetapi dengan syarat bukan doa yang berbentuk permohonan keampunan bagi mereka, kerana ianya dilarang sebagaimana firman Allah di dalam surah At-Taubah ayat 113 yang tafsirnya :
“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.”
Doa yang diharuskan kepada orang yang bukan Islam ialah doa agar mereka mendapat hidayat, sihat tubuh badan dan seumpamanya yang layak disebutkan untuk orang yang bukan Islam sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata yang maksudnya :
“Thufail bin ‘Amr datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seraya berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah menderhaka dan enggan (menerima Islam), mohonlah (berdoalah) kepada Allah agar keburukan ke atas mereka” Orang-orang menyangka bahawa Baginda akan berdoa memohon sesuatu keburukan ke atas mereka (kabilah Daus). Maka Baginda bersabda: “Ya Allah! Berikanlah hidayat kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka sebagai orang-orang Islam.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Selain daripada itu juga yang berhubung dengan doa, setiap orang Islam hendaklah menghindari daripada menzalimi dan menganiayai orang lain sekalipun kepada orang yang berbuat maksiat kerana doa orang yang dizalimi itu adalah sangat mustajab sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Mu‘az bin Jabal ketika Baginda mengutusnya ke Yaman yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma yang maksudnya :
“Dan takutlah engkau akan doa orang yang dizalimi, sesungguhnya (doa orang yang dizalimi itu) tidak ada di antaranya dan di antara Allah pendinding.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Diriwayatkan pula daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
“Doa orang yang dizalimi itu adalah mustajab, sekalipun dia adalah seorang yang berbuat maksiat, kerana kemaksiatannya itu adalah tertanggung ke atas dirinya sendiri.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Akhirnya sebagai penutup, setiap orang Islam hendaklah memperbanyakkan doa. Berdoa adalah menunjukkan akan ingatan kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Mengingat Allah hendaklah dilakukan di setiap masa sama ada di waktu senang atau susah. Begitulah juga dengan amalan dalam berdoa hendaklah dilakukan di setiap masa lebih-lebih lagi di waktu senang dan mewah, dengan itu apabila di waktu susah doa akan mudah diperkenankan sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallah ‘anhu yang maksudnya:
“Barangsiapa suka supaya dikabulkan doanya oleh Allah di waktu kesulitan dan kesusahan, maka hendaklah dia memperbanyakkan doa di waktu senang.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)
Sumber :
http://jalanakhirat.wordpress.com/

Tuesday, June 7, 2011
KEJAYAAN SINGKAT DALAM BISNES.
KEJAYAAN SINGKAT DALAM BISNES.
KEJAYAAN SINGKAT DALAM BISNES.
"Maka disebabkan kezaliman yang amat besar dari perbuatan orang-orang Yahudi, Kami haramkan atas mereka makanan yang baik-baik yang pernah dihalalkan bagi mereka dan disebabkan mereka banyak menghalang manusia dari jalan Allah.Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya) dan (ingatlah) Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir di antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya."
surah Annisaa' ayat 61
Bismillah…..
Dengan nama Allah Maha Pemurah lagi amat pengasih..
Alhamdulillah bertemu Ahad yang dikatakan hujung minggu atau weekend bahasa mat Saleh.Hari ahad hari cuti kepada ramai mansia.Namun manusia berjasa seperti doktor,polis,askar terus bekerja siang dan malam tanpa mengira hari.terima kasih,jasa kalian dikenang…
Syukur kepada Allah swt kerana aku usahawan bukan jutawan.Jika jutawan memandu kereta ferrari berjuta-juta mungkin tiada masa melayan FB,apa lagi mahu menulis nota teman-teman sekalian.Hikmahnya aku bukan jutawan banyak wang ia memberi banyak kebaikan..Alhamdulillah!
Nagntuk betul petang nie…jam 5 pagi dah bongkau!Layan lagu Metalicca cerah mata sikit.Kalau layan lagu P Ramlee mahu tidur terus!
Ramai usahawan baru lahir bagai cendawan.Namun usahawan yang dah mati pun bagai hujan mencurajh ke bumi… Apabila ROC mengeluarkan statistik 30,000 syarikat tidak aktif dan mati,sendiri mahu faham…
Mengapa orang berniaga?Mereka mahukan wang banyak dan sanggup berhenti kerja walaupun telah bergaji RM5000.Itulah manusia,dapat peha,cari betis…dah bini 3,nak cari keempat…
Aku berniaga kerana kebebasan,bukan wang matlamat.Kebebasan adalah nikmat.Aku nak masuk pejabat jam 11 pagi,tiada siapa yang marah.Nak balik rumah jam 3 petang tiada siapa peduli.Berniaga memang syok…..
Manusia bergelar pedagang memang mahukan kaya cepat.Mahu wang banyak dalam masa singkat.Mahukan kejayaan dalam secelik mata….
Salah satu cara pedagang Melayu nak cepat kaya adalah :
1.Jual mahal untung banyak.
Memang mengikut teori mesin kira otak Jepang memang betul.Jual mahal,untung banyak…
Namun jual mahal untung banyak akan menjadikan usahawan kaya wang sementara….
Contohnya anda ada 1000 pelanggan,lama-lama hilang 500 orang..lama-lama tinggal 10 orang..lama-lama bungkus!
Banyak syarikat Malaun Lebai Malaun jual harga produk tidak masuk akal.Ada satu produk yang dikatakan mesin elektronik boleh mengubat pelbagai penyakit harganya RM3000.Produk serupa bentuk,kualiti,rupa Cuma nama je lain diimport dari China ,harganya RM300.
Memang banyak syarikat MLM menipu harga tidak masuk akal namun manusia kurang akal masih suka membeli….Lantaklah..duit depa banyak!
Ramai pedagang mahu kaya cepat….jual mahal dan mahal,namun mereka tidak sedar cara mereka akan membunuh bisnes mereka sendiri.Manusia berniaga bukan mahu setahun dua,tetapi sepanjang hayat!
Dunia persaingan kini perlu menyedarkan usahawan.Jika pelanggan membeli dan tidak datang lagi malah memberitahu secara percuma kepada teman,jiran agar jangan beli dengan syarikat Malaun Lebai Malaun,maka bisnes akan bangkrap!
Aku tertarik dengan nasihat Datok Nik Aziz MB Kelantan,katanya “Jika kita jual murah,kita dapat untung dan dapat kawan.Jika jual mahal,kita dapat untung sahaja”.
Walaupun aku bukan bermazhab Nik Aziz,namun apa yang baik,aku ambik…..bagi aku,semua manusia ada kebaikan dan keburukan.Yang baik ambik,yang buruk buang tong sampah!
Natijahnya orang yang jual singkat nak cepat kaya akan berjaya singkat sahaja,kemudian papa kedana!
Melayu..hang pikiaq betul-betul…mahu kaya cepat dan papa cepat atau kaya lambat tapi tak papa papa….
Ada akal,hang pikiaqlah!
Admin KTC

