Tuesday, December 6, 2011

ALAM BARZAKH YANG MENGGERUNKAN...




ALAM BARZAKH YANG MENGGERUNKAN...


Amru bin Maimun al-Adawi mengatakan bahawa Rasululullah saw meminta berlindung dari beberapa perkara selepas solat :
اللَّهُم إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ
Hadis riwayat Imam Bukhari rahimullah

الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لاشريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله وخيرته من خلقه وأمينه على وحيه صلى الله عليه وعلى آله وصحبه ومن اهتدى بهديه.
أما بعد:
Bismillah
dengan nama Allah Maha Pemurah lagi amat Penyayang..

Alhamdulillah ,syukur pada-Mu Maha Pengasih,aku masih hidup dan sihat...aku bersyukur pada-Mu yang meminjamkan usia ini dan aku berdoa agar diberikan kekuatan memanfaatkan usia ini untuk beribadat pada-Mu..
Sekarang jam menunjukkan 1.52 pagi,7 Disember 2011 bersamaan 11 Muharram 1433 Hijrah....Sudah lama tidak menulis nota maka kali ini aku menulis sebuah nota buat diriku dan semua fans Kisah Teladan bertajuk "ALAM BARZAKH YANG MENGGERUNKAN..."

Menurut kamus Lisanul Arabi oleh Ibni Manzur, makna alam barzakh ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan atau ia juga bermakna dinding pembatas antara dua benda sejak dari waktu kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh atau alam kubur.

Menurut Syeikh Abu Bakar al-Jazairi rahimullah pula dalam bukunya ‘Aqidatul-Mukmin, alam Barzakh ini dapat diibaratkan sebagai alam perhentian dan penantian sementara menunggu tibanya akhirat bagi orang-orang yang telah mati dan berpisah dengan dunia. Di alam Barzakh ini ruh-ruh dihimpunkan hinggalah sampai masa berlakunya kiamat di mana ia akan dipertemu kembali dengan jasadnya.

أبوجعفر الطحاوي رحمه الله :
إن الدور ثلاثة : دار الدنيا ، ودار البرزخ ، ودار القرار
Manakala Imam Abu Jaafar At-Thohawi rahimullah mengatakan "Sesungguhnya rumah itu tiga ; Rumah dunia,rumah barzakh (kubur ) dan rumah kekal (akhirat )

Alam barzakh adalah benar,sebagaimana difirmankan Allah dalam surah at-Taubah
ayat 101 :
" Dan di antara orang-orang yang di sekeliling kamu dari orang-orang
"A'rab" ada yang bersifat munafik dan (demikian juga) sebahagian dari
penduduk Madinah; mereka telah berkeras dengan sifat munafik; engkau
tidak mengetahui mereka (bahkan) Kamilah yang mengetahui mereka.Kami
akan azabkan mereka berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan kepada
azab yang besar."
Imam Ibnu Kathir rahimullah mengatakan bahawa maksud azab berulang-ulang adalah azab kubur ,manakala azab yang besar adalah di akhirat iaitu Neraka.Nauzubillah…
Allah swt juga berfirman :
“Mereka didedahkan kepada bahan api Neraka pada waktu pagi dan petang (semasa berada dalam alam Barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab api neraka yang seberat-beratnya”. (Surah Ghafir: 46)

Manakala antara hadis sahih yang menjadi nas azab kubur adalah :
1.Daripada riwayat Abi Ayyub katanya:Maksudnya: “Pada suatu hari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar selepas matahari terbenam. Lalu Baginda mendengar suara. Baginda bersabda: “Mayat Yahudi itu diazab di dalam kuburnya” (Hadis riwayat Imam Muslim dan al-Bukhari)
2.Daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma: Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya mayat itu diazab disebabkan oleh ratapan orang-orang yang hidup” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
3. “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bahawa mayat itu diazab kerana ratapan keluarga ke atasnya”. (Hadis riwayat Imam Muslim)
4. Rasullah s.a.w bersabda:
” Kalaulah tidak kerana kamu sekelian akan dikuburkan di dalam tanah nescaya aku akan berdoa kepada Allah supaya Dia mendengarkan kamu dari siksa kubur sebagaimana aku mendengarnya”(Direkodkan Imam Bukhari dan Muslim )
5. Sabda Rasulullah s.a.w: “(Allah) akan memberi kuasa untuk menyiksa orang kafir di dalam kuburnya kepada 99 ekor ular yang akan mematuk/menyengatnya hingga berdirinya kiamat. Jika sekiranya seekor sahaja dari ular-ular itu meniupkan bisanya ke bumi nescaya tidak akan ada tumbuhan hijau yang tumbuh (di atas muka bumi)”.- (Riwayat Imam Ahmad dari Abi Said al-Khudri r.a.)