Saturday, May 14, 2011
9 Tips Memilih Bidang Perniagaan
9 Tips Memilih Bidang Perniagaan
Ariffin Hassan,Pakar Motivasi
1.Jadikan Hobi Anda Suatu Perniagaan.
Apabila kita melakukan sesuatu yang diminati, ia boleh membawa kejayaan yang tinggi. Konfuzi, seorang ilmuan Cina telah
menyebut 2,000 tahun yang lampau, “Sekiranya anda lakukan apa yang yang anda suka, anda tidak perlu bekerja walaupun
sehari dalam kehidupan anda.” Ertinya, jika sangat suka membaca dan telah mengumpul banyak buku, mungkin menjual
buku-buku adalah bidang yang mudah bagi anda.
2.Barang atau Perkhidmatan yang Anda Cari Tidak Terjumpa, Jadikan ia Peluang Bisnes.
Beberapa orang ibu mencari-cari pendidikan pra-sekolah yang sesuai dengan citarasa mereka; Islamik, moden dan
bahasa perantaraan ialah bahasa Inggeris di Petaling Jaya pada tahun 1987. Kegagalan untuk menemui perkhidmatan
yang memenuhi citarasa ini telah mendorong mereka secara berkumpulan membuka tadika ini. Selepas 20 tahun,
mereka mempunyai rangkaian 20 pusat pendidikan.
3.Selesaikan Satu Masalah, Panjangkan Kepakaran Ini kepada Orang Lain.
Idea perniagaan mungkin datang secara tidak terancang melalui satu penyelesaian masalah. Teknik penyelesaian mungkin
merupakan satu pengajian sarjana atau MBA yang cukup berharga sekali. Contohya, anda seorang petani atau pegawai
pertanian yang cuba menyelesaikan masalah penyakit-penyakit tanaman dan berjaya mencari ubatnya yang unik dan luar
biasa. Bisneskannya!
4.Mulakan Satu Tabiat atau Keghairahan terhadap Satu Perkara.
Tabiat manusia mahu mencuba benda-benda yang baru. Perkara yang lama akan tidak dilakukan lagi dan mereka
mencari-cari satu perkara yang diikuti. Ianya perlu dibuat atau digunakan secara persendirian dahulu. Setelah kita sendiri
berasa yakin, keseronokan ini boleh dihebahkan kepada orang lain seterusnya dijual atau diniagakan.
5.Gunakan Pengalaman di Tempat Kerja Sekarang.
Sebenarnya, cara yang paling mudah sekali ialah meneruskan apa yang kita buat sekarang. Pengalaman yang ditimba
sebenarnya amat berharga.
6.Ambil Idea lama, Berikannya Nafas Baru.
Perniagaan yang berjaya tidak semestinya bermula daripada idea-idea yang sangat bernas. Mungkin ia adalah perkara
biasa, tetapi diletakkan dalam satu bentuk ‘bungkusan’ yang baru dan orang lihatnya menarik atau sangat suka digunakan.
7.SyarikatSyarikat Besar Tidak Mampu Membuat Sendiri.
Apabila dunia perniagaan semakin canggih, ia memerlukan fokus dan pengkhususan. Justeru, apabila sesebuah organisasi
ingin melakukan semuanya sekali, kualiti kerjanya akan jatuh. Di sinilah pengalaman anda bekerja dengan syarikat gergasi
ini akan jelas kenapa mereka menggunakan pihak ketiga menjaga pusat panggilan (call centre) atau membuat pembekalan
kepada beberapa buah pasar raya besar.
8.Kaji Trend Terkini Gunakan
Sesuatu masalah itu merupakan peluang besar untuk usahawan. Jerebu di Indonesia membuatkan kita yang terlibat dalam
alat kesihatan atau ubat-ubat dapat meraih keuntungan yang tinggi.
9.Ambil Kegagalan Orang Lain Untuk Melancarkan Produk Anda
Satu-satu produk atau perkhidmatan yang gagal di Alor Setar mungkin boleh berjaya di Kuantan. Mungkin juga satu idea
yang dipandang rendah di Australia, tetapi boleh maju di Malaysia.

Subscribe to:
Posts (Atom)