6.Imam Ibnu Abid-Dunia rahimullah di dalam kitabnya ” Kitabul Kubur” ada menyebut daripada As-Sya’bi, bahawa dia telah menceritakan seorang yang berkata kepada Nabi s.a.w. : sekali peristiwa semasa aku melalui padang Badar, aku terlihat seorang keluar dari dalam bumi, lalu dia dikejar dan dipukul oleh seorang yang lain dengan sebatang besi hingga ia terbenam ke dalam bumi. Kemudian dia keluar semula, lalu dikejar dan dipukul lagi, maka berkata Rasullah s.a.w. Itu lah Abu Jahal bin Hisyam sedang di siksa hingga hari kiamat.

Imam Nawawi rahimullah dalam menafsirkan hadis yang direkodkan Imam Muslim :
لقنوا موتاكم لا إله إلا الله
(talqinkankan mayat kamu LAILAHAILLALLAH ) iaitu agar orang yang menghadiri individu yang sedang sakit nazak agar membacakan kalimah LAILAHAILLALLAH supaya orang tersebut mengakhiri nafasnya dengan kalimah tauhid.Ia berdasarkan sebuah hadis bermaksud
مَنْ كَانَ آخِرُ كَلامِهِ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ
"Barangsiapa yang akhir kalimahnya LAILAHAILLALLAH akan masuk Syurga".(Hadis rekod Imam Ahmad dan Abu Daud )

Imam Nawawi juga mengatakan makruh orang ramai menyebut perkara lain ketika berhadapan orang yang sedang nazak kerna takut individu tersebut tidak dapat mengucap kalimah tauhid….Wallahua'lam..

Imam Tarmizi dan Ahmad merekodkan sebuah hadis
" مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ
أَوْ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إِلا وَقَاهُ اللَّهُ فِتْنَةَ الْقَبْرِ
Maksudnya " Tiadalah seseorang Islam yang meninggal dunia hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah swt menjauhkannya dari fitnah kubur "

Imam Ahmad merekodkan sebuah hadis daif "Dari Said al-Khudri r.a berkata ,bahawa Rasululullah saw bersabda " Sesungguhnya mayat mengetahui sesiapa yang memegangnya,dan sesiapa yang memandikannya dan siapa yang mengikutinya ke kubur".

Imam Tarmizi dan Ahmad merekodkan sebuah hadis dan ditakrifkan hadis hasan oleh Imam Albani rahimullah :
إِنَّ الْقَبْرَ أَوَّلُ مَنْزِلٍ مِنْ مَنَازِلِ الاخِرَةِ فَإِنْ نَجَا مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَيْسَرُ مِنْهُ وَإِنْ لَمْ يَنْجُ مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَشَدُّ مِنْهُ
Maksudnya "Sesungguhnya kubur adalah rumah pertama dari rumah akhirat.Maka Jika seseorang lepas darinya (azab kubur ) maka selepasnya adalah lebih mudah.Dan jika seseorang tidak lepas darinya maka selepasnya adalah lebih dahsyat"

Imam Ibnu Majah dan Ahmad merekodkan sebuah hadis bahawa Baginda saw melalui perkuburan dan memberitahu para sahabat bahawa mayat di dalam kubur sedang diazab.Baginda menerangkan mengenai punca azab kubur " وَمَا يُعَذَّبَانِ إِلا فِي الْبَوْلِ وَالْغِيبَةِ
Maksudnya :Dan tiada keduanya diazab melainkan kerana kencing dan mengumpat"


Imam Ibnu Qayyim rahimullah mengatakan azab kubur terbahagi kepada dua iaitu :
1.Azab kekal iaitu azab kepada orang kafir ,Munafik,Musyrik .Mereka akan diazab hingga kiamat.
2.Azab bertempoh iaitu kepada org Islam yang melakukan dosa.Mereka akan diazab mengikut sekadar dosanya dan akan berhenti azab.Azab kepada mereka juga akan terhenti dengan doa,sedekah,istighfar atau amalan seperti bacaan Quran yang disedekahkan pahala kpd mereka.

Azab kubur dan soal Mungkar Nankir adalah benar kerna terdapat nas Quran dan hadis mengenainya.Beriman dengannya adalah wajib dan mengingkarinya adalah kafir.

Alam barzakh adalah alam yang amat menggerunkan.Semua manusia pasti mati dan kita semua akan menemuinya.

Azab kubur juga adalah azab yang pedih dan siksa.Pabila Baginda saw menceritakan fitnah kubur,Ibnu Omar r.a bertanya "Adakah kita berakal sebagaimana sekarang?(tahu dan sedar soal Malaikat dan azab kubur ) "Baginda saw menjawab "Ya..sebagaimana kamu sekarang"

Apa yang kita lakukan di dunia ketika masih hidup,akan mendapat balasan di alam barzakh.Jika banyak dosa,maka bersedikalah mendapat azab kubur,jika banyak pahala,kita akan aman damai di kubur…
Ramai manusia beriman dengan alam barzakh dan azab kubur,namun malangnya ramai manusia masih meninggalkan solat,makan harta haram,membuka aurat,suka mengumpat,mengambil hak orang lain,membunuh,merompak dan pelbagai kejahatan.

Kita perlu berusaha menjadi manusia beriman dan bertakwa agar alam barzakh yang bakal ditempuhi adalah alam yang bahagia dan tenang.Kita mati dengan iman dan berada dalam kubur dengan penuh kesenangan dan kerehatan…

Antara amalan yang diajar Baginda saw adalah :
1.Doa menjauhi azab kubur :
وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

اللهم إني أعوذ بك من العجز و الكسل و الجبن و البخل و الهرم و أعوذ بك من عذاب القبر و أعوذ بك من عذاب النار و أعوذ بك من فتنة المحيا و الممات

اللهم إني أعوذ بك من عذاب القبر و أعوذ بك من عذاب النار و أعوذ بك من فتنة المحيا و الممات و أعوذ بك من فتنة المسيح الدجال)

(اللهم رب جبريل و ميكائيل و رب إسرافيل أعوذ بك من حر النار و من عذاب القبر)

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku mohon berlindung dari azab api neraka dan aku mohon berlindung dari azab kubur.”(riwayat Imam Muslim )

2.Menjauhi dosa yang boleh menyebabkan azab kubur.
Antara dosa yang menyebabkan seseorang diazab kubur adalah tidak menjaga kebersihan kencing,mengumpat,memfitnah dan sebagainya (dosa kepada manusia).Begitu juga jauhkan segala dosa besar seperti meninggalkan solat atau meminum arak.

3.Beristighfar dan berzikir setiap hari.

4.Rajin menzirahi kubur sebagai mengingati mati.

5.Melakukan amalan pahala berpanjangan seperti sedekah jariah .

Imam Muslim,Abu Daud,Nasaai,Tarmizi,Ahmad,Ad-Darimi
إِذَا مَاتَ الإنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلا مِنْ ثَلاثَةٍ ، إِلا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ) .

Maksudnya "Apabila mati seseorang insan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara ; Sedekah jariah atau ilmu bermanfaat atau anak soleh mendoakan baginya"
6. Membiasakan membaca surah al-Mulk. Sabda Nabi: “Surah Tabarak (yakni al-Mulk) adalah penegah/penghalang dari azab kubur”.- (Hadis sahih riwayat Imam Ahmad dari Ibnu ‘Abbas r.a.).

Imam Ibnu Qayyim rahimahullah mengatakan bahawa seksa kubur ditimpakan kerana berbagai macam dosa dan maksiat, di antaranya:

1. Melaga-lagakan (mengadu domba) dan mengampu. Nabi S.A.W berwasiat kepada Sayidina Ali : “Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu syurga yang berbunyi “Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut).”

2. Tidak basuh dengan suci selepas buang air kecil. Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: “Bersih-bersihlah kamu daripada kencing, sebab umumnya seksa kubur itu kerana kencing. (yakni hendaklah dicuci kemaluan sebersih-bersihnya.)

3. Solat tanpa bersuci. Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Allah tidak menerima solat tanpa bersuci” (Hadis Riwayat Muslim ) Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah melihat seseorang melakukan solat, sedangkan pada tumitnya ada sedikit yang tidak terkena siraman air wuduk. Nabi S.A.W. memerintahkannya untuk mengulangi wuduk dan solatnya . (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Dawud) Nabi S.A.W. menyuruh orang tersebut untuk mengulangi solatnya kerana solat tersebut dilakukan tanpa bersuci dan tidak sah.

4. Berdusta. Rasulullah S.A.W. bersabda kepada Sayyidina Ali k.w. yang bermaksud : “Wahai Ali ! Berbuatlah jujur sekalipun hal itu akan membahayakan dirimu di dunia. Sesungguhnya kejujuran itu bermanfaat di kemudian hari. Dan janganlah berdusta sekalipun bermanfaat bagimu ketika itu kerana kedustaan itu akan menyulitkan kamu di kemudian hari.”

5. Melalaikan dan malas mengerjakan solat. Nabi S.A.W. ada bersabda yang bermaksud : “ Bermula orang yang meninggalkan solat pada hal ia dalam keadaan sihat, maka Allah tidak memandang kepadanya dengan pandangan rahmat, dan baginya kelak azab yang amat hebat melainkan kalau ia bertaubat dari perbuatannya itu”

6. Tidak mengeluarkan zakat. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : “Barangsiapa mempunyai emas atau perak senisab, sedang tidak di keluarkan zakatnya, kelak di hari kemudian ia akan di kejar-kejar oleh ular yang besar dan sangat berbisa dari neraka yang mengigit tangannya sehingga terpotong, kemudian tangannya kembali sebagai sediakala, di gigit lagi ular itu, demikianlah setiap masa, sehingga akhirnya orang yang bakhil itu akan di seret ke Neraka Jahannam”

7. Berzina. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “ Jauhilah oleh kamu akan zina, kerana kecelakaannya empat macam iaitu hilang seri (cahaya) pada wajahnya , di sempitkan rezekinya , dan kemurkaan Allah atasnya dan menyebabkan kekal di dalam neraka.” (Hadis riwayat Thabrany dan Ibnu Abbas)

8. Mencuri. Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : ”Tidak dipotong tangan seseorang pencuri itu kecuali seperempat dinar atau lebih daripada nilai wang mas” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

9. Berkhianat. Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Empat perkara, siapa yang terdapat padanya empat perkara ini, maka ia adalah munafik tulen, dan siapa yang terdapat padanya salah satu darinya, maka padanya ada satu ciri kemunafikan; apabila diberi amanah ia berkhianat, apabila bercerita ia berdusta, apabila membuat janji ia mungkiri dan apabila berdebat ia curang.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 34, 2459, 3178 dan Muslim no. 2635. dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a.)

10. Menfitnah sesama umat Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

11. Makan riba. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Hai orang-orang yang beriman , bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba (yang belum di pungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah , bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu . Dan jika kamu bertaubat (dari mengambil riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.” (Surah Al- Baqarah ayat 278-279)

12. Tidak menolong orang yang di zalimi. Firman Allah S.W.T. dalam hadis qudsi yang maksudnya : “Wahai segenap hambaku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan perbuatan zalim atas diri-Ku dan Aku telah menjadikan hal tersebut sebagai perkara yang haram antara sesama kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi.”(Hadis Riwayat Muslim)

13. Minum khamar ( tuak, arak atau minuman keras ). Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “ Empat (macam manusia) tidak Allah masukkan mereka itu ke syurga dan tidak akan merasai kenikmatannya, peminum arak , pemakan riba, menzalami (memakan) harta anak yatim dengan tidak hak dan derhaka pada ibu atau bapa.” (Hadis Riwayat Al-Hakim)

14. Memanjangkan kain hingga di bawah mata kaki. Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Barangsiapa menyeret pakaiannya kerana sombong maka Allah tidak memandangnya pada hari kiamat”.(Hadis Riwayat Bukhari)

15. Membunuh. Firman Allah S.A.W. yang bermaksud : “Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahannam , kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya.” (Surah An- Nisaa’ ayat 93) Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : “ Orang yang mati terbunuh , akan datang di hari kiamat dengan mengantungkan kepalanya di salah satu tangannya , sambil memegang pembunuhnya dengan tangan yang lain , sedang darah terus mengalir. Apabila mereka berdua sudah ada di hadapan Allah, maka orang yang terbunuh itu berkata :’ Ya Allah, inilah orang yang telah membunuh aku’. Maka Allah berkata kepada sipembunuh :’ Celakalah engkau’, lalu di bawalah orang itu ke neraka.”

16. Mencaci sahabat Rasulullah S.A.W. Allah S.W.T. berfirman, yang bermaksud : “Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka reda kepadaNya. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar”. (Surah at-Taubah ayat 100) Al-Qadhi ‘Iyaadh berkata :”Jumhur ulama berpendapat bahawa orang yang menghina/mencaci maki para shahabat Rasulullah S.A.W. harus dihukum takzir (yakni harus didera menurut kebijaksanaan hakimIslam )”. [Fathul Bari VII hal. 36].

17. Mati dalam keadaan membawa bidaah. Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Barangsiapa membuat buat hal baru yang baik dalam Islam, maka baginya pahalanya dan pahala orang yang mengikutinya dan tak berkurang sedikitpun dari pahalanya, dan barangsiapa membuat-buat hal baru yg buruk dalam Islam, maka baginya dosanya dan dosa orang yang mengikutinya dan tak dikurangkan sedikitpun dari dosanya” (Sahih Muslim hadis no.1017, demikian pula diriwayatkan pada Sahih Ibn Khuzaimah, Sunan Baihaqi Alkubra, Sunan Addarimiy, Sahih Ibn Hibban dan banyak lagi).

Imam Ali bin Abi Thalib r.a berkata:
“Wahai hamba-hamba Allah, setelah kematian alam kubur lebih menderita
daripada kematian itu sendiri bagi orang yang tidak diampuni dosa-
dosanya. Karena itu, kakutlah kamu pada kesempitan kubur, penderitaan,
kegelapan, dan keterasingannya. Sesungguhnya kuburan itu berkata
setiap hari: Aku adalah rumah keterasingan, aku rumah kesepian, aku
rumah cacing-cacing. Kuburan adalah bagian dari taman-taman surga dan
sekaligus bagian dari jurang-jurang neraka. Sesungguhnya kehidupan
yang sempit yang diperingatkan oleh Allah kepada musuh-musuh-Nya
adalah siksaan kubur. Allah mengirimkan kepada orang yang kafir di
kuburnya sembilan puluh sembilan ular yang besar untuk mencabik-cabik
dagingnya dan memecah-mecah tulangnya. Allah mengirimnya berulang kali
sampai hari kiamat. Dan sekiranya ular itu didatangkan ke bumi,
niscaya tak akan ada tumbuh-tumbuhan dan tak akan terjaga tanaman di
dalamnya.Wahai Hamba-hamba Allah, sungguh dirimu lemah, jasadmu lembut dan
rapuh sangat mudah dihancurkan.”


"Ya Allah Ya Rahman,jauhkanlah kami dari azab kubur.Jadikan kubur kami satu taman dari taman Syurga dan jauhilah kubur kami menjadi lobang dari lobang Neraka..Ya Allah Ya Rahim,matikan kami dalam iman dan mengucapkan kalimah tauhid.Ya Zal Jala wal Ikram,perkenankanlah doa kami…….amin"

Segala kelemahan dan kenaifan milikku bernama Saat,manakala kebaikan dan kesempurnaan hanya milik Allah Maha Gagah lagi AMat Mengetahui……….Wallahua'lam...

Admin
Kisah Teladan & Co
4.00 pagi……………
7 Disember 2011
Rabu yang indah………………….

Upload 10.55 pagi
7 Disember 2011

Rujukan :
1.Kitabul Barzakh
2.Kutubul hadis
3.Internet
4.Rencana dan Makalah.
5.Kitab Az-Tazkirah
6.Lain-lain..

No comments:

Post a Comment